Menjadi Diri Sendiri

27 11 2008

jati-diri

1. Hari ini saya teringat cerita ‘Hang Nadim‘, seorang genius dalam sejarah melayu yang mengutarakan idea bernas tatkala yang lain berada dalam kebingungan.

2. Hang Nadim ketika itu masih budak, dan beliau sedar tentang akibat yang bakal diterima sekiranya pandangan yang dikemukakan itu melampau. Namun apabila beliau meletakkan kepentingan negeri melebihi peribadi, akhirnya terselamatlah seluruh rakyat di negeri itu dari serangan todak.

3. Berbanding dengan zaman kita sekarang ini, jika Hang Nadim wujud, pasti beliau diangkat menjadi wira negara. Apa yang penting disini, semangat ‘menjadi diri sendiri‘ yang ada pada Hang Nadim perlu kita contohi walaupun terdapat rintangan yang maha besar berada di depan kita.

4. Pada masa kini, saya perhatikan ramai yang hilang semangat jati diri. Ada yang sanggup menipu mempunyai kelulusan tinggi demi memenangi temuduga atau mahukan jawatan. Akhirnya, apabila ‘kedapatan’ orang ini dibuang kerja atau terus diheret ke mahkamah kerana menipu. Pada waktu itu malunya bukan alang-alang, kalaulah dia itu burung unta, tentu sahaja dia menimbuskan kepalanya ke pasir.

5. Begitu juga dalam lapangan bisnes, ada yang mengakui yang dia itu mampu melaksanakan kerja, tetapi sebaliknya perkara tersebut langsung tidak mampu dilaksanakan olehnya. Para usahawan seperti ini tidak ubah seperti menggali lubang sendiri.

6. Saya cuba bayangkan, kalaulah semua rakyat Silam mampu menjadi diri sendiri, sudah tentu Bandar Lahad Datu akan maju 10 tahun kehadapan berbanding lain-lain bandar di Sabah. Masalah pengangguran akan selesai kerana setiap orang akan ‘mengukur baju dibadan sendiri’ dan dengan itu tiada yang merungut menerima gaji kecil kerana berpadanan dengan ikhtisas masing-masing.

7. Apa yang kita sedih adalah untuk ‘menanggung biawak hidup’ sedangkan orang tersebut mampu untuk berdikari. Selalunya orang yang sentiasa memberikan alasan adalah sengaja menempah kesengsaraan hidup yang berpanjangan.

8. Masalah tidak menjadi diri sendiri merupakan faktor gawat zaman kini. Bila pemegang sijil SPM mengaku berijazah, bila peniaga kecil berlagak ahli korporat, bila pemandu berlagak bos dan bila pelayan mengaku taukeh restoran – ini semua akan menimbulkan gejala sosial yang lebih buruk lagi. Akhirnya akan berlaku kembali peristiwa pembunuhan Hang Nadim gara-gara hulubalang Sultan yang mengaku pandai ini bersangka buruk dan merasa terancam dengan kebijaksanaan seorang budak.

8. Seorang tokoh pemikir Indonesia terkenal, Dr. Ary Ginanjar Agustian menggariskan 7 nilai dasar untuk menjadi diri sendiri dan dipandang mulia oleh masyarakat iaitu jujur, tanggungjawab, berwawasan, disiplin, kerjasama, adil dan prihatin. Nilai-nilai ini perlu ada dalam setiap diri pemimpin supaya pihak yang dipimpin akan terus maju dan berdaya-saing (competence).

9. Kunci untuk menjadi diri sendiri ialah kejujuran. Jika kita semua jujur, maka apa yang kita usahakan akan berhasil.

10. Selain itu kita perlu ubah persepsi negatif apabila menilai orang lain. Apabila minda kita positif, semua maklumat, ilmu dan kebijaksanaan akan masuk dan menyerap, manakala jika kita sentiasa berfikiran negatif, situasinya tidak ubah seperti menyiram air didaun keladi.

11. Disepanjang pemerhatian saya terhadap kawasan P188 Silam, jelas menunjukkan yang warga Silam mempunyai kehebatan dan kecemerlangan untuk mengangkat Kunak, Lahad Datu dan Tungku menjadi maju dan membangun. Namun usaha ini agak perlahan disebabkan terdapatnya sifat-sifat negatif yang masih menyelubungi diri setiap warganya. Sifat ‘bersyukur kepada apa yang ada’ perlu dipertingkatkan kepada ‘berazam menjadi yang lebih baik’ dan sifat berharap kepada bantuan orang lain perlu dikikis terus dan memilih untuk berubah kepada ‘berdikari’.

12. Menjadi diri sendiri memang mudah untuk mereka yang positif dan terlalu sukar kepada mereka yang bersifat ‘temberang’. Sehubungan itu saya mengingati diri sendiri dan seluruh warga Silam agar berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua bidang dan saling hormat-menghormati dan sentiasa menjadi diri sendiri untuk masa depan yang lebih baik.

13. Kesimpulannya, jika semua warga muda Silam berfikiran seperti Hang Nadim dan warga senior Silam berperanan membantu idea-idea yang bernas ini, maka kita akan semua beruntung kerana kita sebagai manusia bersifat lemah dan saling memerlukan antara satu sama lain. Dengan ini ancaman anasir daripada pihak luar akan terbantut dan orang lain tidak mungkin dapat mengambil kesempatan terhadap kelemahan kita.





Saya Sayang Keluarga Saya

22 11 2008

myfamily

Assalamualaikum wbt. Sebagai manusia yang di ciptakan oleh Allah swt menjadi khalifah kepada keluarga dan mesyarakat maka oleh sebab itu kita perlu berusaha utk maju dalam semua bidang pembangunan manusia di samping kita perlu menyayangi dan mengormati di antara satu dengan lain. Dengan adanya perasaan seumpama ini maka dia akan membentuk ikatan kasih-sayang yang berterusan dan menguatkan ikatan kekeluargaan dan keintiman dalam keluarga. Saya juga sebagai manusia biasa banyak kekurangan tapi saya yakin, jika kita selalu ingat-mengingati antara satu sama lain, insyaalah hidup kita akan bertambah baik kualitinya. Kekuatan yang saya alami dari segi sokongan dorongan penghormatan daripada dalaman dan luaran terutamanya jika ada ujian daripada Allah swt.maka keluarga lah yang berperanan kuat dalam membentuk kekuatan jatidiri dalam menghadapi segala ujian daripada Allah.

Keluarga ibarat sebuah benteng yang akan membantu kita menahan diri daripada diserang oleh pelbagai ancaman daripada musuh. Tetapi jikalau ada ahli keluarga yang belot atau sengaja tidak memahami perjuangan dan falsafah dan selalu membuat tafsiran negatif serta menabur fitnah, maka sebenarnya mereka adalah oportunis dan mementingkan diri sendiri. Dia hanya berbuat begitu demi keuntungan diri sendiri – maka sebenarnya orang seumpama ini adalah tergolong sebagai parasit. Saya berharap kecemerlangan dan kegemilangan ikatan kekeluargaan perlu dilaksanakan dengan rasa kasih sayang hormat menghormati serta berpandangan positif sabar dan ikhlas dalam apa jua keadaan. Moga Allah akan memelihara kita semua dalam keluarga kita, keluarga saya dan keluarga besar P188 Silam. Kasih-sayang yang berteraskan keimanan (mengikut agama masing-masing) adalah kunci ikatan keluarga kita.





Kepimpinan Berteraskan Modal Insan

18 11 2008

1. Setiap orang yang datang ke pejabat saya di kawasan Fajar, Lahad Datu pasti tertanya-tanya tentang MOTTO kami iaitu ‘Kepimpinan Berteraskan Modal Insan’.

2. Perkataan ‘Modal Insan’ atau Human Capital telah dicetuskan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi tidak lama dahulu.

3. Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah mencetuskan revolusi idea dalam memberi penekanan terhadap usaha membangunkan Modal Insan sebagai satu landasan kecemerlangan generasi hadapan. Generasi hadapan merupakan aset insani Malaysia yang paling penting dalam usaha Kerajaan merealisasikan kewujudan sebuah Negara Bangsa yang Maju, Cemerlang, Gemilang dan Terbilang menjelang WAWASAN 2020.

4. Bagi merealisasikan matlamat tersebut, negara sentiasa berusaha menyediakan tenaga kerja berwibawa yang berbekalkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan teknologi.

5. MODAL INSAN merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Inilah modal insan yang memiliki personaliti unggul. Merekalah yang akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

6. Itu adalah maksud modal insan. Tetapi yang lebih penting dari itu adalah motto tadi yang menekankan perkataan ‘Kepimpinan‘. Perkataan ini membawa pengertian ‘role-model’ yang mempunyai nilai jatidiri ‘Modal Insan’ yang dimaksudkan. Secara langsung ia adalah berkait terus dengan kita semua selaku ketua, baik ibu-bapa, suami, pegawai, pengurus, ketua masyarakat dan semua orang yang mempunyai pengikut dibelakangnya.

7. Saya sebenarnya sangat menaruh harapan kepada seluruh warga P188 Silam mengenai hal ini. Saya sangat berbangga jika satu masa nanti semua bangsa di Silam menjadi modal insan yang berkualiti, mampu berdikari dan bersemangat KAIZEN (nilai peribadi orang Jepun) atau lebih hebat dari itu berperibadi seperti Rasullullah S.A.W

8. Terus saya teringat kepada satu pepatah lama: “Jika kau berikan aku ikan, maka aku akan kenyang untuk sehari, sebaliknya jika kau berikan aku kail dan mengajarkanku memancing, maka aku akan kenyang seumur hidupku”. Ia bermaksud ‘Daripada terus-menerus bergantung kepada orang lain, lebih baik jika kita berusaha untuk belajar dan meningkatkan kemampuan kita agar boleh seterusnya berdiri dan berusaha sendiri’.

9. Saya sangat kagum dengan sahabat-sahabat saya di Parlimen Malaysia, walaupun berpangkat YB dan sesetengahnya Datuk, namun mereka sentiasa ingin meningkatkan ‘modal insan’ diri mereka dengan belajar pelbagai ilmu moden, antaranya IT, Internet, Agama dan sebagainya. Mereka tidak malu untuk bertanya kepada sesiapa sahaja demi mendapatkan ilmu seterusnya menjadi seorang pemimpin yang berkualiti.

10. Cubalah anda bayangkan, jika seluruh warga Silam seperti itu, maka masalah sosial akan berkurangan dan masalah ekonomi dapat dihapuskan sekaligus. Ini kerana Silam menyediakan seribu peluang untuk warganya menjadi maju. Peluang-peluang perniagaan dan penerokaan jelas terbentang luas di Silam. Artikel saya sebelum ini menyebut tentang peluang dan potensi di Silam cuma apa yang diperlukan untuk maju sebenarnya adalah ‘modal insan’.

11. Jika diibaratkan seperti membuka sebuah restoran, modal yang diperlukan adalah peralatan, kerusi-meja, perkakasan memasak, kedai, hiasan, dapur, menu menarik dan wang TETAPI jika tiada PEKERJA – maka restoran tidak dapat dibuka. Perniagaan tidak akan berlaku. Jadi modal utamanya ialah tukang masak, tukang cuci, waiter (Pelayan), casher (Juruwang), pembantu dapur dan pengurus. Semua ini adalah PEKERJA dan pekerja bermaksud ‘modal insan’.

12. Saya tertarik kepada seorang warga tua dan anaknya yang datang ke pejabat saya pada minggu lepas. Anak pakcik ini baru sahaja tamat pengajian ijazah sarjana dari universiti tempatan di Kuala Lumpur. Pakcik ini datang ke pejabat saya untuk mendapatkan surat sokongan kerana anaknya akan bertemuduga kerja (interview). Sempat saya mengucapkan tahniah kepada anaknya dan ini menyebabkan saya terharu dan bangga. Saya terharu kerana pakcik ini bijak menggunakan peluang dan saya bangga kerana seorang anak dapat berbakti kepada orang tuanya tanpa menyusahkan orang lain. Saya berdoa kepada mereka agar temuduga itu berjaya.

13. Semangat seperti ini yang kita mahukan. Ini kerana tuhan tidak akan mengubah nasib kita jika kita sendiri tidak mengubahnya. Hal ini dinamakan tanggungjawab. Dan tanggungjawab terbesar kita selaku ‘modal insan’ Malaysia adalah mendaftar selaku pengundi apabila umur sudah mencukupi.

14. Umur 21 diiktiraf sebagai ‘dewasa’ di Malaysia. Kemudian anda akan bekerja dan jika bernasib baik anda akan menjadi ketua atau pemimpin. Dan apabila menjadi seorang pemimpin, maka jadikanlah ‘Kepimpinan Berteraskan Modal Insan’ selaku pegangan anda.

15. Artikel ini saya tulis khas untuk mengingati diri saya sendiri. Saya sangat menghargai semua pandangan anda yang memberi komen dalam blog ini. Marilah kita sama-sama membangunkan Silam demi untuk kesejahteraan masa hadapan. Wallahualam.

salleh-kalbi





Parlimen P188 Silam: Keistimewaan & Peluang

12 11 2008

p188

“Bermula sebagai satu perkara yang suka-suka, akhirnya berubah menjadi sesuatu yang serius, seronok, informatif dan bertanggungjawab.”

Itu adalah kata-kata dan pandangan oleh seorang rakan yang menyokong usaha saya pada pertama kali saya berjinak-jinak dengan penulisan BLOG di internet. Memang benar katanya, melalui blog ini, saya dengan mudah dapat menyatakan hasrat hati saya dan alhamdulillah, tidak sampai 48 jam apabila dilancarkan, sudah lebih 300 orang melawat blog ini. Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada mereka yang mengutarakan komen pada setiap nukilan saya. Saya amat menghargai setiap komen tuan-tuan.

Sebagai seorang Ahli Parlimen Malaysia, masa saya banyak tertumpu di kawasan Kuala Lumpur. Jesteru, ramai kenalan saya disana bertanyakan dimanakah letaknya kawasan Silam di Sabah? “Kami cuma mengenali Lahad Datu sahaja” sambung mereka lagi.

Jika dilihat pada paparan grafik diatas, Parlimen P188 Silam berada di sepanjang Teluk Darvel (Darvel Bay) dan mempunyai 3 Dewan Undangan Negeri (DUN) didalamnya – DUN N51 Kunak, N50 Lahad Datu dan N49 Tungku. Setiap DUN diwakili oleh seorang Wakil Rakyat iaitu YB. Nilwan Kabang (N51), YB Datuk Hj. Datu Nasrun Hj. Datu Mansur (N50) dan YB Ustaz Mohd. Suhaili Hj. Said (N49).

Secara ringkas, jika kita bergerak dari Kunak ke Tungku, mula-mula kita akan jumpa Pekan Kunak. Pekan Kunak kini sudah membangun dan di kawasan simpang Pekan Kunak sudah didirikan rumah-rumah kedai dan pembangunan ini bersambung hingga ke Tingkayu.

Air Terjun Madai merupakan satu daya tarikan pelancong di Tingkayu dan disebelahnya terdapat Gua Madai yang merupakan tapak tamadun awal manusia di Nusantara. Suku kaum Idahan (disebut ‘ida-an’) merupakan penghuni awal disini dan Gua Madai amat terkenal dengan hasil sarang burung yang berkualiti tinggi. Sarang burung layang-layang di Gua Madai adalah merupakan legasi turun-temurun masyarakat Idahan dan kawasan ini bagaikan berpesta bila setiapkali tibanya musim menuai. Tamadun awal manusia di Tingkayu bermula sekitar 26 ribu tahun dahulu. Kawasannya meliputi dari Lembah Tingkayu hingga ke Lembah Baturong.

Jika kita meneruskan perjalanan, kita akan bertemu dengan Lembah Danum (Danum Valley). Lembah Danum merupakan pusat penyelidikan (ekologi) flora, fauna dan mikrobiologi yang terkenal dan disini terdapatnya  tumbuh-tumbuhan yang tertua di dunia. Dengan ini maka tidak hairanlah mengapa Lembah Danum menjadi tapak penyelidikan pilihan fakulti sains universiti-universiti tempatan dan luar negara.

Di Silam juga ada Tabin Wilflife Reserve. Disini terdapat bermacam spesis hidupan liar yang eksotik. Di Tabin juga terdapat lava gunung berapi dan ‘mata-air panas’ (hotsprings) semulajadi. Melalui penyelidikan adalah dipercayai yang lava ini berkualiti tinggi untuk industri kosmetik.

Bandar Lahad Datu merupakan bandar moden yang membangun. Ia sangat pesat membangun memandangkan sifatnya sebagai ‘bandar transit’ yang menghubungkan laluan antara pantai timur dan pantai barat Sabah. Lahad Datu mempunyai sebuah lapangan terbang komersil. Tidak lama lagi penduduk Lahad Datu boleh berbangga kerana Darvel Bay Shopping Complex akan siap dibina dan merupakan ‘shopping-mall’ yang terbesar disini.

Kawasan Tungku merupakan kawasan perusahaan sawit yang terbesar di Malaysia. Disini terdapatnya ‘Felda Sahabat’ dan Felda Sahabat Resort di tepi laut. Tungku merupakan kawasan yang sangat sesuai untuk aktiviti perikanan dan pelancongan eco-tourism.

Di Lembah Segama pula terdapat simpanan emas (gold nugget) dan projek pemeliharaan ikan air tawar terbesar di Sabah.

Perkara menarik mengenai Silam adalah agama Islam mula bertapak di Borneo di kawasan Kampung Silam (sekitar Lembah Sapagaya). Maka tidak hairanlah sehingga kini masyarakat muslim mendominasi Silam dalam anggaran 90 peratus penduduk.

Silam adalah tempat yang paling sesuai untuk aktiviti pelaburan. Para pelabur adalah disarankan untuk membangun industri agar-agar (seaweed), Pelancongan (Marin dan Eco-tourism), Perikanan dan Perhotelan. Perkhidmatan ‘servis’ juga sangat sesuai disini seperti restoran, ‘movers’ & ‘courier’, Teknologi Maklumat dan industri vendor. Industri memproses agar-agar telah bermula di Tungku (Teluk Bakapit dan Teluk Kennedy).

Itu sahaja coretan saya untuk kali ini. Diharapkan anda dapat memahami serba-sedikit mengenai geografi dan peluang-peluang pelaburan di Parlimen P188 Silam, Sabah.

madai3





Majlis Mini Konvokesyen Tabika KEMAS Zon Tungku, Silam

9 11 2008

konvo-kemas

Saya mengucapakan jutaan terima kasih kepada Jabatan Kemas yang menjemput saya utk merasmikan Sijil Mini Konvokesyen Tabika KEMAS Zon Tungku dalam Parlimen Silam.

Tahniah kepada pihak penganjur serta ahli jawatan kuasa dan Jabatan Kemas. Tahniah juga saya ucapkan kepada para ibubapa yang telah berjaya membantu menjayakan majlis ini. Sesungguhnya peranan ibubapa dalam mendidik anak-anak sangat penting untuk pembentukan sahsiah anak-anak kita kerana ibubapa rapat dengan para ibubapa di samping ibubapa itu sendiri adalah ‘role model’ terbaik atau contoh yang terbaik dengan anak-anak kita sendiri. Ibubapa juga perlu berusaha untuk menabung serta mengajar anak kita dengan membantu pertumbuhan anak-anak agar menjadi insan yang cemerlang dan sesungguhnya anak adalah permata para ibubapa yang mendambakan agar anak yang mereka lahirkan akan menjadi insan cemerlang yang menjadi lambang kebanggaan dan lambang kasih sayang ibubapa.





Perasmian Sukan Bola Sepak 9 Sebelah: Piala Pusingan Ahli Parlimen

9 11 2008

 bola-9sebelah

Pada hari ini, Ahad 9 November 2008, saya telah ke Kampung Teluk Soioun, Jalan Lahad Datu – Tawau untuk merasmikan Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah merebut piala pusingan Ahli Parlimen.

Aktiviti riadah seperti sukan adalah sangat di galakan untuk memastikan tubuh badan kita menjadi cergas, sihat dan tidak mudah di serang penyakit. Dengan penganjuran kejohanan sukan bolasepak 9 sebelah bagi merebut piala pusingan Yang Berhormat Ahli Dewan Rakyat ianya bukan sahaja dapat menyihatkan kita tetapi saya sebagai Wakil Rakyat kawasan Silam akan dapat mendampingi rakyat daripada semua lapisan kaum dan masyarakat agar saya sendiri dapat melihat apa yang terbaik di rancang kepada rakyat dan kawasan saya. Di samping itu saya juga dapat merapatkan hubungan silaturahim di antara saya dan rakyat di seluruh Parlimen Silam Sabah.