Orientasi dan Hijrah

7 01 2009

orientasi

1. Kaum melayu secara keseluruhannya, mempunyai orientasi yang berbeza-beza mengikut keluarga. Seterusnya hasil orientasi tersebut menjadi budaya. Apa yang saya ingin nyatakan disini menjurus tentang pendidikan ibu-bapa terhadap anaknya.

2. Sebagai contoh, jika seorang bapa tiap-tiap hari bangun pagi untuk bersembahyang subuh dan selepas sarapan pagi membaca akhbar, maka secara automatik anak-anaknya juga turut mengikut ‘habit’ bapanya. Dan akhirnya akan wujud budaya membaca dalam keluarga itu.

3. Juga jika seorang bapa menggunakan Bahasa Inggeris apabila memarahi anaknya, maka si anak akan cepat memahami bahasa ini. Maka tidak timbul rasa rendah diri di sekolah bila tiba kelas ‘English’.

4. Masalah orientasi amat ketara bila sebuah keluarga menerima kehadiran seorang menantu. Semestinya terasa janggal bila keluarga Bajau menerima menantu Minangkabau, Bugis berkahwin dengan Jawa, Iban berkahwin dengan Kadazan dan lebih-lebih lagi Melayu berkahwin dengan Cina. Seorang menantu lelaki pasti menerima kejutan budaya bila ‘masuk’ ke dalam keluarga isterinya dan sebaliknya.

5. Umur 13 hingga 17 tahun merupakan masa kritikal seorang remaja untuk menjadi seorang ‘manusia’. Kepada yang bernasib baik – akan belajar di sekolah berasrama penuh atau MRSM. Di sekolah-sekolah terpilih ini, mereka akan diorientasikan dengan budaya ilmu, pemikiran kritis, sifat setiakawan, kursus, seminar, ceramah, usrah, bengkel motivasi dan diajar berdikari. Akhirnya pelajar-pelajar terpilih ini akan masuk ke universiti dan berjaya dalam hidup. Golongan inilah yang akan membentuk peradaban Malaysia seterusnya.

6. Tetapi perasankah kita hanya kurang 35% anak-anak di Malaysia mendapat peluang untuk bersekolah di SBP & MRSM? Selebihnya akan meneruskan pendidikan di sekolah menengah biasa di kampung masing-masing. Yang menjadi isu disini ialah – jika mereka hanya tamat setakat SPM dan kemudiannya memasuki alam pekerjaan, maka nasib mereka tidaklah jauh berubah berbanding ibu-bapa mereka sendiri. Orientasi mereka masih bersifat ‘local’ dan mereka juga akan menghasilkan generasi yang ‘lebih kurang sama’ sahaja. Sekali lagi golongan ini mewakili 65% daripada rakyat kita.

7. Apabila berlaku kemasukan kaum lain ke daerah mereka (lebih-lebih lagi orang negara luar) mereka akan menerima kejutan budaya dan secara tidak langsung ‘membenci’ kaum luar ini hanya kerana ‘kurang faham’ dan ‘biadap’ terhadap budaya setempat. Kemudian berlakulah tuduh-menuduh, caci-mencaci dan sebagainya sedangkan kaum luar akan meraih keuntungan dan memperniagakan setiap hasil yang mereka perolehi.

8. Inilah yang biasanya terjadi dikalangan kita, terutama bangsa rumpun Melayu. Kita sedar bahawasanya kaum kita ini cukup senang dengan orientasi keluarga masing-masing dan sentiasa berharapkan ‘tongkat’ untuk hidup. Sebagai contoh, ramai kaum Melayu (terutamanya di Silam) mempunyai anak-anak yang cukup sifatnya untuk bekerja tetapi memilih untuk menganggur dan duduk serumah dengan ibu-bapa mereka. Ada juga yang bekerja tetapi masih mengharapkan bantuan ibu-bapa tanpa berusaha sendiri untuk mencapai kejayaan.

9. Hasilnya, keuntungan daerah (atau tempatan) diraih oleh pihak luar. Sesungguhnya saya tidak akan mengizinkan perkara ini terus terjadi di Silam!

10. Untuk keluar dari orientasi keluarga (dan masyarakat setempat), kita perlu berhijrah keluar dari tempat kita atau menukar ‘mindset’ ke arah yang lebih positif. Saya sangat kagum dengan rakan-rakan saya dari Sarawak, Negeri Sembilan, Kelantan, Johor dan Kuala Lumpur yang bermastautin di Silam – bekerja, berniaga dan menyumbang tenaga untuk pembangunan bandar-bandar yang ada di kawasan saya. Tetapi seperti yang saya katakan awal tadi, saya dapat merasakan betapa peritnya mereka untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat tempatan Sabah yang ada di Silam ini.

11. Untuk itu, saya ceritakan sedikit pengalaman saya di USA sewaktu saya belajar dahulu. Sebaik sampai di Amerika, saya mengalami kejutan budaya kerana selama ini yang saya tahu hidup saya cuma di Malaysia. Ya, sesiapa pun akan bersetuju dengan saya kerana di tempat asing ini bukan sahaja bahasanya berlainan, tetapi yang lebih teruk lagi adalah makanan, cuaca dan budaya masyarakat yang jauh berbeza dengan Malaysia. Apabila di tempat asing, rakan-rakan saya pada waktu itu adalah ‘orang Malaysia’ dan ‘orang Asia’. Saya ingat lagi, dengan sedikit kelebihan dalam Bahasa Inggeris, hampir setiap malam saya membantu rakan-rakan Malaysia untuk ‘membuat assignment’ dan saya hanya akan menyiapkan ‘assignment’ saya setelah selesai semua ‘assignment’ rakan-rakan.

12. Pada waktu itu saya akan berkawan dengan sesiapa sahaja dari Asia dan orang-orang Malaysia saya anggap keluarga saya. Tidak pernah pula saya mencari orang Lahad Datu atau orang Sabah sahaja untuk menjadi kawan. Asalkan orang tersebut boleh berbahasa Melayu – maka itulah keluarga saya. Saya membantu dengan ikhlas semua rakan-rakan saya kerana terfikir apalah yang akan jadi kepada mereka jika ‘assignment’ mereka tidak siap, keputusan mereka tidak kompeten (competence) dan bakal dihantar pulang ke Malaysia. Disitu saya meletakkan diri saya pada mereka – apakah perasaan saya jika disingkir keluar dari universiti dan apakah pula perasaan ibu-bapa saya?

13. Nyata dan jelas kepentingan HAJI dan HIJRAH dalam Islam amat besar ertinya pada saya ketika itu. Dan saya bersyukur setelah saya berada di luar negeri, orientasi dalam keluarga yang saya bina sekarang sudah jauh berbeza berbanding kehidupan saya dahulu. Saya berjaya mengubah minda dan hidup anak-anak saya dan mereka sekarang sudah berdikari. Pengalaman hidup di luar juga mengajar saya menerima dan menghormati semua rakan-rakan saya baik dari Semenanjung dan Sarawak tidak kira apa jua bangsa. Apabila saya dilantik menjadi Ahli Dewan Rakyat, maka saya tidak kekok untuk menyesuaikan diri. Malaysia sudah menjadi kampung halaman saya!

14. Begitu juga bila kita melihat tentang konsep ‘Integrasi Nasional‘ yang saya kira belum berjaya. Rata-rata ramai rakyat Malaysia di Semenanjung masih belum pernah menaiki kapal terbang dan melancong ke Sabah. Ada juga sesetengah yang mengatakan ‘saya tidak tahu bagaimana di Sabah, tetapi kalau kami di Malaysia…’ dan pandangan ini macamlah yang Malaysia bererti Semenanjung dan Sabah adalah negara lain. Seorang rakan saya dari Negeri Sembilan pernah bercerita dengan saya tentang pengalamannya mengahwini gadis dari Sabah. Setelah 2 minggu berkahwin – dia membawa isterinya ke kampung halamannya. Kemudian ada seorang rakannya bertanyakan ‘Kau di sana (Sabah) menggunakan matawang apa?’… tidaklah ini melucukan?

15. Jika saya menjadi Menteri Pelancongan, saya akan mempertingkatkan lagi usaha mempromosi ‘Cuti-Cuti Malaysia’ supaya semua rakyat kita benar-benar dapat berintegrasi antara satu sama lain. Kalau tidakpun, setiap acara penting berkaitan pelancongan saya akan pindahkan ‘venue’ ke Sabah, Sarawak, Langkawi atau di Perlis. Biarlah ia jauh sedikit, namun niat saya hanyalah untuk memperkasa sahutan ‘integrasi nasional’ ini.

16. Agama Islam menuntut kita untuk menunaikan haji. Namun tidak pernah kita terfikir yang kebaikan ibadat haji anjuran Islam adalah untuk kita berpeluang ‘melancong’ melihat tempat orang lain dan bergaul dengan masyarakat dunia. Jelas bahawa tuntutan pergi melancong telah diajarkan Islam dan tidak hairan jika sesiapa sahaja yang pernah mengerjakan ibadat ini akan kembali semula ke tanah suci untuk kali yang kedua dan ada juga yang mengambil kesempatan untuk ‘ziarah’ negara-negara berhampiran seperti Yemen, UAE, Syria, Jordan, Mesir dan Iran.

17. Untuk bermula, anda perlu kosongkan minda dan memasukkan unsur-unsur pemikiran positif dalam diri anda. Mulakan dengan hijrah minda terlebih dahulu. Cuba menerima rakan-rakan anda dari bangsa-bangsa lain dengan hati yang terbuka. Jangan melenting dan berasa janggal jika pertuturan, orientasi, adab dan tingkahlaku mereka berbeza dengan anda. Semaikan perasaan ‘sangka-baik’ terhadap rakan anda tadi kerana siapa tahu rupanya yang berada disebelah anda sekarang adalah orang yang bakal mengubah nasib anda selama-lamanya!

18. Saya kira tahun 1430/2009 ini adalah tahun yang sangat sesuai untuk kita semua berubah, menukar orientasi hidup dan melakukan anjakan paradigma. Sejarah telah membuktikan yang apabila berlaku hijrah terhadap sesuatu bangsa – disana mereka akan mencapai kemenangan!


Tindakan

Information

4 responses

7 01 2009
KARISMA SILAM

Hijrah Tahun ini Menjana Ummah Gemilang-Jika kita tidak mau berubah kita akan ketinggalan…Manusia telah berjaya…manusia telah cemerlang…bila lagi kita mau gemilang….he..he…masih awal lagi untuk kita mengukir senyuman di waktu pagi…..marilah kita berazam…menyahut sahutan dan cabaran dengan berdiri pada diri sendiri…berwawasan untuk maju….berfikiran proaktif dan optimistik…Kita bina layar kejayaan dilautan yang menyajikan peluang keemasan untuk kita menjadi seorang yang cemerlang dan gemilang….
Kalau kita jadi peniaga jadilah peniaga yang gemilang bukan hanya dikampung malahan terbilang di peringkat Sabah dan malaysia dan antarabangsa…apalagi nak ditakutkan…kuatkan semangat ..jadilah seperti pelayar negara mengelilingi dunia…jadilah seperti Dr.Muzaffar Syah yang jadi angkasawan negara..jadilah seperti YB. Haji Salleh Duta Keamanan PBB bertaraf DUNIA……terima kasih YB Silam…namamu TERBILANG Di Malaysia dan DUNIA………….

15 01 2009
Tok Janggut

1. Orentasi dan hijrah memerlukan penyucian diri dan pengorbanan zahir dan batin untuk sentiasa melakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan orang lain.

2. Cetusan daripada pemikiran dan perlaksanaan perkara tersebut akan memberi impak yang positif kepada individu, masyarakat, bangsa dan negara.

3. Wujudnya dalam pelbagai kendiri dan formasi yang tidak terduga oleh sesiapa saja asalkan ada niat untuk maju yang bersifat Mutmainah maka akan timbul sifat-sifat kamilliah yang menuju kepada kesempurnaan.

4. Alangkah indah jika sikap retorik dalam diri, kita gantikan dengan amalan yang maaruf, bukan sekadar fartamorgana dan miraj untuk mendapatkan perhatian.

5. Insyallah, sama-samalah kita berhijrah untuk kebaikan dan menjadi muslimin dan muslimat yang sejati, bukan sekadar Islam pada nama (Islam minanas) tetapi Islam kita kerana Allah ( Islam Minallah).

Amal Maakruf Nahi Mungkar……..

Hamba Allah.

28 01 2009
mangkukhayun

6. Tetapi perasankah kita hanya kurang 35% anak-anak di Malaysia mendapat peluang untuk bersekolah di SBP & MRSM? Selebihnya akan meneruskan pendidikan di sekolah menengah biasa di kampung masing-masing. Yang menjadi isu disini ialah – jika mereka hanya tamat setakat SPM dan kemudiannya memasuki alam pekerjaan, maka nasib mereka tidaklah jauh berubah berbanding ibu-bapa mereka sendiri. Orientasi mereka masih bersifat ‘local’ dan mereka juga akan menghasilkan generasi yang ‘lebih kurang sama’ sahaja. Sekali lagi golongan ini mewakili 65% daripada rakyat kita.

Ulasan :

Sistem pendidikan Malaysia tidak menjanjikan ruang pekerjaan atau pelauang perniagaan meskipun dah khatam sekolah…

natijahnya jutawan segera yang dilahirkan oleh malaysia adalah melalui politik (UMNO), program hiburan… cari lah juatawan malaysia yang mempunyai pendidikan yang tinggi??????

11 03 2009
BAHRI LAKILE

Salam,
Saya setuju Penghijrahan atau langkah penukaran mindset kita adalah agenda yang begitu besar dan perlu jadi keutamaan dalam usaha pemerkasaan masyarakat marhain di Sabah khususnya di daerah Pantai Timur.

Saya gembira apabila YB Hj Salleh Kalbi merujuk diri sebagai rumpun Melayu apabila memperkatakan tentang bangsa. Rata-rata masyarakat kita dari suku kaum Bajau/Suluk terutamanya tidak begitu gemar mengakui diri mereka sebagai sebahagian rumpun Melayu. Malah ada yang begitu tegas dan keras menafikan bahawa Bajau dan Suluk adalah sebahagian dari rumpun Melayu.

Malah banyak kes rakan menempelak saya kerana saya sebagai Bugis berasal dari Sabah mengaku sebagai Melayu. Katanya hina sangatkah bangsa Bugis hingga tidak mahu mengaku diri sebagai Bugis. Ini bukan persoalan tidak mengaku Bugis, sebaliknya ini adalah persoalan rumpun bangsa, saya terangkan kepadanya bahawa pada saya Bugis, Bajau, Suluk, Jawa, Minangkabau, Banjar dan sebagainya adalah suku-kaum dalam rumpun bangsa Melayu. Namun si kawan tadi masih berkeras mengatakan bahawa Bajau adalah Bajau dan Melayu adalah Melayu, Bajau tidak akan jadi Melayu. Lebih menyedihkan apabila golongan merekka yang berfikiran demikian bukan sahaja yang berpendidikan rendah dan menengah, hatta yang bergelar graduan dan sarjanapun masih ada yang berminda begitu.

Saya tidak ingin memperlekehkan pandangan sahabat tadi, mungkin mereka mempunyai alasan tersendiri untuk berpendapat demikian, namun pada saya mindset sedemikian hanya akan menyuburkan prinsip assabiyah dan melebarkan jurang perpaduan antara suku-kaum. Akhirnya kita jadi masyarakat yang berpuak-puak dan membantutkan usaha penggemblengan tenaga untuk melangkah maju ke hadapam. Wallahualam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: