My Name Is KALBI: Salleh Kalbi!

24 01 2009

oily-red-rose

1. Alhamdulillah, saya telah menimba pengalaman yang banyak sewaktu berada di Korea Selatan baru-baru ini. Selaku duta keamanan yang mewakili Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengetengahkan dan mempromosi keamanan sejagat. Saya telah diberikan peluang untuk berucap di Majlis ‘International LeaderShip Conference, World Summit On Peace 2009’ dan ekoran dari Sidang Khas Parlimen mengenai Isu Palestin sehari sebelumnya, memberikan tenaga untuk saya berucap dengan lantang sekaligus mengutuk serangan Israel di bumi Gaza.

2. Apabila kita berada di luar negeri, biasanya mereka memanggil kita dengan ‘surename’ atau nama keluarga kita. Jadi mereka memanggil saya ‘Mr. Kalbi’ berbanding ‘Mr. Salleh’. Sebagaimana agen James Bond, saya memperkenalkan diri saya: ‘My name is Kalbi – Salleh Kalbi’. Perkara ini sebenarnya bukanlah asing bagi saya memandangkan saya sudah biasa dengan keadaan ini sewaktu belajar di luar negeri dahulu, tetapi apa yang ingin saya kongsikan bersama anda adalah perkataan ‘Kalbi’ yang menjadi sebahagian nama saya.

3. Kebetulan sewaktu kita mengadaptasi agama Islam suatu masa dahulu, Bahasa Arab bukanlah menjadi ‘basahan lidah’ bangsa Melayu, maka apabila ia disebut juga – ini menghasilkan ‘pelat’ Melayu berperisa ‘Arab’. Buktinya perkataan ‘zaman’ disebut ‘jaman’, ‘Qalbu’ dieja dengan ‘kalbu’. Begitu juga nama ‘Zakaria’ disalah eja menjadi ‘Jakaria’, ‘Qadir’ dieja ‘Kadir’ dan kekal didalam kad pengenalan masing-masing. Dengan mengambilkira perkataan ‘Qalbu’ diatas, saya penuh yakin berlaku kesilapan ejaan sewaktu proses pendaftaran nama bapa saya dimana sepatutnya dieja dengan ‘Qalbi’.

4. Sebagaimana perkataan Kalbu yang bermaksud hati, Kalbi juga memberikan pengertian yang sama. Begitu juga dengan nama ‘Salleh’ yang bererti ‘soleh’ dan jika saya lahir sebagai seorang perempuan, maka nama saya menjadi ‘Solehah’ atau ejaan modennya ‘Saleha’ sebagaimana dipopularkan oleh Mawi. Jadi Salleh Kalbi bermaksud ‘Hati seorang manusia yang baik’ atau ‘Encik Baik Hati’.

5. Hati sebagaimana yang pernah saya tulis sebelum ini adalah suatu anugerah tuhan yang sepatutnya dipelihara dengan sebaik-baiknya. Ia lebih penting dari otak. Jika otak boleh dibajai (disuburkan) dengan pembacaan, maka ‘baja’ untuk hati sebenarnya adalah penghayatan agama. Itu sebab agama diturunkan oleh tuhan sebagai ‘software’ kepada hati ini. Dan kepada manusia yang ‘tidak berhati-perut’ sudah tentu ia tidak beragama.

6. Dengan ini saya simpulkan Zionis (merujuk kepada Israel) tergolong dalam manusia ‘buta-hati’ kerana menganggap Arab-Palestine sebagai ‘sub-human’ atau ‘haiwan berkaki dua’ yang boleh dibunuh dan dianiaya.

7. Selaku seorang Islam, kita sangat bertuah apabila ‘software’ hati ini didatangkan oleh Allah dalam bentuk ‘Al-Quran’. Dan ‘manual’ atau ‘kaedah penggunaan’ Al-Quran ini terkandung dalam Surah Al A`raaf ayat ke 179: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”

7. Jika kita perhatikan pada ayat diatas, ia jelas menunjukkan tujuan utama manusia diciptakan dan perbezaan antara manusia dan makhluk lain adalah ‘hati’. Maka bukalah hati untuk mengenali pencipta. Sama seperti jika kita tidak membuka mata, maka kita tak nampak jalan di dunia kerana tidak nampak cahaya.

8. Saya berikan satu contoh teori ‘Big-Bang’ yang dimajukan (teori ini secara samar dikeluarkan pada tahun 1973) oleh Professor Stephen Hawking – seorang manusia GENIUS yang masih hidup dan nama beliau bakal menggantikan EINSTEIN kelak. Stephen Hawking menyatakan mengikut hukum fizik, galaksi (dan sistem solar) berlaku apabila suatu jasad (di ruang angkasa) meletup dan berpisah antara satu sama lain.

9. Tidak lama selepas beliau menemui teori ini, pada 31 Oktober 1999 teleskop Hubble milik NASA telah merakam kejadian ‘Big-Bang’ dan dinamakan dengan ‘Cat’s Eye Nebula’. Sebenarnya Al-Quran telah menyatakan dengan jujur perkara ini pada 1400 tahun yang lampau. Anda boleh lihat sendiri ayat Quran dan gambar yang saya kepilkan diatas. Selain Surah Ar-Rahmaan, sepotong ayat lain didalam Al-Quran menyatakan ”Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahwasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya.” (Al-Anbiyaa’ Ayat 30)

9. Apa yang saya ingin kongsikan bersama anda adalah inilah bukti ‘BUTA-HATI’ manusia yang sangat EGO dan tidak mahu mengakui kekuasaan tuhan. Mereka ketawa bila Al-Quran memberitahu mereka  ‘mawar-merah’ boleh ‘tumbuh’ di angkasa!

10. Kata EINSTEIN- “The truth of a theory is in your mind, not in your eyes”. Ini mengingatkan saya pada kata2 Sir Francis Bacon, “sedikit pengetahuan mengenai sains membuatkan anda menjadi atheist, dan pengetahuan sains yang mendalam yang menjadikan kamu percaya kepada Tuhan” (a little knowledge of science makes man an atheist, but an in-depth study of science makes him a believer in God).

11. Baik. Jika kita semua ada HATI dan PERCAYA KEPADA TUHAN, sama seperti yang telah saya tunjukkan di atas (kejadian mawar-merah), maka percayakah anda jika saya katakan yang Negara Israel akan lenyap terus di peta dunia tidak lama lagi?

12. Cuba lihat pengertian Al-Quran dibawah ini:

Sesungguhnya kamu (Bani Israil) akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali dan kamu pasti akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar. Maka apabila datang saat hukuman kejahatan yang pertama dari kejahatan itu, Kami mendatangkan kepadamu hamba-hamba Kami yang mempunyai kekuatan besar, lalu mereka mencarimu keluar masuk kampung ke seluruh negeri. Dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana” (Al-Quran, Surah Al Israa’ 4-5).

13. Dan seperti biasa, jika kita masih lagi berfikir mengikut otak kita yang primitif – kita TIDAK AKAN PERCAYA perkara ini bakal terjadi. Maka samalah ‘buta-hati’ kita dengan para bijak pandai barat yang saya sebut sebentar tadi.

hati-upf

Pengalaman di Korea Selatan sesungguhnya telah mendewasakan saya. Ternyata dunia masih mengharapkan MALAYSIA menerajui perubahan untuk menjadikan dunia selamat didiami oleh generasi akan datang.

Advertisements