Parlimen P188 Silam: Keistimewaan & Peluang

12 11 2008

p188

“Bermula sebagai satu perkara yang suka-suka, akhirnya berubah menjadi sesuatu yang serius, seronok, informatif dan bertanggungjawab.”

Itu adalah kata-kata dan pandangan oleh seorang rakan yang menyokong usaha saya pada pertama kali saya berjinak-jinak dengan penulisan BLOG di internet. Memang benar katanya, melalui blog ini, saya dengan mudah dapat menyatakan hasrat hati saya dan alhamdulillah, tidak sampai 48 jam apabila dilancarkan, sudah lebih 300 orang melawat blog ini. Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada mereka yang mengutarakan komen pada setiap nukilan saya. Saya amat menghargai setiap komen tuan-tuan.

Sebagai seorang Ahli Parlimen Malaysia, masa saya banyak tertumpu di kawasan Kuala Lumpur. Jesteru, ramai kenalan saya disana bertanyakan dimanakah letaknya kawasan Silam di Sabah? “Kami cuma mengenali Lahad Datu sahaja” sambung mereka lagi.

Jika dilihat pada paparan grafik diatas, Parlimen P188 Silam berada di sepanjang Teluk Darvel (Darvel Bay) dan mempunyai 3 Dewan Undangan Negeri (DUN) didalamnya – DUN N51 Kunak, N50 Lahad Datu dan N49 Tungku. Setiap DUN diwakili oleh seorang Wakil Rakyat iaitu YB. Nilwan Kabang (N51), YB Datuk Hj. Datu Nasrun Hj. Datu Mansur (N50) dan YB Ustaz Mohd. Suhaili Hj. Said (N49).

Secara ringkas, jika kita bergerak dari Kunak ke Tungku, mula-mula kita akan jumpa Pekan Kunak. Pekan Kunak kini sudah membangun dan di kawasan simpang Pekan Kunak sudah didirikan rumah-rumah kedai dan pembangunan ini bersambung hingga ke Tingkayu.

Air Terjun Madai merupakan satu daya tarikan pelancong di Tingkayu dan disebelahnya terdapat Gua Madai yang merupakan tapak tamadun awal manusia di Nusantara. Suku kaum Idahan (disebut ‘ida-an’) merupakan penghuni awal disini dan Gua Madai amat terkenal dengan hasil sarang burung yang berkualiti tinggi. Sarang burung layang-layang di Gua Madai adalah merupakan legasi turun-temurun masyarakat Idahan dan kawasan ini bagaikan berpesta bila setiapkali tibanya musim menuai. Tamadun awal manusia di Tingkayu bermula sekitar 26 ribu tahun dahulu. Kawasannya meliputi dari Lembah Tingkayu hingga ke Lembah Baturong.

Jika kita meneruskan perjalanan, kita akan bertemu dengan Lembah Danum (Danum Valley). Lembah Danum merupakan pusat penyelidikan (ekologi) flora, fauna dan mikrobiologi yang terkenal dan disini terdapatnya  tumbuh-tumbuhan yang tertua di dunia. Dengan ini maka tidak hairanlah mengapa Lembah Danum menjadi tapak penyelidikan pilihan fakulti sains universiti-universiti tempatan dan luar negara.

Di Silam juga ada Tabin Wilflife Reserve. Disini terdapat bermacam spesis hidupan liar yang eksotik. Di Tabin juga terdapat lava gunung berapi dan ‘mata-air panas’ (hotsprings) semulajadi. Melalui penyelidikan adalah dipercayai yang lava ini berkualiti tinggi untuk industri kosmetik.

Bandar Lahad Datu merupakan bandar moden yang membangun. Ia sangat pesat membangun memandangkan sifatnya sebagai ‘bandar transit’ yang menghubungkan laluan antara pantai timur dan pantai barat Sabah. Lahad Datu mempunyai sebuah lapangan terbang komersil. Tidak lama lagi penduduk Lahad Datu boleh berbangga kerana Darvel Bay Shopping Complex akan siap dibina dan merupakan ‘shopping-mall’ yang terbesar disini.

Kawasan Tungku merupakan kawasan perusahaan sawit yang terbesar di Malaysia. Disini terdapatnya ‘Felda Sahabat’ dan Felda Sahabat Resort di tepi laut. Tungku merupakan kawasan yang sangat sesuai untuk aktiviti perikanan dan pelancongan eco-tourism.

Di Lembah Segama pula terdapat simpanan emas (gold nugget) dan projek pemeliharaan ikan air tawar terbesar di Sabah.

Perkara menarik mengenai Silam adalah agama Islam mula bertapak di Borneo di kawasan Kampung Silam (sekitar Lembah Sapagaya). Maka tidak hairanlah sehingga kini masyarakat muslim mendominasi Silam dalam anggaran 90 peratus penduduk.

Silam adalah tempat yang paling sesuai untuk aktiviti pelaburan. Para pelabur adalah disarankan untuk membangun industri agar-agar (seaweed), Pelancongan (Marin dan Eco-tourism), Perikanan dan Perhotelan. Perkhidmatan ‘servis’ juga sangat sesuai disini seperti restoran, ‘movers’ & ‘courier’, Teknologi Maklumat dan industri vendor. Industri memproses agar-agar telah bermula di Tungku (Teluk Bakapit dan Teluk Kennedy).

Itu sahaja coretan saya untuk kali ini. Diharapkan anda dapat memahami serba-sedikit mengenai geografi dan peluang-peluang pelaburan di Parlimen P188 Silam, Sabah.

madai3