SATU Dari TUJUH Keajaiban Dunia Ada Di Malaysia?

13 03 2009

1. Apabila kita menyebut tentang ‘7 Keajaiban Dunia’ pasti fikiran kita terarah kepada Piramid di Giza, Taj Mahal di India, Tembok Besar China atau Eiffel Tower di Paris.

2. Taj Mahal di India sebagai contoh, memberikan kemakmuran ekonomi kepada penduduk kawasan Agra, India. Setiap hari ribuan pengunjung luar negeri datang ke Agra semata-mata ingin menyaksikan monumen ini secara ‘live’ dan dekat. Apabila Agra menerima jumlah kunjungan sebegini ramai, pastinya ‘duit’ yang mereka bawa juga adalah banyak. Seorang pengunjung dari Italy mustahil sekali akan berbelanja dengan matawang EURO di Agra – pastinya beliau akan menukarkan Euro kepada Rupee dan kemudiannya berbelanja untuk hotel, makanan, khidmat pelancong, membeli-belah dan sebagainya.

3. Jika dalam satu hari Agra menerima kunjungan lima ribu pelancong dan setiap seorang membelanjakan 300 rupee sehari, maka ‘duit-duit’ akan berkeliaran (atau CAIR (liquid) dalam bahasa kewangan) sebanyak 45 juta Rupee (atau lebih-kurang RM 3.3 juta) sebulan di Agra sahaja – dan RM 3.3 juta ini dibahagi-bahagikan kepada seluruh penduduk Agra setiap bulan! Tidakkah ini yang dipanggil ‘wang percuma’?

4. Bayangkan jika Agra mempunyai penduduk 100 ribu orang, maka setiap orang secara purata akan menerima limpahan (surplus) sebanyak RM33.00 seorang sebulan. Tetapi, perkara ini tidaklah berlaku sedemikian kerana bukan setiap orang dalam 100 ribu penduduk di Agra itu menjadi pengusaha hotel, resort, operator pelancongan, pemilik restoran, penjual air atau makanan di kaki lima. Dengan itu, maka ‘masyarakat pelancongan’ di Agra hanyalah mewakili 2 peratus daripada keseluruhan 100 ribu penduduk tadi. Jadi pengusaha-pengusaha ini sebenarnya menerima ‘kemasukkan’ minima RM1,650.00 sebulan.

5. Apa kata jika anda adalah salah seorang dari ‘pengusaha pelancongan’ di Agra, India dan menerima ‘wang percuma’ sebanyak RM1,650.00 sebulan? tidakkah ini satu ‘magic’? Itupun pada kiraan 300 rupee sehari dan angka ini sebenarnya tidak logik kerana takkanlah seorang pelancong cuma membelanjakan RM23.40 sahaja sehari? Nak bayar sewa hotel pun tidak lepas. Dan orang yang datang ke Agra sebenarnya melebihi lima ribu orang sehari!

6. Jadi, jelas menunjukkan yang analisa saya tadi itu tidak tepat. Tetapi sekurang-kurangnya memberikan gambaran SEBENAR tentang apa yang berlaku di Agra, India hanya kerana mempunyai salah satu diantara tujuh keajaiban dunia – iaitu Taj Mahal. Menariknya, mereka bukan hanya melawat Taj Mahal, tetapi juga mengunjungi ‘Agra Fort’ yang berada tidak jauh dari situ.

7. Jadi bagaimana? nampakkah anda tentang betapa ‘mewah dan selesanya’ sesuatu tempat jika terdapat perkara ‘7 Keajaiban Dunia’? Dan adakah anda faham tentang ‘jual-beli’ wang asing apabila seorang pelancong memasuki daerah anda? Sama seperti anda – saya juga tidak akan pergi melancong ke tempat-tempat menarik di dunia jika saya tidak membawa duit yang cukup. Dan sama seperti anda juga, jika saya hidup mewah dan sihat – sudah pasti saya akan mengunjungi SETIAP tujuh keajaiban dunia tersebut!

8. Apa kaitan Taj Mahal dengan kawasan Silam yang saya wakili di Parlimen? Apa pula ‘barangnya’ yang saya katakan – kini wujud SATU dari TUJUH keajaiban dunia di Malaysia? Dan apa pula faedahnya secara langsung kepada Sabah?

9. Saya bukanlah Menteri Pelancongan atau Menteri Kewangan Malaysia. Saya cuma seorang lelaki yang secara kebetulan dilahirkan di Semporna, Sabah dan kini seorang Ahli Parlimen yang mewakili P188 Silam, Sabah. Negeri Sabah seperti yang anda ketahui merupakan salah satu ahli ‘persekutuan’ Malaysia. Ini bermakna jika Gunung Kinabalu itu berada di Sabah – maka secara langsung nama Malaysia akan turut terkenal. Demikian juga apabila diwujudkan pertandingan lumba basikal ‘Le Tour De Langkawi’, walaupun ia tidak ada kena-mengena dengan Sabah, namun orang luar tetap melabelkan acara ini di Malaysia. Kesimpulannya, bagi mata orang luar, Gua Mulu itu di Malaysia, Gunung Kinabalu di Malaysia, LIMA Langkawi di Malaysia dan KLCC juga di Malaysia. Sama persepsi bila di sebut ‘Taj Mahal’ – maka anda akan melabelkan India.

10. Saya faham, mungkin anda berkata dalam hati – saya masih lagi belum menyampaikan ‘barang’ ajaib dunia di Malaysia itu. Tetapi, izinkan saya bercerita sikit lagi tentang betapa untungnya sesuatu acara dunia itu jika ia diadakan di Malaysia. Sebagai Ahli Parlimen, saya MESTI berbicara tentang masalah NASIONAL – bukannya masalah setempat kerana saya bukan Ahli Dewan Undangan Negeri.

11. Adakah anda perasan bahawa wujud satu badan yang menganugerahkan gelaran ‘7 Wonders Of The World’? dan tahukah anda bahawa ketujuh-tujuh keajaiban dunia ini akan diadili semula hampir setiap tahun? Ok. Mungkin saya sudah keterlaluan. Mari kita terus kepada pokok persoalan utama artikel ini. Dimanakah ‘benda’ ajaib dunia itu di Malaysia?

12. Selamat datang ke Pulau Sipadan, Malaysia. Satu-satunya pulau ‘oceanic’ di Malaysia. Pulau yang berbentuk ‘cendawan’ ini ‘berdiri’ teguh pada ketinggian 600 meter daripada lantai lautnya. Ianya terbentuk dari mendapan fosil, batu karang, pepasir, lumpur dan pelbagai tinggalan hidupan laut di ATAS sebuah kon gunung berapi dasar laut beribu-ribu tahun dahulu. Semua mendakan ini berpusar-pusar akibat tolakan arus laut sehingga membentuk ‘tiang seri’ lantas memberikan bentuk ‘cendawan’ kepada pulau ini.

13. Pulau Sipadan terkenal kerana ‘dispute’ (atau masalah kedaulatan) antara Malaysia dan Indonesia satu ketika dahulu. Kini ia dikenali seluruh dunia kerana keindahan dasar laut, kecantikan batu karang (atau karangan laut) dan pelbagai spesis hidupan laut yang bernaung dibawah ‘payung cendawan’ Pulau Sipadan ini. Di bawah Pulau Sipadan juga wujud sebuah gua dasar laut yang menjadi kubur kepada pelbagai spesis penyu di dunia. Sama seperti gajah, penyu juga hanya akan mati di tempat yang tersembunyi dan terlindung dari pandangan manusia. Selain itu tiada satupun ‘man-made structure’ wujud di Sipadan. Ini memaksa pelancong memilih pulau bersebelahannya iaitu Pulau Mabul atau di Bandar Semporna, Sabah untuk menginap.

14. Hidupan laut seperti jerung (lebih-lebih lagi spesis ‘Hammerhead’), ‘barracuda’, penyu, ‘sea-fan’ dan lintah laut hidup subur di perairan Sipadan. Perkara yang perlu ‘diburu’ oleh setiap penyelam apabila berada di laut Sipadan adalah ‘Frog Fish’ yang pelbagai warna. Frog Fish atau ikan katak adalah amat jarang didapati dilain-lain tempat dan jika anda kurang memberikan perhatian – maka anda tidak akan nampak walau seekor pun ikan ini, walaupun ia sebenarnya berada benar-benar disebelah telinga anda.

15. Pulau Sipadan juga dianugerahkan dengan pasir yang memutih pada pantai yang landai. Tetapi kecetekan airnya yang hijau-kebiru-biruan itu mungkin akan menyebabkan kematian jika anda terleka semasa ‘snorkling’ dan telah melepasi had. Di sana menunggu jurang ‘drop-off’ setinggi 600 meter terus ke dasar laut! Dari pandangan satelit, jurang ini kelihatan hitam dan menyeramkan. Namun inilah sebenarnya yang dicari-cari oleh penyelam dunia kerana ‘syurga dasar laut’ menunggu di bawahnya. Bukanlah suatu yang ganjil (atau pelik) jika saya katakan ikan yang beriluminasi (mempunyai cahaya badan sendiri) seperti kelip-kelip – spesisnya melebihi hitungan jari-jari anda di sini.

16. Ada rakan bertanyakan kepada saya – apa cantiknya Sipadan kerana tidak ada apa-apa pun di atasnya? dan soalan itu hanya terjawab jika dia ‘melawat kompleks muzium’ hidupan laut dibawahnya. Salahkah jika saya melabelkan ‘kompleks’ jika wujud dinding-dinding (underwater walls), gua, taman batu karang, padang ragut dan jurang yang dihiasi dengan ‘lampu-lampu’ semulajadi alam di dasar Pulau Sipadan?

17. Keajaiban Pulau Sipadan bukanlah sekadar yang saya sebutkan tadi. Lebih ajaib lagi kerana KINI ia terpilih dalam PENGUNDIAN SEMULA TUJUH KEAJAIBAN DUNIA atau lebih dikenali dengan ‘The New Seven Wonders Of The World’. Maka menjadi tanggungjawab saya selaku Ahli Parlimen Malaysia untuk mempromosi pengundian ini yang sedang rancak dilaksanakan di laman web rasmi ‘New 7 Wonders’ iaitu http://www.n7w.com

18. Kempen ‘Vote Sipadan For New Seven Wonders’ telah berlansung sejak awal Januari sehingga 7 Julai 2009. Objektif kempen ini adalah untuk memilih 77 (tujuh puluh tujuh) destinasi ajaib dunia dan Pulau Sipadan adalah satu-satunya calon yang mewakili Malaysia. Kesemua calon diletakkan dalam 7 kumpulan yang berbeza dimana Pulau Sipadan terletak dalam ‘Group B – Islands’. Pada bulan Februari lepas Pulau Sipadan menduduki tempat ke 17 dan kini ia berada pada kedudukan ke-14 dalam kategori pulau. Misi Pulau Sipadan ialah SEKURANG-KURANGNYA menduduki tempat ke-11 supaya layak berada dalam ‘kelompok 77′.

19. Jika pada 7 Julai kelak Pulau Sipadan berada dalam kelompok 77 ini – maka ia layak dalam saringan akhir dan jika menang – negara kita Malaysia akan dikenali sebagai salah satu negara ‘7 Keajaiban Dunia’.

20. Untuk menyebabkan semua ini berlaku – anda perlu memainkan peranan sebagai warganegara Malaysia untuk MENGUNDI Pulau Sipadan didalam kempen ini. Ada 2 cara untuk anda membantu negara anda; PERTAMA – pada skala besar atau, KEDUA – pada skala peribadi.

21. Untuk skala peribadi – anda cuma perlu masuk ke laman web rasmi ‘The New Seven Wonders’ di alamat http://www.n7w.com. Di sana anda klik ‘The New 7 Wonder Of Nature’ dan masuk ke ‘Live Ranking’. Pilih ‘Group B – Island’ dan klik Sipadan Island, Malaysia, Asia.

22. Untuk skala besar pula – jika anda seorang pentadbir laman web atau laman blog, anda boleh mendapatkan ‘widget VOTE SIPADAN’ untuk diterbitkan pada laman web atau blog anda. Jika anda seorang pengacara televisyen atau penyampai radio – cuba dapatkan kebenaran dari pengawal siaran untuk mewartakan ‘Undi Untuk Sipadan’ di dalam rancangan anda. Jika anda editor pada majalah atau bahan percetakan – cuba ciptakan artikel Pulau Sipadan dan minta pembaca untuk mengundi Pulau Sipadan. Selebihnya jika anda seorang yang berpengaruh… inilah masanya untuk anda tunaikan semangat patriotik kepada negara anda!

23. Untuk kempen ini, cuba ketepikan segala pandangan negatif anda sebentar. Fikirkan impak terus ekonomi (atau kewangan) kepada negara jika Pulau Sipadan, Malaysia terpilih dalam ‘The New 7 Wonders’ ini. Bayangkan limpahan kedatangan pelancong ke Malaysia secara mendadak dan jumlah nilai tukaran wang asing yang bakal membawa kemakmuran kepada Malaysia dalam jangkamasa panjang.

24. Kepada rakyat Sabah, bayangkan infrastruktur awam yang bakal dibangunkan kelak demi memudahkan kedatangan pelancong-pelancong ini. Bayangkan jalanraya yang perlu dipertingkatkan, jalur-lebar internet yang perlu ditambah, blok-blok bangunan baru yang perlu dibangunkan, hotel dan resort baru yang memang sengaja dibangunkan, janakuasa elektrik yang perlu digandakan, operator pelancongan yang perlu ‘ditumbuhkan’, servis pengangkutan air yang perlu diciptakan dan yang paling PENTING sekali ribuan peluang pekerjaan baru yang perlu diwujudkan!

25. Senario ini kelak akan berlaku seperti di Agra, India dimana Agra Fort dikunjungi kerana berada bersebelahan dengan Taj Mahal, maka ‘The Lost World Of Sabah’ seperti Kompleks Gua Madai, Maliau Basin, Air Terjun Madai dan Lembah Danum bakal dikunjungi hanya kerana berada bersebelahan dengan Pulau Sipadan – ‘One Of The World’s Seven Wonders’! Bukankah ini hadiah ekonomi yang terbaik untuk generasi kita yang akan datang? Saya sudah mengundi, anda bila lagi?

undi-sipadan

KLIK SINI untuk mengundi Pulau Sipadan, Malaysia – http://www.new7wonders.com/nature/en/nominees/asia/c/SipadanIsland/


Tindakan

Information

6 responses

14 03 2009
bodrox

semoga berjaya, saudara serumpun :)

16 03 2009
daus

salam.. smoga apa yang saya tulis ni dapat diberi perhatian Yb.. sbelum tu saya sorang ank jati Lahad Datu yang telah bermastautin di KL baru-baru ini telah balik ke LD.. apa yang mgejutkan saya sedikit perubahan terhadap keadaan sosial di sini.. pertama- anak muda mudi di LD semakin menggemari motorsikal dan setiap malam berpuluh-puluh motor parking di kawasan bandar. apa yang membimbangkan, gejala remit semakin berleluasa di bandar ini. diharap campurtangan pihak berwajib dalam membanteras masalah ini amat diperlukan seperti POLIS dan JPJ. Kedua- sewaktu saya hendak makan di restoran, apa yang megejutkan saya, harga makanan tersebut lebih mahal dari harga makanan di kuala lumpur, sebagai contoh rm5.00 utk nasi berlauk di LD berbanding harga di KL rm3.50.. dimana peranan kementerian perdagangan bhgian LD dalam memantau harga sekarang? penduduk LD tidak sedar perbelanjaan harian mereka di LD ini lebih mahal drp KL.. harap YB dapat turun padang melihat senario ini.

19 03 2009
Razaliegh Mohd Zain

Salam,
Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih ke atas komen YB mengenai Pulau Sipadan. Sebagai salah seorang penyelam tempatan, sememangnya komen YB adalah amat bertepatan memandangkan Pulau Sipadan adalah destinasi penyelam yang terbaik di Malaysia.
Selain itu, kawasan laut di sekitar Semporna juga mempunyai pelbagai spesis marin yang semenangnya unik dan tidak / sukar ditemui di tempat-tempat lain di Semenanjung Malaysia.
Sebagai seorang warga tempatan, saya memohon kepada YB agar dapat menyeru usahawan-usahawan tempatan agar dapat menceburi bidang ini memandangkan ianya dapat memberikan sumber ekonomi yang baik disamping dapat memberikan peluang-peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
Selain itu, peluang / potensi adalah luas bagi pembangunan Darvel Bay di Lahad Datu sebagai destinasi menyelam yang baru memandangkan Darvel Bay juga terletak di dalam kawasan Coral Triangle Of The World. Dengan adanya promosi dan sokongan semua pihak, insya Allah, Darvel Bay dapat dibangunkan sebagai destinasi menyelam yang bertaraf dunia.
Sekian terima kasih.

27 03 2009
arung...

salam YB tahniah atas usaha yang dilakukan untuk majukan LD. banyak yang belum diterokai d LD jd usaha perlu dilakukan ke arah itu. pengurusan sumber yang bijak perlu agar pembangunan lestari dapat dilaksanakan d LD. infrastuktur jg perlu di bina dan d selenggara dgn cepat agar pembangunan dpt dilaksanakan dengan pantas. Lembah Danum jg merupakan 1 keajaiban dunia jika tidak mengapa rombongan pelancong dari Jepun yang buta penglihatannya sanggup datang ke sana semata-mata untuk menjejakkan kaki ke Hutan “dara” itu mungkan ada “sesuatu” yg kita org tempatan sendiri tidak tahu. jd peliharalah hutan itu sebaik-baiknya jgn biar ia lenyap dek kerakusan manusia. Pendukung amanah rakyat, pihak yg berkuasa dan masyarakat LD seharusnya berganding bahu mempertahankan alam sekitar kita. jgn hanya tahu menempelak pihak itu, pihak ini sahaja tetapi diri sendiri ibarat tin kosong. motivasi diri perlu agar sentiasa berfikiran positif dan memberi sumbangan kpd masyarakat dan generasi kita yg seterunya. Yg pastinya LD akan menjadi daerah yang terkenal dengan industri hiliran kepala sawit dan eko-pelancungan.

Wasalam…anak LD ni jo!!!

7 04 2009
anakjati LD

Tahniah YB….usaha YB dalam mempromosikan Pulau Sipadan menjadi 7 keajaiban dunia wajar dijadikan contoh oleh semua rakyat yang tinggal di Sabah terutamanya rakyat daerah Semporna, usaha YB ini wajar menjadi titik permulaan kepada pihak yang bertanggungjawab dalam mempromosikan Pulau Sipadan untuk menjadi Pulau Sipadan 7 keajaiban dunia.

Saya selaku rakyat yang tinggal di kawasan Parlimen Silam amat BERBANGGA dengan usaha YB lakukan ini, saya juga meminta agar YB turut mempromosikan tempat-tempat pelancongan yang terdapat dikawasan Parlimen Silam seperti YB promosi telaga tujuh dalam blog YB adalah salah satu langkah terbaik membuka mata kementerian yang bertanggungjawab agar memberikan perhatian yang serius kepada telaga tujuh.

Sebagai rakyat, saya akan bersama-sama YB untuk memajukan kawasan Parlimen Silam ini. Akhir kata semoga YB akan senantiasa diberikan kesihatan dan rezeki dari ALLAH SWT…

5 07 2009
Raja Rimba

X tumbuh x melata, x sungguh orang x kata. Totally agree with the intention

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: