Manusia dan Kemanusiaan

29 12 2008

golden-gate01

“People have enough to live, but nothing to live for. They have the means, but no meaning” – Victor E Frankl

1. Hari ini saya berasa ada sesuatu yang tidak kena dalam dunia sekeliling saya, tepatnya dunia moden. Semacam saya mahu ingin kembali kepada zaman kanak-kanak, dimana pada zaman itu saya rasa cukup lengkap tanpa didampingi material keduniaan yang serba canggih seperti sekarang ini sehingga budak umur tiga tahun pun tahu apa itu laptop.

2. Jika kita imbas semula, saat kejadian manusia, ia bermula dari tiada apa-apa, menjadi sel pembawa kromosom X dan Y, kemudian menjadi benih, fetus, semakin membesar dan setelah cukup sifat, maka lahirlah seorang manusia dimuka bumi tuhan.

3. Manusia adalah makhluk tuhan yang paling sempurna, berbagai ayat dalam Al-Quran (saya yakin dalam kitab agama lain pun ada menyebut sebegini) menjelaskan tentang kesempurnaan manusia dan semakin ‘disempurnakan’ oleh Allah dengan mengangkat manusia sebagai khalifah di muka bumi, mengatur alam, mengurus ekosistem, menciptakan manafaat, bekerjasama menjaga alam untuk generasi akan datang serta membangun secara bijak segala sumber bumi ciptaan-NYA agar bermakna.

4. Kemudian manusia itu diperlengkapkan dengan pelbagai potensi diri selaku khalifah, maka wujudlah pilihan, wujud positif dan negatif, wujud yin dan yang dan berupaya membentuk keputusan lalu bergerak mengolah dunia seperti yang ada sekarang. Potensi-potensi pada diri manusia inilah yang menghantar manusia menuju ke arah ahsani taqwim (potensi terbaik) dan tidak terjerumus ke dalam asfala safilin (kehinaan, kerendahan).

5. Berbalik cerita mengenai kelahiran manusia tadi, ia diibaratkan seperti kain putih, maka ibu-bapanya bertanggungjawab untuk menconteng kehidupan bayi itu dengan pelbagai warna baik dan buruk. Ini bermakna, seorang manusia yang lahir itu belum tentu benar-benar menjadi ‘manusia’ apabila dewasa nanti. Bukanlah rahsia bilamana kita ketahui pada zaman ini, contohnya seorang budak memiliki IQ yang tinggi, lulus universiti tahap sarjana, menjadi pakar biologi dan akhirnya mencipta kehancuran dengan menyebarkan virus dan dalam masa sama, mencipta juga penawarnya, demi material, keduniaan, duit dan pengaruh. Adakah ini manusia? atau soalan yang lebih tepat – Manusia jenis apakah ini?

6. Pada zaman ini ada sekumpulan manusia yang sengaja diciptakan, menjadi pakar dalam bidangnya kemudian memilih ‘profession’ pencuri mahir sepenuh masa dan mengucar-kacirkan pihak keselamatan. Ada yang menjadi ‘hackers berbayar’ yang menggodam segala macam fail sulit untuk kepentingan peribadi seseorang. Ada yang bertugas menjadi guru namun menanamkan pelbagai dakyah songsang kepada pelajarnya tanpa menghiraukan impak dibelakang hari. Inilah manusia pada hari ini yang sememangnya pelik, ganjil dan tidaklah dapat kita hakimi dari penampilan luaran.

7. Jelas manusia zaman ini boleh ‘diternak’ dan kemudian digunakan untuk kepentingan individu. Manusia zaman ini dihadapkan dengan kepentingan daya intelektual (IQ), belajar rajin-rajin, masuk universiti, dapatkan pekerjaan yang bergaji lumayan, bekerja mencari duit dan bercitarasa tinggi, mencari kekuatan material seperti kereta mahal, gajet elektronik canggih, rumah banglo besar dan seterusnya berazam memiliki kuasa atau mengejar pangkat sehingga mendapat pelbagai gelaran didepan dan belakang namanya.

8. Adakah dengan memiliki semua ini menjadikan kita benar-benar ‘manusia’? Saya rasa tidak juga kerana pada waktu saya belajar di Amerika dahulu, negara ini benar-benar bertamadun, ‘lengkap’, ‘maju’ dan ‘terkini’ dalam semua bidang keduniaan. Sebut sahaja ilmu apa pun, semuanya ada di Amerika. Seingat saya, dari 10 orang rakyatnya, 8 daripada mereka memiliki sekurang-kurangnya ‘degree’ namun separuh dari mereka gagal menjadi manusia lalu memilih jalan singkat dengan membunuh diri di satu jambatan terkenal di San Francisco iaitu ‘The Golden Gate’.

9. Dengan pelbagai kejadian aneh yang berlaku sekarang menyebabkan saya rindu untuk kembali ke zaman kanak-kanak saya. Zaman yang penuh ketenangan dan semua ibu-bapa hanya mengharapkan agar anak-anak mereka menjadi ‘baik’ satu hari nanti. Tiada target khusus akademik pada zaman itu, sekeliling kami dilimpahi dengan kasih-sayang, hormat-menghormati, hidup sopan-santun dan sentiasa menjaga perasaan orang lain. Dan penanaman nilai-nilai kemanusiaan sebeginilah yang tidak dilengkapkan dalam sistem pendidikan moden sekarang. Satu keistimewaan menjaga, mengawal, menafsirkan dan memahami gerak hati atau ‘suara diri’ orang lain yang berada disekeliling. Keistimewaan ini merupakan satu kepintaran yang akhirnya membentuk karakter seseorang dan ‘memanusiakan’ manusia. Kepintaran ini dikenali sebagai EQ (Emotional Quotient) atau Kecerdasan Emosi.

10. EQ bertindak dari hati seseorang manusia. Kita selalu dengar ungkapan ‘kalau diikutkan rasa hati’ yang bermaksud ‘tak sampai hati’ untuk melakukan perkara negatif terhadap seseorang. Ini berbeza dengan IQ (Kecerdasan Intelek) pada zaman ini yang ‘semuanya sampai hati’ untuk berbuat yang negatif tanpa memikirkan perasaan mangsa. Contohnya seorang pegawai kewangan bank (sememangnya mempunyai IQ tinggi) tidak meluluskan pinjaman wang seorang pelanggan saat pelanggannya itu benar-benar memerlukan bantuan. Dengan sampai hatinya dia sanggup berbuat demikian hanya kerana menjaga ‘prestasinya’ sebab ingin mendapat markah yang baik untuk naik pangkat. Mengapa ini terjadi? ini kerana manusia jenis ini hanya ada IQ tetapi tiada EQ.

11. Contoh lain, seorang usahawan teknokrat yang belajar tahap PhD sehingga berjaya menghasilkan enjin berprestasi tinggi, kemudian beliau dijemput untuk bersama-sama dalam satu majlis pelancaran kereta baru Proton, seterusnya untuk menghormati darjat beliau maka dipersilakan untuk memberi sepatah-dua ucapan. Setelah berada di rostrum, dengan bangganya beliau bercerita secara teknikal tentang penemuan kajian syarikat beliau yang menghasilkan enjin baru dan seterusnya mengutuk dan memperlekehkan kereta baru Proton tadi. Jadi, akhirnya syarikat beliau disenaraihitamkan (black-list) daripada sebarang urusan dengan syarikat Proton. Contoh ini sekali lagi membuktikan yang seseorang yang ber-IQ tinggi belum tentu memiliki EQ.

12. EQ bermula dari hati, dan jika semua rakyat Silam memiliki kecerdasan ini, maka semua orang boleh berjaya dan hidup dengan aman. EQ merupakan resepi kejayaan syarikat-syarikat antarabangsa dan kejayaan pemimpin hebat. Bayangkan jika seorang tukang masak di satu restoran di Lahad Datu dipenuhi dengan EQ, maka pelanggannya akan datang berkali-kali tanpa bosan melihatkan mukanya. Berbanding dengan seorang ‘Chef terkenal’ yang sombong melayan pelanggan – kalau saya pun jumpa orang sebegini, maka sekali sahajalah saya ke restorannya.

13. Masalah hati dan perasaan inilah yang mengurangkan nilai-nilai kemanusiaan seseorang, sedangkan dalam Al-Quran telah menyebut “Tidakkah mereka mengembara di muka bumi, sehingga mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka mengerti dan mempunyai telinga yang dengan itu mereka mendengar? Sungguh, bukanlah matanya yang buta, tetapi yang buta ialah hatinya, yang ada dalam (rongga) dadanya” – Surah Al Hajj Ayat 46.

14. Al-Quran sebagai ensiklopedia panduan muslim sejak 1400 tahun yang lampau telah mengupas mengenai hati, tepatnya EQ ini. Kemudian bijak-pandai barat juga akur terhadap pentingnya EQ sehingga B.C Gorbes pernah menukilkan – ‘Ukuran tubuhmu tidak penting, ukuran otakmu cukup penting, Namun ukuran hatimu yang terpenting sekali’.

15. Dr. Robert K Cooper mengatakan ‘Hati mengaktifkan nilai-nilai dasar seseorang, mengubahnya dari sesuatu yang kita fikir menjadi sesuatu yang kita jalani. Hati mampu mengetahui hal-hal mana yang tidak boleh, atau tidak dapat diketahui oleh fikiran kita. Hati adalah sumber keberanian dan semangat, integriti serta komitmen. Hati adalah sumber tenaga dan perasaan mendalam yang menuntut kita untuk melakukan pembelajaran, menciptakan kerjasama, memimpin serta melayani’.

16. Dan hanya sekarang kita merasakan yang EQ sangat tidak diterapkan dalam masyarakat kini. Yang wujud hanya ‘manusia’ yang tidak berperikemanusiaan. Lantas apakah usaha kita untuk memperbetulkan keadaan ini?

17. Setuju atau tidak, sedar atau tidak – selaku manusia yang masih mempunyai hati, kita perlu menanamkan sifat kemanusiaan kepada anak-anak atau orang bawahan kita. Sifat jatidiri (atau tepatnya kebergantungan kepada diri sendiri) perlu diterapkan. Sifat jujur, bertanggungjawab, berwawasan, berdisiplin, bekerjasama, adil dan prihatin terhadap orang lain perlu diajar dari rumah. Jika kita terlambat untuk bertindak, maka generasi yang akan datang akan menjadi ‘manusia robot’ yang hanya lahir untuk tujuan komersil sahaja.

18. Betul kata Pendeta ZAA’BA, Kebergantungan terhadap diri sendiri perlu wujud dalam seorang manusia yang inginkan kejayaan. Ini dituntut dalam Al-Quran, Surah Al-Jumaah Ayat 10 yang bermaksud “Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah kurnia Allah dan sentiasalah ingat akan Allah supaya beruntung”. Tuhan tidak pernah suruh kita ‘berharapkan orang lain’ sebaliknya mengarahkan kita mencari rezki sendiri di dunia ini.

19. IQ ibarat otak dan EQ adalah perasaan. Ini yang menyebabkan ayat ‘Ada otak tapi tidak ada perasaan’ wujud. Inilah yang membezakan manusia dan haiwan. Namun manusia juga boleh menjadi lebih buruk dari haiwan jika tiada perasaan. Contohnya kes menjual bayi pada zaman ini yang tidak pernah terfikir oleh kita pada masa dahulu. Sekali pandang macam berada dizaman jahiliah pula, cuma bezanya zaman jahiliah orang menguburkan anak hidup-hidup dan zaman sekarang pula kuburannya adalah ‘tong sampah’, ‘longkang’ dan diperdangangkan untuk duit.

20. Memang menjadi manusia sangatlah susah. Apatah lagi untuk bersyukur kepada tuhan dan mengakui kehebatan orang lain. Semuanya berdasar kepada hati, kerana hati boleh menjadi lebih keras daripada batu, sedangkan batu yang keras pun jika terdapat air mengalir akan menerbitkan sungai yang memberikan manafaat kepada makhluk lain.

21. Jika kita ada hati, perasaan dan EQ, maka kita tidak akan duduk diam, menyusahkan ibu-bapa, menyusahkan adik-beradik dan pantas bangun untuk berusaha, berdikari mencari rezeki sendiri. Jika berlaku kesedaran sebegini, maka semua warga Silam akan beruntung. Jika fikiran kita positif, maka segala yang kita impikan akan menemui kejayaan.

22. Begitu juga pada ‘musim perkahwinan’ ini, jika kedua-dua mempelai faham fungsi masing-masing selaku pelengkap kitaran manusia dan seterusnya menerbitkan manusia yang lain – maka tidaklah berlaku kes perceraian yang statistiknya naik mendadak sekarang. Tidak perasankah anda yang usia perkahwinan zaman kini hanya mampu bertahan kurang lima tahun sahaja? Memang ini sangat membimbangkan dan ini memberikan fakta yang pengantin sekarang kurang EQ.

23. Fakta-fakta kekurangan EQ ini menjawab segala kelemahan pada manusia zaman ini. Saya menerbitkan artikel ini daripada penilaian semasa dan pengamatan saya terhadap generasi muda kini. Tidaklah saya bermaksud untuk menyinggung sesiapa yang berkaitan atau sengaja mengolok-olok seseorang. Sebagaimana dekatnya mata anda yang membaca tulisan ini pada skrin, maka dekatlah lagi hati, mata dan jari-jari saya demi menerbitkannya. Saya sayang keluarga saya, saya sayang orang sekeliling saya dan semua warga Parlimen Silam. Yang paling penting disini saya sangat sayang generasi saya. Secara jujur, hati saya amat terkesan bila melihatkan pengertian Surah Ar-Ra’d ayat ke-11 yang bermaksud; “Sungguh, Allah tidak akan mengubah nasib satu kaum jika mereka tidak mengubah keadaannya sendiri…”

24. Memanusiakan ‘manusia’ bermula dari kita. Setinggi manapun IQ tanpa EQ kita tidak dapat menjadi insan gemilang. Sesudah ada IQ dan EQ maka janganlah kita lupakan SQ (Spiritual Quotient). Ini kerana jika IQ adalah Otak, EQ adalah Perasaan maka yang lebih tinggi darinya adalah SQ iaitu ‘mengakui kebesaran Ilahi’. Take time to THINK, It is the source of power. Take time to READ, It is the foundation of wisdom. Take time to QUIET, It is the opportunity to seek God. Take time to DREAM, It is the future made of. Take time to PRAY, It is the greatest power on earth.


Tindakan

Information

2 responses

31 12 2008
Tok Janggut

Ilmu tanpa amal hampa

Memahami konsep manusia dan kemanusian adalah tahap tinggi dalam pengetahuan tentang fael dan afaal dalam kejadian makhluk Allah.

Moga YB Hj Salleh Kalbi tergolong dalam hamba Allah yang terbaik ….Insan Kamil….Amiin

5 01 2009
Tok Janggut

Amalan mestilah berlandaskan syariat
Fahaman mestilah berlandaskan tariqat
Pemikiran dan idea mestilah berlandaskan haqiqat
Renungan dan Simpulan mestilah berlandaskan Maqrifat…..
Pegangan mestilah Al quran dan Hadis….pasti selamat dunia dan akhirat

Di mana bumi dipijak di situlah langit kita junjung.

Manusia menuju ke tahap kemanusiaan, memerlukan pengorbanan dan jihad dalam diri. Untuk itu Konsep Awal Agama Mengenal Allah adalah yang paling tepat dan harus cuba di selami oleh semua pihak dengan cara yang berhikmah.

Insyallah semoga kita semua tergolong di dalam umat yang soleh dan solehah.

Hamba Allah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: