Tujuh Blog Berkaitan Silam

7 01 2009

dscn1646

Masih ada yang tidak faham mengapa saya anjurkan dan mempromosi blog berkaitan Silam dan malah ada juga pandangan yang meminta saya berfikir tentang releven, impak dan kegunaannya terhadap penduduk luar bandar Silam.

Selaku Ahli Parlimen, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mempromosi, mengenengahkan, membela, meningkatkan sosio-ekonomi dan membawa kemajuan dalam kawasan parlimen saya. Salah satu ‘channel’ sesuai untuk saya berbuat demikian adalah dengan internet.

Sebagai galakan untuk warga Silam menggunakan internet, saya telah lancarkan blog peribadi saya ini supaya segala hasrat hati dan pandangan rakyat dapat diutarakan terus kepada saya tanpa sekatan birokrasi. Dengan blog ini juga saya dapat berkongsi maklumat dan anda dapat menyaksikan, menilai dan mengetahui pergerakan saya. Maka dengan sebab itulah disertakan sekali artikel, gambar dan video dalam setiap kiriman.

Bermula dengan satu blog, alhamdulillah kini terdapat tujuh blog kesemuanya yang dibangunkan oleh warga Silam yang prihatin. Yang terkini adalah Blog Silam Gemilang. Sebenarnya apabila wujud satu laman web atau blog di internet berkaitan Silam maka saya amatlah berbesar hati. Ia ibarat vitamin yang memberikan saya tenaga untuk bekerja dengan lebih kuat lagi.

Apabila ketujuh-tujuh blog ini diketengahkan, ia akan membuat rakyat Malaysia peka terhadap perkembangan di Silam. Blog-blog ini merupakan gerbang maklumat dan sebagai ‘pemberitahuan’ kepada¬† Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menyalurkan segala macam peruntukan ke Silam. Apabila peruntukan ini disalurkan – faedah secara terus akan dinikmati tidak kira pada masyarakat bandar atau luar bandar di Silam ini.

Kepada yang punya kesempatan, peluang dan kuasa untuk melayari 7 blog Silam di internet, maka sebarkanlah segala berita yang anda dapat didalamnya kepada mereka yang tidak berpeluang membacanya. Simpan halaman blog pada komputer anda dan cetaklah untuk dikongsikan dengan keluarga, masyarakat dan rakan-rakan.

Jika warga Silam dapat membaca dan menghayati halatuju yang dibawakan oleh blog-blog ini, maka semua target, impian, falsafah dan tindakan akan sama-sama berjalan seiring diantara pemimpin dan rakyat. Dengan itu Silam akan lebih terkehadapan dan berdaya saing berbanding kawasan-kawasan lain di Sabah pada satu hari kelak, insyaallah.

Sejak blog ini diterbitkan, saya dapat banyak komen yang positif dan negatif dari anda penduduk Silam. Saya ucapkan berbanyak terima kasih dan akan terus menulis disini biar sesibuk manapun saya. Saya juga memohon maaf jika tidak sempat membalas atau menjawab komen anda di blog ini atau di email saya. Namun saya tetap membaca semua komen yang anda utarakan.

Berikut disertakan semua pautan blog-blog berkaitan Silam untuk rujukan anda.

  1. P188 – Blog Rasmi YB Hj. Salleh Hj. Kalbi – sallehkalbi188.wordpress.com
  2. P188 – Blog Parlimen Silam – p188silam.blogpot.com
  3. P188 – Laman Web E-Sahabat Silam – www.e-sahabatparlimensilam.com/maklumat%20e-sahabat.htm
  4. P188 – Ambassador PBB – ambassadorpbb.blogspot.com
  5. P188 – Discover Silam – silam188.blogspot.com
  6. P188 – Unity Silam – unitysilam.blogspot.com
  7. P188 – Silam Gemilang – silamgemilang.wordpress.com




Orientasi dan Hijrah

7 01 2009

orientasi

1. Kaum melayu secara keseluruhannya, mempunyai orientasi yang berbeza-beza mengikut keluarga. Seterusnya hasil orientasi tersebut menjadi budaya. Apa yang saya ingin nyatakan disini menjurus tentang pendidikan ibu-bapa terhadap anaknya.

2. Sebagai contoh, jika seorang bapa tiap-tiap hari bangun pagi untuk bersembahyang subuh dan selepas sarapan pagi membaca akhbar, maka secara automatik anak-anaknya juga turut mengikut ‘habit’ bapanya. Dan akhirnya akan wujud budaya membaca dalam keluarga itu.

3. Juga jika seorang bapa menggunakan Bahasa Inggeris apabila memarahi anaknya, maka si anak akan cepat memahami bahasa ini. Maka tidak timbul rasa rendah diri di sekolah bila tiba kelas ‘English’.

4. Masalah orientasi amat ketara bila sebuah keluarga menerima kehadiran seorang menantu. Semestinya terasa janggal bila keluarga Bajau menerima menantu Minangkabau, Bugis berkahwin dengan Jawa, Iban berkahwin dengan Kadazan dan lebih-lebih lagi Melayu berkahwin dengan Cina. Seorang menantu lelaki pasti menerima kejutan budaya bila ‘masuk’ ke dalam keluarga isterinya dan sebaliknya.

5. Umur 13 hingga 17 tahun merupakan masa kritikal seorang remaja untuk menjadi seorang ‘manusia’. Kepada yang bernasib baik – akan belajar di sekolah berasrama penuh atau MRSM. Di sekolah-sekolah terpilih ini, mereka akan diorientasikan dengan budaya ilmu, pemikiran kritis, sifat setiakawan, kursus, seminar, ceramah, usrah, bengkel motivasi dan diajar berdikari. Akhirnya pelajar-pelajar terpilih ini akan masuk ke universiti dan berjaya dalam hidup. Golongan inilah yang akan membentuk peradaban Malaysia seterusnya.

6. Tetapi perasankah kita hanya kurang 35% anak-anak di Malaysia mendapat peluang untuk bersekolah di SBP & MRSM? Selebihnya akan meneruskan pendidikan di sekolah menengah biasa di kampung masing-masing. Yang menjadi isu disini ialah – jika mereka hanya tamat setakat SPM dan kemudiannya memasuki alam pekerjaan, maka nasib mereka tidaklah jauh berubah berbanding ibu-bapa mereka sendiri. Orientasi mereka masih bersifat ‘local’ dan mereka juga akan menghasilkan generasi yang ‘lebih kurang sama’ sahaja. Sekali lagi golongan ini mewakili 65% daripada rakyat kita.

7. Apabila berlaku kemasukan kaum lain ke daerah mereka (lebih-lebih lagi orang negara luar) mereka akan menerima kejutan budaya dan secara tidak langsung ‘membenci’ kaum luar ini hanya kerana ‘kurang faham’ dan ‘biadap’ terhadap budaya setempat. Kemudian berlakulah tuduh-menuduh, caci-mencaci dan sebagainya sedangkan kaum luar akan meraih keuntungan dan memperniagakan setiap hasil yang mereka perolehi.

8. Inilah yang biasanya terjadi dikalangan kita, terutama bangsa rumpun Melayu. Kita sedar bahawasanya kaum kita ini cukup senang dengan orientasi keluarga masing-masing dan sentiasa berharapkan ‘tongkat’ untuk hidup. Sebagai contoh, ramai kaum Melayu (terutamanya di Silam) mempunyai anak-anak yang cukup sifatnya untuk bekerja tetapi memilih untuk menganggur dan duduk serumah dengan ibu-bapa mereka. Ada juga yang bekerja tetapi masih mengharapkan bantuan ibu-bapa tanpa berusaha sendiri untuk mencapai kejayaan.

9. Hasilnya, keuntungan daerah (atau tempatan) diraih oleh pihak luar. Sesungguhnya saya tidak akan mengizinkan perkara ini terus terjadi di Silam!

10. Untuk keluar dari orientasi keluarga (dan masyarakat setempat), kita perlu berhijrah keluar dari tempat kita atau menukar ‘mindset’ ke arah yang lebih positif. Saya sangat kagum dengan rakan-rakan saya dari Sarawak, Negeri Sembilan, Kelantan, Johor dan Kuala Lumpur yang bermastautin di Silam – bekerja, berniaga dan menyumbang tenaga untuk pembangunan bandar-bandar yang ada di kawasan saya. Tetapi seperti yang saya katakan awal tadi, saya dapat merasakan betapa peritnya mereka untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat tempatan Sabah yang ada di Silam ini.

11. Untuk itu, saya ceritakan sedikit pengalaman saya di USA sewaktu saya belajar dahulu. Sebaik sampai di Amerika, saya mengalami kejutan budaya kerana selama ini yang saya tahu hidup saya cuma di Malaysia. Ya, sesiapa pun akan bersetuju dengan saya kerana di tempat asing ini bukan sahaja bahasanya berlainan, tetapi yang lebih teruk lagi adalah makanan, cuaca dan budaya masyarakat yang jauh berbeza dengan Malaysia. Apabila di tempat asing, rakan-rakan saya pada waktu itu adalah ‘orang Malaysia’ dan ‘orang Asia’. Saya ingat lagi, dengan sedikit kelebihan dalam Bahasa Inggeris, hampir setiap malam saya membantu rakan-rakan Malaysia untuk ‘membuat assignment’ dan saya hanya akan menyiapkan ‘assignment’ saya setelah selesai semua ‘assignment’ rakan-rakan.

12. Pada waktu itu saya akan berkawan dengan sesiapa sahaja dari Asia dan orang-orang Malaysia saya anggap keluarga saya. Tidak pernah pula saya mencari orang Lahad Datu atau orang Sabah sahaja untuk menjadi kawan. Asalkan orang tersebut boleh berbahasa Melayu – maka itulah keluarga saya. Saya membantu dengan ikhlas semua rakan-rakan saya kerana terfikir apalah yang akan jadi kepada mereka jika ‘assignment’ mereka tidak siap, keputusan mereka tidak kompeten (competence) dan bakal dihantar pulang ke Malaysia. Disitu saya meletakkan diri saya pada mereka – apakah perasaan saya jika disingkir keluar dari universiti dan apakah pula perasaan ibu-bapa saya?

13. Nyata dan jelas kepentingan HAJI dan HIJRAH dalam Islam amat besar ertinya pada saya ketika itu. Dan saya bersyukur setelah saya berada di luar negeri, orientasi dalam keluarga yang saya bina sekarang sudah jauh berbeza berbanding kehidupan saya dahulu. Saya berjaya mengubah minda dan hidup anak-anak saya dan mereka sekarang sudah berdikari. Pengalaman hidup di luar juga mengajar saya menerima dan menghormati semua rakan-rakan saya baik dari Semenanjung dan Sarawak tidak kira apa jua bangsa. Apabila saya dilantik menjadi Ahli Dewan Rakyat, maka saya tidak kekok untuk menyesuaikan diri. Malaysia sudah menjadi kampung halaman saya!

14. Begitu juga bila kita melihat tentang konsep ‘Integrasi Nasional‘ yang saya kira belum berjaya. Rata-rata ramai rakyat Malaysia di Semenanjung masih belum pernah menaiki kapal terbang dan melancong ke Sabah. Ada juga sesetengah yang mengatakan ‘saya tidak tahu bagaimana di Sabah, tetapi kalau kami di Malaysia…’ dan pandangan ini macamlah yang Malaysia bererti Semenanjung dan Sabah adalah negara lain. Seorang rakan saya dari Negeri Sembilan pernah bercerita dengan saya tentang pengalamannya mengahwini gadis dari Sabah. Setelah 2 minggu berkahwin – dia membawa isterinya ke kampung halamannya. Kemudian ada seorang rakannya bertanyakan ‘Kau di sana (Sabah) menggunakan matawang apa?’… tidaklah ini melucukan?

15. Jika saya menjadi Menteri Pelancongan, saya akan mempertingkatkan lagi usaha mempromosi ‘Cuti-Cuti Malaysia’ supaya semua rakyat kita benar-benar dapat berintegrasi antara satu sama lain. Kalau tidakpun, setiap acara penting berkaitan pelancongan saya akan pindahkan ‘venue’ ke Sabah, Sarawak, Langkawi atau di Perlis. Biarlah ia jauh sedikit, namun niat saya hanyalah untuk memperkasa sahutan ‘integrasi nasional’ ini.

16. Agama Islam menuntut kita untuk menunaikan haji. Namun tidak pernah kita terfikir yang kebaikan ibadat haji anjuran Islam adalah untuk kita berpeluang ‘melancong’ melihat tempat orang lain dan bergaul dengan masyarakat dunia. Jelas bahawa tuntutan pergi melancong telah diajarkan Islam dan tidak hairan jika sesiapa sahaja yang pernah mengerjakan ibadat ini akan kembali semula ke tanah suci untuk kali yang kedua dan ada juga yang mengambil kesempatan untuk ‘ziarah’ negara-negara berhampiran seperti Yemen, UAE, Syria, Jordan, Mesir dan Iran.

17. Untuk bermula, anda perlu kosongkan minda dan memasukkan unsur-unsur pemikiran positif dalam diri anda. Mulakan dengan hijrah minda terlebih dahulu. Cuba menerima rakan-rakan anda dari bangsa-bangsa lain dengan hati yang terbuka. Jangan melenting dan berasa janggal jika pertuturan, orientasi, adab dan tingkahlaku mereka berbeza dengan anda. Semaikan perasaan ‘sangka-baik’ terhadap rakan anda tadi kerana siapa tahu rupanya yang berada disebelah anda sekarang adalah orang yang bakal mengubah nasib anda selama-lamanya!

18. Saya kira tahun 1430/2009 ini adalah tahun yang sangat sesuai untuk kita semua berubah, menukar orientasi hidup dan melakukan anjakan paradigma. Sejarah telah membuktikan yang apabila berlaku hijrah terhadap sesuatu bangsa – disana mereka akan mencapai kemenangan!