Setahun Yang Penuh Dugaan

31 12 2008

my-picSaya mengambil peluang ini untuk mengucapkan ‘Selamat Tahun Baru 1430/2009’ kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama sekali warga P188 Silam dari Tungku, Lahad Datu sehingga ke Kunak, Sabah.

Jika kita imbas kembali tahun 2008 merupakan tahun yang penuh sejarah, cabaran, peristiwa dan dugaan. Yang paling diingati ialah Pilihanraya 2008 yang mengubah lanskap politik negara dan membuktikan demokrasi di Malaysia benar-benar subur.

Selaku Ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional, saya amat berharap tahun 2009 akan membawa rahmat dan mengukuhkan lagi jalinan setiakawan antara parti-parti komponen. Tahun 2009 ini amat penting di mana negara bakal menyaksikan satu lagi sejarah peralihan pucuk pimpinan. Jesteru kita mestilah melipatgandakan usaha kita demi membangunkan negara. Sepakat membawa berkat, bersatu teguh, bercerai roboh.

Kepada yang berkuasa, jalankanlah kewajipan membela rakyat dengan sepenuh hati. Kuasa yang diberikan mandat oleh rakyat patut diterjemahkan dengan meneruskan usaha ‘melangkah ke hadapan’ dan bukannya mundur atau pegun demi kesejahteraan negara tercinta. Jika kita lalai dan masih beretorik, ini akan menyebabkan kuasa luar akan mengambil kesempatan atas kelemahan kita.

Sesungguhnya musuh yang paling dekat sekali adalah diri kita sendiri. Sifat negatif yang bersemadi dalam diri perlu di’tarbiyyah’ untuk menjadi positif. Jika semua kita dapat berfikiran positif dan bekerjasama dalam kumpulan, perkara yang paling mustahil sekalipun dapat kita atasi bersama. Pada tahun baru ini kita terjemahkan apa yang kita cakap dan fikir – kepada tindakan yang wajar (ACTION Oriented), komited, menjadi rakyat Malaysia yang rajin, gigih, berusaha dan berdikari. Inilah sebenarnya yang terkandung dalam tuntutan hijrah.

Kuatkan jatidiri, tingkatkan usaha, bulatkan azam, asahkan semangat, ciptakan target, tinggikan daya saing dan bekerja kuat untuk merubah diri sendiri pada tahun baru ini. Lupakan semalam kerana ianya sejarah, bertindak betul pada hari ini kerana ia nyata, dan perhalusi usaha pada esok hari kerana ianya masa depan. Apa yang kita laksanakan pada hari ini jangan sampai generasi esok akan mempersalahkannya.

Salam Hijrah 1430 dan Selamat Menyambut Tahun Baru 2009!





Manusia dan Kemanusiaan

29 12 2008

golden-gate01

“People have enough to live, but nothing to live for. They have the means, but no meaning” – Victor E Frankl

1. Hari ini saya berasa ada sesuatu yang tidak kena dalam dunia sekeliling saya, tepatnya dunia moden. Semacam saya mahu ingin kembali kepada zaman kanak-kanak, dimana pada zaman itu saya rasa cukup lengkap tanpa didampingi material keduniaan yang serba canggih seperti sekarang ini sehingga budak umur tiga tahun pun tahu apa itu laptop.

2. Jika kita imbas semula, saat kejadian manusia, ia bermula dari tiada apa-apa, menjadi sel pembawa kromosom X dan Y, kemudian menjadi benih, fetus, semakin membesar dan setelah cukup sifat, maka lahirlah seorang manusia dimuka bumi tuhan.

3. Manusia adalah makhluk tuhan yang paling sempurna, berbagai ayat dalam Al-Quran (saya yakin dalam kitab agama lain pun ada menyebut sebegini) menjelaskan tentang kesempurnaan manusia dan semakin ‘disempurnakan’ oleh Allah dengan mengangkat manusia sebagai khalifah di muka bumi, mengatur alam, mengurus ekosistem, menciptakan manafaat, bekerjasama menjaga alam untuk generasi akan datang serta membangun secara bijak segala sumber bumi ciptaan-NYA agar bermakna.

4. Kemudian manusia itu diperlengkapkan dengan pelbagai potensi diri selaku khalifah, maka wujudlah pilihan, wujud positif dan negatif, wujud yin dan yang dan berupaya membentuk keputusan lalu bergerak mengolah dunia seperti yang ada sekarang. Potensi-potensi pada diri manusia inilah yang menghantar manusia menuju ke arah ahsani taqwim (potensi terbaik) dan tidak terjerumus ke dalam asfala safilin (kehinaan, kerendahan).

5. Berbalik cerita mengenai kelahiran manusia tadi, ia diibaratkan seperti kain putih, maka ibu-bapanya bertanggungjawab untuk menconteng kehidupan bayi itu dengan pelbagai warna baik dan buruk. Ini bermakna, seorang manusia yang lahir itu belum tentu benar-benar menjadi ‘manusia’ apabila dewasa nanti. Bukanlah rahsia bilamana kita ketahui pada zaman ini, contohnya seorang budak memiliki IQ yang tinggi, lulus universiti tahap sarjana, menjadi pakar biologi dan akhirnya mencipta kehancuran dengan menyebarkan virus dan dalam masa sama, mencipta juga penawarnya, demi material, keduniaan, duit dan pengaruh. Adakah ini manusia? atau soalan yang lebih tepat – Manusia jenis apakah ini?

6. Pada zaman ini ada sekumpulan manusia yang sengaja diciptakan, menjadi pakar dalam bidangnya kemudian memilih ‘profession’ pencuri mahir sepenuh masa dan mengucar-kacirkan pihak keselamatan. Ada yang menjadi ‘hackers berbayar’ yang menggodam segala macam fail sulit untuk kepentingan peribadi seseorang. Ada yang bertugas menjadi guru namun menanamkan pelbagai dakyah songsang kepada pelajarnya tanpa menghiraukan impak dibelakang hari. Inilah manusia pada hari ini yang sememangnya pelik, ganjil dan tidaklah dapat kita hakimi dari penampilan luaran.

7. Jelas manusia zaman ini boleh ‘diternak’ dan kemudian digunakan untuk kepentingan individu. Manusia zaman ini dihadapkan dengan kepentingan daya intelektual (IQ), belajar rajin-rajin, masuk universiti, dapatkan pekerjaan yang bergaji lumayan, bekerja mencari duit dan bercitarasa tinggi, mencari kekuatan material seperti kereta mahal, gajet elektronik canggih, rumah banglo besar dan seterusnya berazam memiliki kuasa atau mengejar pangkat sehingga mendapat pelbagai gelaran didepan dan belakang namanya.

8. Adakah dengan memiliki semua ini menjadikan kita benar-benar ‘manusia’? Saya rasa tidak juga kerana pada waktu saya belajar di Amerika dahulu, negara ini benar-benar bertamadun, ‘lengkap’, ‘maju’ dan ‘terkini’ dalam semua bidang keduniaan. Sebut sahaja ilmu apa pun, semuanya ada di Amerika. Seingat saya, dari 10 orang rakyatnya, 8 daripada mereka memiliki sekurang-kurangnya ‘degree’ namun separuh dari mereka gagal menjadi manusia lalu memilih jalan singkat dengan membunuh diri di satu jambatan terkenal di San Francisco iaitu ‘The Golden Gate’.

9. Dengan pelbagai kejadian aneh yang berlaku sekarang menyebabkan saya rindu untuk kembali ke zaman kanak-kanak saya. Zaman yang penuh ketenangan dan semua ibu-bapa hanya mengharapkan agar anak-anak mereka menjadi ‘baik’ satu hari nanti. Tiada target khusus akademik pada zaman itu, sekeliling kami dilimpahi dengan kasih-sayang, hormat-menghormati, hidup sopan-santun dan sentiasa menjaga perasaan orang lain. Dan penanaman nilai-nilai kemanusiaan sebeginilah yang tidak dilengkapkan dalam sistem pendidikan moden sekarang. Satu keistimewaan menjaga, mengawal, menafsirkan dan memahami gerak hati atau ‘suara diri’ orang lain yang berada disekeliling. Keistimewaan ini merupakan satu kepintaran yang akhirnya membentuk karakter seseorang dan ‘memanusiakan’ manusia. Kepintaran ini dikenali sebagai EQ (Emotional Quotient) atau Kecerdasan Emosi.

10. EQ bertindak dari hati seseorang manusia. Kita selalu dengar ungkapan ‘kalau diikutkan rasa hati’ yang bermaksud ‘tak sampai hati’ untuk melakukan perkara negatif terhadap seseorang. Ini berbeza dengan IQ (Kecerdasan Intelek) pada zaman ini yang ‘semuanya sampai hati’ untuk berbuat yang negatif tanpa memikirkan perasaan mangsa. Contohnya seorang pegawai kewangan bank (sememangnya mempunyai IQ tinggi) tidak meluluskan pinjaman wang seorang pelanggan saat pelanggannya itu benar-benar memerlukan bantuan. Dengan sampai hatinya dia sanggup berbuat demikian hanya kerana menjaga ‘prestasinya’ sebab ingin mendapat markah yang baik untuk naik pangkat. Mengapa ini terjadi? ini kerana manusia jenis ini hanya ada IQ tetapi tiada EQ.

11. Contoh lain, seorang usahawan teknokrat yang belajar tahap PhD sehingga berjaya menghasilkan enjin berprestasi tinggi, kemudian beliau dijemput untuk bersama-sama dalam satu majlis pelancaran kereta baru Proton, seterusnya untuk menghormati darjat beliau maka dipersilakan untuk memberi sepatah-dua ucapan. Setelah berada di rostrum, dengan bangganya beliau bercerita secara teknikal tentang penemuan kajian syarikat beliau yang menghasilkan enjin baru dan seterusnya mengutuk dan memperlekehkan kereta baru Proton tadi. Jadi, akhirnya syarikat beliau disenaraihitamkan (black-list) daripada sebarang urusan dengan syarikat Proton. Contoh ini sekali lagi membuktikan yang seseorang yang ber-IQ tinggi belum tentu memiliki EQ.

12. EQ bermula dari hati, dan jika semua rakyat Silam memiliki kecerdasan ini, maka semua orang boleh berjaya dan hidup dengan aman. EQ merupakan resepi kejayaan syarikat-syarikat antarabangsa dan kejayaan pemimpin hebat. Bayangkan jika seorang tukang masak di satu restoran di Lahad Datu dipenuhi dengan EQ, maka pelanggannya akan datang berkali-kali tanpa bosan melihatkan mukanya. Berbanding dengan seorang ‘Chef terkenal’ yang sombong melayan pelanggan – kalau saya pun jumpa orang sebegini, maka sekali sahajalah saya ke restorannya.

13. Masalah hati dan perasaan inilah yang mengurangkan nilai-nilai kemanusiaan seseorang, sedangkan dalam Al-Quran telah menyebut “Tidakkah mereka mengembara di muka bumi, sehingga mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka mengerti dan mempunyai telinga yang dengan itu mereka mendengar? Sungguh, bukanlah matanya yang buta, tetapi yang buta ialah hatinya, yang ada dalam (rongga) dadanya” – Surah Al Hajj Ayat 46.

14. Al-Quran sebagai ensiklopedia panduan muslim sejak 1400 tahun yang lampau telah mengupas mengenai hati, tepatnya EQ ini. Kemudian bijak-pandai barat juga akur terhadap pentingnya EQ sehingga B.C Gorbes pernah menukilkan – ‘Ukuran tubuhmu tidak penting, ukuran otakmu cukup penting, Namun ukuran hatimu yang terpenting sekali’.

15. Dr. Robert K Cooper mengatakan ‘Hati mengaktifkan nilai-nilai dasar seseorang, mengubahnya dari sesuatu yang kita fikir menjadi sesuatu yang kita jalani. Hati mampu mengetahui hal-hal mana yang tidak boleh, atau tidak dapat diketahui oleh fikiran kita. Hati adalah sumber keberanian dan semangat, integriti serta komitmen. Hati adalah sumber tenaga dan perasaan mendalam yang menuntut kita untuk melakukan pembelajaran, menciptakan kerjasama, memimpin serta melayani’.

16. Dan hanya sekarang kita merasakan yang EQ sangat tidak diterapkan dalam masyarakat kini. Yang wujud hanya ‘manusia’ yang tidak berperikemanusiaan. Lantas apakah usaha kita untuk memperbetulkan keadaan ini?

17. Setuju atau tidak, sedar atau tidak – selaku manusia yang masih mempunyai hati, kita perlu menanamkan sifat kemanusiaan kepada anak-anak atau orang bawahan kita. Sifat jatidiri (atau tepatnya kebergantungan kepada diri sendiri) perlu diterapkan. Sifat jujur, bertanggungjawab, berwawasan, berdisiplin, bekerjasama, adil dan prihatin terhadap orang lain perlu diajar dari rumah. Jika kita terlambat untuk bertindak, maka generasi yang akan datang akan menjadi ‘manusia robot’ yang hanya lahir untuk tujuan komersil sahaja.

18. Betul kata Pendeta ZAA’BA, Kebergantungan terhadap diri sendiri perlu wujud dalam seorang manusia yang inginkan kejayaan. Ini dituntut dalam Al-Quran, Surah Al-Jumaah Ayat 10 yang bermaksud “Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah kurnia Allah dan sentiasalah ingat akan Allah supaya beruntung”. Tuhan tidak pernah suruh kita ‘berharapkan orang lain’ sebaliknya mengarahkan kita mencari rezki sendiri di dunia ini.

19. IQ ibarat otak dan EQ adalah perasaan. Ini yang menyebabkan ayat ‘Ada otak tapi tidak ada perasaan’ wujud. Inilah yang membezakan manusia dan haiwan. Namun manusia juga boleh menjadi lebih buruk dari haiwan jika tiada perasaan. Contohnya kes menjual bayi pada zaman ini yang tidak pernah terfikir oleh kita pada masa dahulu. Sekali pandang macam berada dizaman jahiliah pula, cuma bezanya zaman jahiliah orang menguburkan anak hidup-hidup dan zaman sekarang pula kuburannya adalah ‘tong sampah’, ‘longkang’ dan diperdangangkan untuk duit.

20. Memang menjadi manusia sangatlah susah. Apatah lagi untuk bersyukur kepada tuhan dan mengakui kehebatan orang lain. Semuanya berdasar kepada hati, kerana hati boleh menjadi lebih keras daripada batu, sedangkan batu yang keras pun jika terdapat air mengalir akan menerbitkan sungai yang memberikan manafaat kepada makhluk lain.

21. Jika kita ada hati, perasaan dan EQ, maka kita tidak akan duduk diam, menyusahkan ibu-bapa, menyusahkan adik-beradik dan pantas bangun untuk berusaha, berdikari mencari rezeki sendiri. Jika berlaku kesedaran sebegini, maka semua warga Silam akan beruntung. Jika fikiran kita positif, maka segala yang kita impikan akan menemui kejayaan.

22. Begitu juga pada ‘musim perkahwinan’ ini, jika kedua-dua mempelai faham fungsi masing-masing selaku pelengkap kitaran manusia dan seterusnya menerbitkan manusia yang lain – maka tidaklah berlaku kes perceraian yang statistiknya naik mendadak sekarang. Tidak perasankah anda yang usia perkahwinan zaman kini hanya mampu bertahan kurang lima tahun sahaja? Memang ini sangat membimbangkan dan ini memberikan fakta yang pengantin sekarang kurang EQ.

23. Fakta-fakta kekurangan EQ ini menjawab segala kelemahan pada manusia zaman ini. Saya menerbitkan artikel ini daripada penilaian semasa dan pengamatan saya terhadap generasi muda kini. Tidaklah saya bermaksud untuk menyinggung sesiapa yang berkaitan atau sengaja mengolok-olok seseorang. Sebagaimana dekatnya mata anda yang membaca tulisan ini pada skrin, maka dekatlah lagi hati, mata dan jari-jari saya demi menerbitkannya. Saya sayang keluarga saya, saya sayang orang sekeliling saya dan semua warga Parlimen Silam. Yang paling penting disini saya sangat sayang generasi saya. Secara jujur, hati saya amat terkesan bila melihatkan pengertian Surah Ar-Ra’d ayat ke-11 yang bermaksud; “Sungguh, Allah tidak akan mengubah nasib satu kaum jika mereka tidak mengubah keadaannya sendiri…”

24. Memanusiakan ‘manusia’ bermula dari kita. Setinggi manapun IQ tanpa EQ kita tidak dapat menjadi insan gemilang. Sesudah ada IQ dan EQ maka janganlah kita lupakan SQ (Spiritual Quotient). Ini kerana jika IQ adalah Otak, EQ adalah Perasaan maka yang lebih tinggi darinya adalah SQ iaitu ‘mengakui kebesaran Ilahi’. Take time to THINK, It is the source of power. Take time to READ, It is the foundation of wisdom. Take time to QUIET, It is the opportunity to seek God. Take time to DREAM, It is the future made of. Take time to PRAY, It is the greatest power on earth.





Mencari Usahawan Teknokrat Glokal

22 12 2008

hamid-awong

1. Ramai orang berjaya dalam hidup. Bermula dari pendidikan rendah, kemudian ke universiti akhirnya menggenggam segulung ijazah. Orang-orang sebegini sekarang bertugas menjadi peguam, jurutera, arkitek, doktor perubatan, guru pakar, pakar multimedia, pengaturcara komputer, saintis kajibumi dan ada yang bekerja di bidang pengurusan. Semua pekerjaan yang dinyatakan dikenali sebagai ‘professional’.

2. Golongan professional Silam sangat sedikit bilangannya. Ramai dikalangan mereka telah berhijrah ke tempat yang lebih baik seperti Kuching, Pulau Pinang, Singapura, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur. Sebab utama penghijrahan ini adalah kepakaran mereka lebih diperlukan di tempat-tempat ini. Selain itu gaji dan gaya hidup yang ditawarkan adalah jauh lebih menarik berbanding Silam atau Lahad Datu.

3. Jika anda seorang professional yang bermastautin di Lahad Datu, saya ada cadangan yang mungkin boleh diterima-pakai untuk anda. Katakanlah anda seorang konsultan (perunding) perniagaan, cuba jalinkan perhubungan dengan ahli professional yang lain di Silam. Carilah seorang peguam, seorang arkitek, seorang jurutera (engineer) dan seorang pakar IT.

4. Setelah anda berjumpa, kesemua 5 orang tersebut membentuk satu syarikat, bertemu dan bertukar-tukar pandangan mengenai peluang yang ada di Silam. Anda boleh mulakan dengan mengkaji keistimewaannya. Antara yang menarik termasuklah laut, hutan belantara dan gua. Kemudian teruskan perbincangan anda tentang bagaimana untuk menjadikan idea anda berjaya.

5. Sebagai contoh, syarikat anda mungkin boleh membina satu pusat peranginan ‘Taman Tema Lautan’ di salah satu pulau-pulau yang terdapat di Silam. Eksploitasikan ‘Darvel-Bay’ yang sudah terkenal sejak 1886. Anda boleh mula melakar ‘working-paper’ untuk mempersiapkan sebuah bangunan pentadbiran, chalet atas air (water chalets), sebuah lagun buatan (supaya senang aktiviti snorkling dilaksanakan), binakan gelongsor air, pancuran, dan lain-lain alat rekreasi air dihujung lagun tadi. Untuk kemudahan orang ramai berulang-alik, binakan jeti dan ciptakan perkhidmatan ‘water-taxi’. Dikeliling pusat rekreasi air ini binakan deretan chalet tadi. Siapkan juga bot memancing, kayak dan ‘jetski’ untuk kemudahan riadah. Sebuah ‘dewan serbaguna’ juga perlu disiapkan untuk kemudahan kursus dan seminar.

6. Setelah semua anda kenalpasti, bertungkus-lumuslah menciptakan ‘proposal’, ‘business-plan’, ‘blueprint’, ‘EIA (Impact Accessment) dan lain-lain dokumen teknikal. Cari PMC (Project Management Consultant) yang sesuai. Saya yakin pada saat ini anda lebih mengetahui prosedur ini berbanding saya. Dan akhirnya kita akan mendapat satu masalah: dari sumber manakah anda mendapatkan kewangan untuk projek ini?

7. Disinilah persoalan tersebut terjawab. Selaku rakyat Malaysia, kita sangat bertuah kerana lahir dan membesar didalamnya. Kerajaan Malaysia menyediakan pelbagai dana (atau geran) untuk merealisasikan cita-cita anda. Mungkin kebanyakkan orang hanya tahu istilah ‘pinjaman perniagaan’ tetapi pada kali ini saya ingin menceritakan tentang sumber-sumber lain yang disediakan oleh kerajaan untuk membantu golongan ‘teknokrat’ seperti anda.

8. Sebelum saya menceritakan tentang dana/geran ini, saya ingin menarik perhatian tentang pemikiran ‘tempatan’ dan daya-usaha ‘global’. Kemudian kedua-dua perkataan ini diistilahkan ‘Glokal’ oleh Y.B Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Glokal bermaksud ‘Global-Local’ menuntut rakyat Malaysia berfikiran jauh melampaui sempadan geografi disamping mengekalkan nilai-nilai murni asal-usul dan menghargai tempat kelahiran mereka iaitu Malaysia. Contoh manusia glokal ialah angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukur Al-Masrie. Beliau seorang doktor perubatan, seorang pengusaha restoran, seorang model komersil, motivator, pakar rujuk kesihatan, angkasawan dan fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Russia. Dalam masa yang sama beliau tidak lupa asal-usul, mengamalkan tradisi adat-pepatih (kerana beliau adalah dari suku Minangkabau) dan patuh kepada ajaran agama. Manusia seperti ini sememangnya layak menjadi tokoh belia dan tokoh pembaharuan untuk mengangkat bangsa Malaysia. Daya kemahuan untuk melampaui batas kekangan sekeliling wujud dan membuak-buak didalam dirinya. Dalam dirinya dipenuhi dengan keyakinan, azam yang kuat, kemahuan tinggi dan berfikiran positif untuk mengalahkan ribuan calon-calon angkasawan lain di Malaysia.

9. Sesungguhnya tokoh seperti ini yang saya tunggu-tunggu dari kalangan belia Silam. Saya sentiasa berdoa setiap waktu supaya satu hari nanti akan muncul seorang belia seperti ini. Seorang belia yang penuh dengan idea, minat, kesungguhan, intelek dan mampu berbuat sesuatu yang orang Lahad Datu tidak pernah fikirkan. Hasil daya-usaha orang ini akan mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan ekonomi, meningkatkan taraf pendidikan dan menyatukan semua penduduk Silam tidak kira bangsa, agama dan fahaman politik.

10. Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya bertuah kerana sentiasa berurusan di Kuala Lumpur. Saya juga berkenalan dan bercampur dengan Menteri-menteri persekutuan dan golongan korporat. Saya sempat menanyakan mereka tentang peluang-peluang rakyat Silam untuk menjadi setanding mereka. Dan disini saya senaraikan semua dana/geran yang saya ketahui.

11. Satu contoh geran yang menarik adalah ‘Dana Khas Pelancongan Malaysia‘ yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan dan diuruskan oleh SME Bank. Dana ini diwujudkan di setiap negeri di Malaysia. Dana pelancongan di Negeri Sabah sahaja sudah terkumpul lebih 40juta ringgit yang masih belum terusik. Dari sumber dalaman SME Bank Kota Kinabalu – pihaknya sentiasa menunggu permohonan dana ini dari mana-mana rakyat Sabah yang benar-benar mengusahakan aktiviti pelancongan. Seperti lain-lain urusan, SME Bank memerlukan komitmen dan dokumentasi teknikal dari anda. Ujar mereka – bab ini yang selalu ‘sangkut di tengah jalan’.

12. Sebab itulah pada awal tulisan ini saya menyentuh golongan professional yang ada di Silam. Saya yakin dengan ilmu yang ada pada anda, anda mampu untuk menguruskan dokumentasi seperti yang dikehendaki oleh pihak bank.

13. Saya akan berterima kasih dan akan membantu mempromosikan usaha anda. Ini kerana anda berlainan dari orang lain. Disaat orang lain melobi projek dan kontrak kerajaan – anda bergerak keluar dari kepompong ini dan sebaliknya mengusahakan ‘sesuatu’ dan membina empayar. Sesungguhnya bukan senang untuk seseorang ‘berani’ menempuh risiko hebat seperti ini. Ini mengingatkan saya teori terkenal ‘jurusan kewangan’ (finance) iaitu ‘High Risk = High Return’. Jika risiko tinggi yang anda pilih, dihujung jalan pulangannya juga cukup untuk kehidupan 7 generasi anda. Contoh ‘angan-angan Mat Jenin’ ini dibuktikan oleh mendiang Tan Sri Lim Goh Tong yang merupakan pengerusi dan pemilik Genting Berhad. Pada mulanya ‘Taukeh-Lim’ diketawakan kerana merentas belantara demi memajukan gunung – tetapi sekarang semua orang mengenali pusat peranginan ‘Genting Higland‘. Lim Goh Tong telah mengubah nasib dirinya dari seorang ‘pelobi projek kerajaan’ kepada jutawan berjaya kerana beliau berani mengambil risiko dan berfikiran ‘glokal’.

14. Mungkin coretan saya untuk kali ini agak berlainan, tetapi kelainan ini yang saya tunggu-tunggu sejak dahulu lagi. Jadi, adakah anda calon teknokrat yang saya cari untuk membawa perubahan dalam Parlimen Silam? Berikut merupakan senarai pautan dana/geran dan pinjaman perniagaan yang saya temui. Sila pindah-turun dan melayari pautan yang disediakan.

Demonstrator Aplication Grant Scheme (KTAK)
http://www.technopreneurdevelopment.net.my/Techno/Grant/Detail.asp?ID=2

Kementerian Pembangunan Usahawan Malaysia
http://www.mecd.gov.my/index.php?option=com_content&task=category&sectionid=38&id=77&Itemid=147

Small Medium Industry (SMI) Scheme @ SME Bank
http://www.smebank.com.my/malay/start-up.asp

Dana Infrastruktur Pelancongan (Kementerian Pelancongan)
http://www.motour.gov.my/index.php/infra_fund.html

Dana Khas Pelancongan Malaysia (Kementerian Pelancongan)
http://www.motour.gov.my/index.php/spec_fund.html

Peruntukan i-Desa (SPED)
http://www.pemudah.gov.my/portal/pemudah/References/Case+Study/CMSPortletWindow_66?uri=/refer/BANK%20RAKYAT-SPED&action=2

Skim Belia Niaga
http://www.pemudah.gov.my/portal/pemudah/References/Case+Study/CMSPortletWindow_66?uri=/refer/BANK%20RAKYAT-SBN&action=2

Skim Pembiayaan Mikro
http://www.pemudah.gov.my/portal/pemudah/References/Case+Study/CMSPortletWindow_66?uri=/refer/BANK%20RAKYAT-SKIM%20PEMBIAYAAN%20MIKRO-i&action=2

Pindah-Turun (Download) dokumen PDF tentang dana/geran di SINI


  • Nota: Maksud TEKNOKRAT – ‘An expert who is a member of a highly skilled elite group’.




UPF – Universal Peace Federation

21 12 2008

Hari ini saya ingin bercerita tentang salah satu agensi dalam UN (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) iaitu UPF – Universal Peace Federation. Ia merupakan satu badan dunia yang memberikan pengiktirafan kepada seseorang yang berjasa untuk menyokong dan membentuk keamanan manusia sejagat.

Apabila bercakap tentang ‘keamanan’ di Asia Tenggara, nyata tiada negara yang lebih aman berbanding Malaysia. Ini kerana setelah lebih 44 tahun merdeka, rakyat di negara ini hidup aman, makmur dan selamat walaupun terdapat banyak bangsa yang menghuninya. Pendapat ini disokong oleh Presiden Lembaga Akreditasi UPF Dr Yoo Chong Young dari Korea. Cuma kadang-kadang apabila kita hanya berada dalam negara sendiri, kita kurang nampak kelebihan, kemampuan dan keistimewaan Malaysia.

Memang sekarang banyak orang menyentuh tentang sensitiviti kaum yang sering dipaparkan di media utama, namun ini semua adalah isu semasa yang kadang-kala hanya menguntungkan sebelah pihak. Persekutuan Malaysia yang terkandung didalamnya 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan mestilah berusaha mengekalkan persekutuan ini. Suara-suara sumbang sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk ‘memerdekakan’ beberapa negeri di Malaysia sebenarnya mengarahkan kita untuk ‘berjalan mundur ke belakang‘. Cuba fikirkan jika salah satu negeri menuntut kemerdekaan, ia akan terpaksa bertungkus-lumus membentuk negara – mencipta matawang sendiri, membanci semula penduduk, menetapkan kerajaan dan jenis politik, memilih pemimpin, membangunkan prasarana asas seperti elektrik, komunikasi, jalanraya, air, mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat dan membangun ekonomi termasuklah galakan perniagaan, import-eksport dan mempromosi negara.

Jesteru, jika keadaan menjadi seperti ini – maka rakyat hidup dalam keadaan yang tidak selamat, ketakutan dan rusuhan akan senang-senang berlaku. Pandangan ini berjaya ditafsirkan oleh 2 wilayah sekitar kita yang telah merdeka baru-baru ini iaitu Timor-Leste dan Palau (selatan Filipina). Kedua-dua wilayah ini ‘merdeka dalam jajahan’ pihak luar. Ekonomi dan matawang mereka ditentukan oleh dolar Amerika (USD). Pasukan PBB sentiasa berada disana untuk memantau keamanan. Sumber asli yang terdapat disana terpaksa di ‘barter-trade’ demi pembangunan infrastruktur. Tiada perkataan ‘Eksport’ untuk mereka – yang ada hanyalah ‘Import’. Rakyat menjadi semakin terhimpit dan terpaksa hidup merana tanpa pekerjaan (walaupun mereka faham dan akur ini kehendak mereka sendiri kerana mereka jugalah yang menuntut merdeka). Presiden negara ini pun tidak lena tidur, pada tahun lepas sahaja kejadian ‘tembak presiden’ berlaku. Ekoran dari itu beliau terpaksa ‘berhotelkan’ hospital. Di negara baru ini tiada istilah ‘business’, yang ada hanyalah kapitalis dunia yang mengambil kesempatan. Tiada projek perumahan awam kerana yang ada hanyalah ‘pondok-pondok’ perlindungan. Tenaga elektrik dan paip air hanya menjadi bahan sejarah. Dan yang paling sedih… RUSUHAN berlaku hampir setiap hari dan anak-anak (generasi) tidak bersekolah (pendidikan).

Jika ini berlaku di salah satu antara negeri di Malaysia, saya yakin penduduk asal ngeri itu akan segera berpindah dan menjadi pelarian kepada negeri disebelahnya. Saya sentiasa doakan agar perkara ini tidak berlaku. Tidak kepada generasi cucu saya mahupun generasi piut ke-14 saya.

Ammbassador For Peace adalah satu anugerah besar kepada seseorang yang menuntut beliau ‘menjadi duta’ keamanan dan mempromosikan kesejahteraan. Ini dapat direalisasikan dalam ucapan, kenyataan media, aktiviti sosial, ceramah, kempen, perjumpaan masyarakat, promosi pendidikan dan menyokong saranan agama. Kebetulan saya seorang yang cintakan kedamaian dan mahukan rakyat Silam sentiasa mengubah nasib hidup. Oleh yang demikian, saya selalu menekankan tentang nilai ‘Kepimpinan Berteraskan Modal Insan’ dan ‘Menjadi Diri Sendiri’ dalam setiap aktiviti harian saya.

Jadi fikirkanlah pula sumbangan anda terhadap keamanan negara dan kesejahteraan bangsa. Adakah anda tergolong sebagai individu ‘tangan di atas’ atau seorang daif yang ‘tangannya di bawah’?. Sesungguhnya tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima.

Saya terbitkan topik keamanan, UPF dan Ambassador for Peace ini sebagai penghargaan kepada pihak UN (PBB) yang menganugerahkan pingat ini kepada saya baru-baru ini. Saya berasa amat terharu, bersyukur dan berterima kasih di atas penghargaan ini. Mungkin saya bukanlah orang yang benar-benar layak untuk menerima anugerah ini, namun seperti kata pepatah ‘Tuah Ayam Nampak Di Taji – Tuah Manusia Siapa Yang Tahu’. Terima kasih kepada semua rakyat Silam yang sentiasa menyokong usaha dan kerja-kerja saya. Sepatah kata Paklah: ‘Berkerjalah Bersama-sama Saya, Bukan Berkerja Untuk Saya’.

Malaysia – Selamat, Aman, Makmur

upf





Mengapa IT dan Apa Perlunya IT?

20 12 2008

it-ict

1. Lagu ‘Cinta-IT’ telah mula berkumandang sekitar tahun 1998 dan ‘bahangnya’ terasa hingga kini. Saya ingat lagi pada ketika itu, ramai yang tertanya-tanya apakah maksud IT itu? adakah ianya sebuah model kereta tempatan yang baru atau satu kempen politik atau mungkin juga satu jenis barang jualan yang hangat?

2. Kini telah genap 10 tahun kempen IT dilaksanakan di Malaysia. IT yang membawa maksud ‘Information Technology’ atau Bahasa Melayunya ‘Teknologi Maklumat’ hanya menampakkan ‘wajah’ sebenarnya sekitar tahun 2005. Hanya pada tahun 2005 rakyat dapat betul-betul memanafaatkan IT dimana kita dapat melihat ramai yang membeli ‘laptop’, menggunakan WiFi, membeli telefon canggih dan membeli tiket kapal terbang di Internet.

3. Setelah 10 tahun berlalu, masih ramai lagi rakyat kita yang masih lagi tidak mahu mencuba teknologi baru. WiFi misalnya, masih belum lagi menjadi kemudahan awam walaupun memang sudah banyak restoran yang menyediakannya secara percuma kepada pelanggan. Jika kita lihat skop Lahad Datu sebagai contoh, ada lebih 10 restoran yang menyediakan perkhidmatan ini, namun selalunya ia tidak digunakan, orang ramai yang datang hanya memesan makanan sambil bercerita kosong sahaja. Kadang-kadang ada juga kelihatan 2 atau 3 pelanggan yang membuka laptop – memindah-turun maklumat dan lagu mp3.

4. Dalam kita merasakan ‘canggih’ kerana adanya IT (yang kadang-kadang di’upgrade’ menjadi ICT) ini, ramai lagi sebenarnya yang takut untuk menceburi teknologi ini. Seorang pemilik restoran pernah bertanyakan kepada saya, apakah relevannya jika beliau memasang WiFi percuma, sedangkan bil internet terpaksa ditanggung olehnya. Ini yang menjadi masalah kepada kebanyakkan orang kita. Saya jawab – apakah pula relevannya ASTRO ditayangkan secara percuma pada restoran anda? dan seperti biasa jawapannya – ‘Ramai orang suka menonton Akademi Fantasia Dan Bola Sepak’.

5. Jika sebuah restoran memberikan perkhidmatan WiFi percuma kepada pelanggan, maka pelanggan yang akan masuk adalah yang berkualiti, mempunyai kewangan yang baik (kerana mampu membeli laptop), punyai kedudukan kerana kadang-kadang pelanggan semacam ini masuk ke internet dengan telefon WiFi sahaja tanpa mengharapkan laptop dan yang lebih penting mereka menggunakan internet lebih dari satu jam. Ini bermakna jika dalam anggaran 20 minit pelanggan ini kerap memesan minuman baru – maka kita akan mendapat hasil (lebihkurang) RM6.00 seorang/ sejam untuk minuman sahaja. Ini belum lagi pelanggan ini kelaparan dan memesan makanan dan lain-lain menu.

6. Selain dari WiFi, IT juga menyediakan peluang perniagaan yang sangat baik. Antaranya perkhidmatan ‘upgrade’ laptop, telefon bimbit dan komputer peribadi. Jika seorang pakar IT mengenakan cas RM40.00 untuk sebuah laptop dan dalam masa 1 hari beliau dapat melayan sebanyak 4 laptop, maka pendapatan sebulan beliau adalah sebanyak RM4,800.00. Cara ini amat bijak kerana beliau tidak perlu membuka kedai/pejabat, cuma yang penting ‘contact-number’ dan sebuah kenderaan untuk bertemu dengan pelanggan.

7. Katakanlah pada tahun 2012 separuh dari rakyat Silam masing-masing mempunyai laptop, maka pendapatan dari khidmat perunding IT akan bertambah lebih 200%. Kedai-kedai IT akan tumbuh macam cendawan dan ISP (penyedia talian internet) terpaksa menambah kapasiti ‘node’ kepada 8mbps. Kedai-kedai servis telefon juga akan bertambah subur.

8. Bila adanya internet, ramai antara kita membuka laman web dan blog masing-masing. Saya amat menaruh harapan agar wujud lebih 20 blog dari penduduk Silam yang fokus kepada jualan barang-barang tempatan di Internet. Aktiviti ini dikenali sebagai ‘E-Dagang’ atau ‘Electronic Commerce’. Sebagai contoh mudah, selaku rakyat Silam, anda boleh  mencipta sebuah Blog tentang ‘khidmat pelancong (tourist guide)’ dan jika nasib anda baik, ramai pelancong yang datang ke Lahad Datu akan bertemu anda terlebih dahulu dan meminta anda mengatur lawatan mereka. Jika sekepala anda kenakan cas RM 20/sehari dan yang datang adalah rombongan seramai 42 orang dan bercuti selama 5 hari  – kiralah sendiri pendapatan anda! Bukankah ini lumayan?

9. Begitu juga jika seorang suri rumah yang pandai menjahit membuka blog sendiri dan mengambil tempahan jahitan di internet – mungkin satu hari nanti beliau terpaksa pula membuka kedai jahitnya sendiri. Selain dari 2 idea ini, anda juga boleh menawarkan khidmat lain seperti menjual peta, gambar-gambar dan artikel berkaitan dengan Silam, Lahad Datu, Tungku dan Kunak. Semua ini mungkin tidak bermakna untuk orang tempatan, namun inilah yang dicari-cari oleh orang luar yang bakal datang selaku pelancong.

10. Dalam internet juga ada perkhidmatan yang dikenali sebagai ‘Youtube’. Jika anda seorang yang oportunis, mungkin anda boleh videokan pengalaman memancing di Lahad Datu. Manalah tahu anda berjaya mendaratkan ikan tuna 100kg, kemudian anda ‘upload’kan video tersebut di YouTube. Ini semua akan mempromosi Silam sebagai ‘syurga memancing’ di Malaysia. Dan jika kebetulan satu rombongan seramai 10 orang dari K. Lumpur datang untuk memancing di Lahad Datu – andalah orang yang pertama yang akan mereka hubungi. Ini akan meningkatkan ekonomi anda.

11. Inilah sebenarnya keperluan IT masa kini. Ia perlu dieksploitasi demi menaikkan taraf komuniti. Bagi saya, IT masih lagi baru di Silam, masih belum ramai lagi yang benar-benar pakar didalam bidang ini. Ini terbukti apabila saya ‘browse’ di Google.com mencari ‘bloggers’ Lahad Datu – hanya 1 – 2 nama sahaja yang tersenarai. Antara yang menarik ialah ‘Blog Irwan Idris’ yang memaparkan segala isu-isu semasa yang memberatkan fikirannya. Saya bangga dengan beliau kerana berjaya meletakkan ‘Lahad Datu’ dalam senarai Google, tetapi alangkah baiknya jika beliau menggunakan IT untuk meningkatkan taraf pendapatan diri sendiri, keluarga dan masyarakat berbanding aktivitinya sekarang. Namun saya hormati hak peribadi seorang ‘blogger’ di Internet, mungkin beliau benar-benar ada sebab yang positif mengapa beliau mewujudkan blog ini.

12. Satu lagi cabang IT adalah telefon bimbit. Jelas pada masa sekarang, dengan telefon anda boleh melayari laman web. Malah ada rakan saya menjadikan telefon beliau sebagai ‘modem broadband’ sebagai laluan laptop ke internet. Ini boleh dilaksanakan dengan teknologi 3G. Cuma bila memperkatakan tentang aplikasi telefon, ternyata SMS lah yang paling popular.

13. Saya juga sebenarnya masih belajar tentang IT ini. Saya cuba nyatakan disini harapan dan maksud hati saya kepada anda semua terutama sekali kepada penduduk Silam. Kerja saya menuntut tanggungjawab mempromosi, mentadbir, menyalurkan masalah rakyat dan bersama menggubal undang-undang negara. Separuh daripada tuntutan ini iaitu mempromosi kawasan P188 Silam sudahpun saya laksanakan. Tetapi apalah gunanya jika pintu sudah dibuka, jambatan sudah dibentang, kereta sudah dihidupkan tetapi rakyat Silam masih lagi belum mahu ‘masuk’ dan bersama-sama bekerja meningkatkan taraf ekonomi kawasan Silam. Wallahualam.