Perdana Menteri Ke-Enam Malaysia

3 04 2009

najib-razak

Pada hari ini (Jumaat – 3 April 2009) negara telah menyaksikan satu lagi sejarah perubahan pucuk pimpinan tertinggi negara apabila Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi menyerahkan tugas Perdana Menteri kepada YAB DATO’ SERI MOHD NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK.

Proses peralihan dan penyerahan tugas berlaku begitu lancar tanpa berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini. Ini menunjukkan semangat demokrasi wujud dan segar dalam rutin politik negara. Sebentar tadi lebihkurang jam 8.40 minit malam, Perdana Menteri ke-6 Malaysia ini telah membuat ucapan sulongnya dan disiarkan secara langsung di televisyen.

Seperkara yang menarik, beliau telah mengumumkan 2 perkara penting iaitu ‘pembebasan’ media (akhbar) parti politik yang sebelum ini disekat penerbitannya dan juga pembebasan 13 orang tahanan ISA termasuklah dari Darul Islamiyyah dan Hindraf. Ini adalah satu ‘milage’ penting untuk Dato’ Seri Najib kerana semua orang mahukan perubahan dan tuntutan ini telah berjaya disahut oleh beliau.

Saya suka memetik kata-kata beliau sebentar tadi –

“Saya komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia termasuk di negara kita. Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia,”

Dengan ini saya selaku Ahli Parlimen P188 Silam, Sabah merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan ‘Selamat Maju Jaya’ diatas perlantikan Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abd. Razak selaku Perdana Menteri yang ke-enam Malaysia. Semoga dibawah pimpinan YAB Dato’ Seri, Malaysia akan lebih terus cemerlang dan saya doakan semoga beliau diberikan kekuatan, idea dan karisma sebagai ‘CEO’ yang akan memandu Malaysia ke-arah yang lebih baik.





Baliu..

3 04 2009

baliu1

PWTC – Jumaat 27 Mac 2009

1. Malam ini angin bertiup agak kencang. Tetapi angin ini bagai tidak dirasai didalam dewan-dewan yang menyiarkan keputusan pemilihan Wanita, Puteri dan Pemuda UMNO di PWTC. Angin di dalam dewan ini kaku, tidak bergerak, cuma sesekali terasa dingin dan menyapa muka. Walaupun ia angin tiruan dan bersifat sejuk – namun ada ramai yang berkeringat (berpeluh) di dalam kedinginan.

2. Dalam pepatah melayu juga ada menyebutkan fasal angin ini iaitu ‘Jika tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang’ dan lagi satu ‘Tidak perlulah mempercayai khabar angin’ dan kedua-dua ini jelas menunjukkan betapa kuatnya pengaruh angin didalam minda orang kita. Angin yang bertiup lembut adalah sangat mendamaikan, tetapi angin yang bertiup kencang akan membahayakan kerana ia sudah dipanggil sebagai puting beliung atau taufan. Kalau terjadi taufan, maka ramailah yang akan ‘naik angin’ dan tidak kurang juga yang ‘masuk angin keluar asap’.

3. Angin perubahan UMNO jelas telah bertiup dengan kencang dalam satu-dua hari ini. Mula-mula dengan pengumuman Ketua Wanita UMNO yang baru pada hari rabu baru-baru ini menyaksikan Ybhg. Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil mengambilalih teraju kepimpinan sayap wanita daripada penyandangnya. Kemudian diikuti dengan pengumuman Ketua Puteri – Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin dan lewat tengah malam, pengumuman Ketua Pemuda pula. YB Khairi Jamaluddin telah dipilih untuk mengetuai sayap ini.

4. Kemudian, semalam telah diumumkan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak telah sah menjadi Presiden UMNO yang baru. Tetapi, pengumuman mengenai Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ini tidaklah ditunggu-tunggu sangat oleh perwakilan kerana masing-masing telahpun mengetahui perkara ini sebelum diumumkan.

5. Seterusnya, pengumuman Timbalan Presiden UMNO dan tiga Naib Presiden UMNO. Ya, yang ini memang ditunggu-tunggu oleh semua. Ini ada kaitan dengan pembatalan Datuk Seri Ali Rustam sebagai calon Timbalan Presiden. Dan persoalan ini terjawab bila Tan Sri Muhyiddin Yassin di pilih oleh perwakilan sebagai Timbalan Presiden UMNO yang baru!

6. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dipilih sebagai Naib Presiden UMNO. Tidak lama kemudian diumumkan pula senarai Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang menyaksikan 3 wakil dari Sabah berjaya menempatkan diri di dalam senarai itu. Mereka ialah Datuk Haji Lajim Ukin, Datuk Seri Panglima Haji Musa Haji Aman dan Datuk Bung Mokhtar Raden.

7. Sepanjang perhimpunan agung UMNO kali ini, hati saya sentiasa berdebar-debar. Bukan kerana ada kaitan dengan calon pilihan hati saya, tetapi lebih kepada memerhatikan dan meneliti ‘angin perubahan’ yang sedang bertiup kencang di PWTC. Rata-rata perwakilan yang telah saya temui menyatakan harapan mereka agar perhimpunan agung kali ini akan mengetengahkan muka-muka ‘muda’ dan ‘bertenaga’ untuk memimpin Malaysia suatu hari nanti.

8. Dan angin perubahan itu terus bertiup dan berjaya mengubah lanskap teraju kepimpinan parti politik yang paling tua di Malaysia – United Malays National Organisation.

9. Selaku Ahli Parlimen, saya sangat menaruh keyakinan tinggi kepada Barisan Kepimpinan UMNO yang baru ini. Ini kerana apa yang berlaku dalam UMNO akan turut mengubah kabinet Malaysia. Sudah tentu Dato’ Seri Najib bakal menjadi Perdana Menteri Ke-Enam Malaysia dan sudah tentu juga Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi timbalannya.

10. Pada saya, perhimpunan agung UMNO terbaru ini saya iktiraf sebagai ‘satu sejarah klasik’ Malaysia untuk generasi masa depan kerana untuk kali yang pertama perwakilan telah memilih calon tanpa kekangan atau batas geografi, kedaerahan atau negeri. Buktinya, telah muncul seorang Naib Presiden UMNO dari Sabah dan telah lahir seorang ‘puteri’ dari Sabah. Syabas saya ucapkan kepada semua perwakilan.

11. Baliu bermaksud ‘ANGIN’ dalam Bahasa Bajau di Sabah. Dan disepanjang 100 hari akan datang, baliu akan terus bertiup dengan kencang demi me’reboot’ kembali Malaysia kepada posisi asal menuju ke arah negara maju 2020, insyaallah.