Mencari ‘Samudera Biru’

24 02 2009

bos-011. Saya selalu menggunakan kapal terbang sebagai kenderaan untuk berulang-alik dari KL ke Sabah dan biasanya saya menaiki pesawat Air-Asia.

2. Air-Asia sebagai sebuah jenama, telah berjaya meyakinkan rakyat Malaysia dan Asia Tenggara untuk ‘terbang’ dengan kos yang murah. Walaupun pada peringkat awal semasa ia beroperasi dahulu, ramai menggelarkannya ‘bas’ kerana tidak menyediakan khidmat premium berbanding syarikat penerbangan lain, namun tanggapan (dan kritik) ini berubah sehingga Air-Asia menjadi ‘ancaman’ kepada pesaingnya. Sekarang, idea ini dipergunakan oleh Singapura dan lahirlah ‘TigerAir’.

3. Saya tidak ada kepentingan dalam Air-Asia, tetapi apa yang ingin saya sampaikan adalah mengenai ‘jenama’ itu sendiri- spesifik kepada Air-Asia, Digi, telefon bimbit LG dan Apple iPhone.

4. Empat jenama yang saya sebutkan tadi telah mengubah dunia kita dengan drastik sekali. Apa yang menarik adalah ‘jenama-jenama’ ini hadir di saat ‘pasaran’ sudahpun mengetahui apa itu bisnes telefon, teknologi telefon atau kapal terbang. Tetapi jenama-jenama ini bukan sekadar bersaing di pasaran- mereka pula yg menguasai dan menyebabkan jenama lain ‘tidak releven’ pada pengguna.

5. Sebagai contoh- talian Digi. Satu masa dahulu ‘line Digi’ dilabel sebagai ‘talian budak sekolah’ kerana terlalu murah. Malah terlalu sedikit golongan dewasa menggunakannya. Sekarang.. apa sudah jadi?

6. Telefon LG pada 2004 bukanlah pesaing kepada Panasonic, Siemens dan Motorola. Lebih lucu lagi ada yang mengolok-olok telefon LG sebagai ‘jenama kipas dan peti ais’ jika ada rakan-rakan menggunakannya. Siapa sangka LG berada dalam jenama ‘top-5’ telefon bimbit dunia sekarang?

7. Akhir sekali ‘iPhone’. Telefon ini lahir pada zaman manusia telah mengenali Nokia N95, telefon ‘touchscreen’ dan WiFi. Yang mengejutkan ialah- Apple iPhone menjadi telefon idaman sesiapa sahaja di seluruh dunia sekarang!

8. Tidakkah anda berasa pelik, ganjil atau terkejut tentang apa yang saya ceritakan ini? Tidakkah anda terfikir bagaimana ‘jenama-jenama’ ini membunuh atau mengetepikan pesaing-pesaing mereka? Apa rahsia atau formula mereka? dan bagaimana mereka melakukannya?

9. Menurut Professor W. Chan Kim dan Renee Maubourgne – strategi ‘ganjil’ dan ‘dinamik’ ini dinamakan THE BLUE OCEAN STRATEGY. Ia merupakan satu strategi pemasaran bagi idea atau produk yang ‘masuk’ ke dalam pasaran yang tepu dan ramai pengguna. Strategi ini memberikan pandangan dan kajian terhadap syarikat-syarikat berdaya maju yang wujud di tengah-tengah ‘RED OCEAN’ dan seterusnya mencipta peluang baru dan belayar ke kawasan ‘BLUE OCEAN’.

10. Dalam falsafah Blue Ocean ini, jika anda ingin berjaya – maka anda perlu berfikir dari luar kotak (out of the box) dan mencipta ‘sesuatu’ agar produk anda diterima walaupun diperlekehkan pada peringkat awal. Tetapi sebenarnya ini adalah satu kaedah yang unik, kreatif dan praktikal untuk anda kekal didalam pasaran semasa.

11. Menurut buku ini, sebagai contoh – konsol permainan Nintendo Wii. Walaupun sekarang ramai remaja memilih PlayStation dan XBox, syarikat Nintendo telah berjaya menghasilkan satu konsol permainan yang ‘lain dari yang lain’. Setiap ‘game’ dalam Wii dikawal oleh ‘WiiMote‘ yang berinteraksi terus dengan konsol. Jadi jika anda memainkan ‘tennis’ dengan WiiMote, anda terpaksa menghayunkan WiiMote ini umpama raket tenis. Seterusnya pergerakkan ‘menghayun’ yang anda lakukan itu akan mengaktifkan ‘kawalan raket’ dan bola tenis akan berjaya disambut. Memang pelik dan ganjil sekali, tetapi inilah hakikatnya dimana anda terpaksa ‘bersukan’ secara ‘real’ dan mengeluarkan keringat. Seperkara yang menarik pada WiiMote – ia tidak menggunakan kabel tetapi berkomunikasi dengan teknologi wireless. Ini menyebabkan pergerakkan tangan anda terasa lancar tanpa gangguan.

12. Konsol permainan Nintendo Wii telah mengubah persepsi ‘permainan video’ yang dikhususkan kepada kanak-kanak dan remaja. Melalui idea ini, Nintendo telah berjaya menembus pasaran ‘blue oceannya’ sendiri dimana kebanyakkan orang dewasa dan golongan veteran menggunakan Nintendo Wii untuk ‘bersukan’ dari rumah. Kini Nintendo Wii merupakan salah satu alat riadhah (senaman) yang terkenal di Amerika, Jepun dan Eropah.

13. Sewaktu pelancaran Nintendo Wii – kebanyakkan syarikat konsol permainan seperti SEGA, Sony dan Microsoft memberikan komen negatif terhadap produk ini kerana ianya murah, grafik yang kurang cantik dan ‘game’ yang kurang. Tetapi mereka terlepas pandang mengenai teknologi yang digunakan dan pasaran ‘dewasa’ yang masih ‘kosong’ di pasaran.

14. Persaingan antara Sega, Sony dan Microsoft di pasaran konsol permainan video bergelumang di ‘lautan merah‘ yang dikenali sebagai ‘RED OCEAN’. Dalam Red Ocean, masing-masing akan cuba mengalahkan pesaing dan menawarkan pelbagai insentif kepada pembeli. Akhirnya pihak yang mendominasi pasaran bakal jatuh dengan segala helah, tipu-muslihat dan ‘agenda kutuk-mengutuk’ sesama mereka. Ini menyebabkan persengketaan akan berlaku dan seterusnya perbalahan ini ‘akan menerbitkan darah merah’ yang tidak dapat dielakkan lagi. ‘Darah merah’ ini adalah tamsilan untuk ‘Red Ocean’ atau ‘lautan merah’ yang digelumangi darah dan kehancuran.

15. Tiba-tiba sebuah ‘kapal’ belayar keluar dari ‘lautan merah’ ini dan menghala ke ‘lautan biru’ yang masih belum terusik dan tenang. ‘Kapal’ ini adalah NINTENDO WII yang disebutkan tadi dan ia menguasai ‘laut biru’ yang baru ini. Akhirnya, suatu hari nanti hanya Nintendo Wii sahaja yang akan maju dan menamatkan segala persengketaan.

16. Strategi Samudera Biru ini banyak digunakan oleh syarikat-syarikat antarabangsa. Di Malaysia, syarikat DiGi dan Air-Asia adalah salah satu yang mengimplementasikan strategi ini. Anda lihat sahajalah siapa Air-Asia sekarang dan anda akan faham strategi ini.

17. Saya berpendapat yang buku ini sangat perlu dibaca oleh sesiapa sahaja yang ingin maju dalam apa jua bidang yang diceburi, terutamanya bidang perniagaan. Saya lihat rata-rata pengusaha melayu sangat ketinggalan dalam bidang penjenamaan dan pembungkusan produk-produk mereka. Selain itu, mereka juga ketinggalan untuk ‘meletakkan’ produk di supermarket atau pasaraya besar. Jesteru saya suka menyarankan jika ada pembaca diluar sana yang memiliki sebarang perusahaan atau produk untuk membeli dan memahami konsep ‘strategi samudera biru’ yang terkandung dalam buku ini.

18. Mungkin saya salah seorang yang bertuah untuk membaca dan memahami idea ‘blue ocean’ ini. Amat malang sekali kerana buku ini diterbitkan dalam Bahasa Inggeris yang saya kira tidak begitu disenangi oleh pembaca melayu. Namun pada tahun lepas, sewaktu saya berada di Jakarta, Indonesia – saya lihat buku ini telah diterjemahkan ke ‘Bahasa Indonesia’ dan dijual di pasaran. Sebenarnya inilah yang membezakan tentang ilmu masyarakat pertengahan Indonesia dan Malaysia. Mereka cepat untuk mengadaptasi dan menterjemah segala buku dalam bahasa mereka untuk bangsa mereka.

19. Ada juga orang bertanyakan kepada saya tentang strategi politik saya untuk mengharungi ‘lautan YB’ yang sentiasa berada dalam keadaan yang tidak stabil ini. Maklumlah, jika anda sering menghadapi peperiksaan, anda akan faham mengenai peritnya sewaktu menunggu keputusan. Begitu juga dalam bidang politik. Saya sentiasa risau bila menghadapi ‘peperiksaan’ yang dijalankan pada lima tahun sekali. Jadi, selalu saya nyatakan kepada mereka yang menyoal saya: “Saya tidak takut kepada sebarang perubahan kerana saya yakin boleh mengawal perubahan itu. Saya ada BLUE OCEAN STRATEGY saya sendiri”

20. Mungkin kenyataan saya ini dianggap ‘terlalu optimis’, namun saya akan buktikan yang saya akan berjaya mengharungi ‘lautan merah’ politik dan masa depan saya. Doakan saya berjaya belayar ke samudera biru…

bos-02





‘Going Back To My Root’

24 02 2009

rapang01

Saya berasal dari Kampung Tundun, Daerah Semporna. Kehidupan saya semasa kecil amat sederhana sekali. Sewaktu kanak-kanak lain pergi bersekolah dengan menaiki kereta atau bas, kami ke sekolah dengan RAPANG.

Rapang adalah sejenis perahu yang mempunyai ‘penahan’ kiri dan kanan agar ia tidak berguling apabila mengharungi ombak besar. Kenderaan rapang ini jika saiznya besar maka ia dinamakan DAPANG. Perahu rapang ini tidak menggunakan enjin bot yang moden, ia dikuasakan dengan kudrat ‘kayuhan’ semulajadi manusia.

Kemudian, setelah zaman bertambah maju, perahu rapang semakin dilupakan dan ia digantikan dengan bot yang berenjin besar dan laju. Dengan bot yang moden ini, maka jarak perjalanan antara pulau-pulau di Semporna dapat disingkatkan. Mungkin bagi anda yang kurang biasa menaiki perahu kcil seperti rapang ini, anda akan mengalami kejadian ‘mabuk laut’ dan badan terasa ‘berombak-ombak’ walaupun kaki anda telah menginjak tanah. Namun, inilah hakikat kehidupan saya dan rakan-rakan di alam persekolahan yang saya kira amat manis dan tidak boleh dilupakan.

Pada hari ahad 1 Februari yang lepas, saya telah dijemput untuk melawat satu projek pertanian kawan saya di laut Lahad Datu. Projek yang dimaksudkan adalah penanaman rumpai laut (atau seaweed) yang diusahakan sendiri oleh beliau sejak 5 tahun dahulu. Kawan saya ini bernama Encik Rosli dan beliau mengusahakan projek agar-agar (kami sebut seaweed ini agar-agar) dengan modal sendiri tanpa bantuan dari mana-mana agensi kewangan atau agensi kerajaan. Sikap dan sifat ingin berjaya terlalu menebal dalam diri beliau sehingga berhasil menjana keuntungan dan menyara kehidupan keluarganya. Sebenarnya inilah yang dinamakan ‘kebergantungan kepada diri sendiri’ dan saya secara peribadi sangat kagum terhadap usaha kawan saya ini.

Sesampai sahaja di gigi air (di POIC Lahad Datu), saya melihat lebih 6 buah perahu kecil disediakan untuk rombongan kami. Perahu-perahu ini sangat kecil dan hanya 2 penumpang sahaja yang boleh menaikinya.  Di saat inilah hati saya tiba-tiba berasa terharu dan mengimbau kembali zaman persekolahan saya di mana perahu-perahu sebeginilah yang menjadi ‘mainan’ dan kenderaan saya dahulu. Jadi saya terus menaiki perahu kecil ini untuk ke pelantar penjemuran seaweed beliau yang berada di tengah-tengah lautan. Sempat saya memerhatikan rakan-rakan saya yang mungkin pertama kali naik ke perahu sebegini, kelihatannya mereka sangat kekok lebih-lebih lagi seorang rakan dari Kuala Lumpur. Saya tersenyum pada ‘orang KL ini’ dan petang itu juga beliau mengakui pengalaman menaiki perahu kecil adalah ‘sangat mengujakan’ dan yang paling seronok untuk tahun 2009 ini.

Sesampai sahaja di pelantar, Encik Rosli terus memberikan penerangan tentang projek penanaman agar-agar dan ternakan ikan dalam sangkar. Kemudian kami dijamu dengan makanan laut yang pelbagai dan segar. Sebenarnya apabila anda menikmati hidangan tengahari di tengah-tengah laut dan dihidangkan dengan udang, ketam dan ikan kerapu yang segar – maka inilah nikmat yang paling berharga sekali. Tidak ada yang lebih sedap tatkala anda menjamah makanan panas sambil disapu oleh angin-bayu dari laut. Perkataan yang tepat untuk menggambarkan perasaan ini ialah ‘Kalau mertua limpas di belakang pun tidak nampak’! Ketika saya makan, saya sempat menyapa rakan saya dari KL itu – dan seperti yang diduga, beliau tidak mempersia-siakan pengalaman makan ‘seafood’ segar di tengah laut seperti ini. Beliau begitu ‘tekun’ dan ‘teliti’ dalam pemilihan makanannya. Setiap lauk di cuba dan dinikmati sebelum bertukar kepada lauk yang lain. Beliau sangat berpuas hati. Kesemua ‘seafood’ yang dihidangkan kepada kami adalah berasal dari ‘kelong’ ternakan Encik Rosli.

Encik Rosli sempat menunjukkan ‘projek’ masa hadapannya kepada saya. Beliau akan cuba membina satu ‘resort’ atas air (floating chalets) di kawasannya berkonsepkan ‘homestay’. Segala draf cadangan dan ‘blueprint’ pembangunannya juga di ‘taklimatkan’ kepada kami. Sesungguhnya saya berasa amat gembira dan menyokong tindakan beliau dimana rata-rata pengusaha ‘hotel dan resort’ yang ada di Negeri Sabah ini, jarang sekali orang melayu tempatan yang mengusahakannya.

Encik Rosli ini sebenarnya pernah bertanyakan kepada saya pada tujuh tahun yang lalu mengenai peluang perniagaan atau peluang pekerjaan. Pada waktu itu, beliau belum lagi mempunyai pekerjaan tetap. Sebenarnya beliau mahu ‘masuk’ bekerja di kerajaan, tetapi saya membantah dan menyatakan yang peluang untuk menjadi kakitangan awam adalah terhad dan terlalu ramai orang yang menginginkannya. Saya menyarankan agar beliau bekerja sendiri atau terjun ke bidang bisnes. Dan alhamdulillah, kata-kata saya dijadikan perangsang dan kini beliau merupakan seorang pengusaha contoh dalam industri ‘seaweed’ di Lahad Datu.

Sedang saya termenung dan mengimbau zaman kanak-kanak saya di pelantar ‘seaweed’ tersebut, tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Saya tersentak dari lamunan dan mencari tempat untuk berteduh. Setengah jam kemudian kami pulang ke tepi pantai bersama ‘proposal’ yang disediakan oleh Encik Rosli untuk dikemukakan kepada pihak yang sepatutnya memberikan dana dan memajukan industri pelancongan di negara ini. Saya sangat-sangat berharap agar cita-cita dan proposal ini tercapai.

Betul kata rakan saya dari KL – “Sebenarnya banyak lagi ‘adventure’ yang boleh dilaksanakan di Silam untuk menarik pelancong. Tidak perlu untuk menyertai ‘Amazing Race’ atau ‘Fear Factor’ kerana semua faktor klasik dalam pelancongan ‘agro-tourism’ berada di Silam”. WELCOME TO THE LOST WORLD OF SABAH!

rapang02





Majlis ‘Lao-Shang’

10 02 2009

laoshang1
1. Tahun ini adalah ‘Tahun Kerbau’ dalam kalendar lunar Cina. Tahun kerbau berkehendakkan seseorang itu untuk bekerja kuat untuk mendapatkan kesenangan, keuntungan dan kemewahan.

2. Namun, pada tahun ini juga – 2009 – dunia menyaksikan ‘kemelesetan ekonomi’ yang teruk bermula dari kegagalan sistem kewangan (financial system) USA (Amerika) yang ‘makan tuan’. Teruknya kesan langsung terhadap ekonomi US ini juga diketahui oleh Presiden baru yang dilantik iaitu Barrack Hussein Obama. Mungkin sesetengah orang beranggapan Obama bakal mengalami ‘nasib malang’ dan juga bakal mengambil langkah ‘kurang popular’ untuk menstabilkan ekonomi Amerika. Program ‘stimulus’ juga sedang berlangsung di sana demi mengangkat kembali mekanisma kewangan secara terus selain menggalak perbelanjaan domestik. Tetapi, saya beranggapan, jika Obama berjaya dalam ‘pertarungan’ ini – beliau akan diangkat sebagai ‘savior’ – penyelamat seluruh kaum Amerika Syarikat. Dengan ini beliau akan memegang jawatan presiden lebih lama lagi.

3. Saya juga hairan, bagaikan satu formula atau rumus matematik yang sudah ditentukan – peristiwa ‘ekonomi meleset’ ini terjadi dalam kitaran 10 tahun sekali. Mula-mula dahulu tahun 88/89, kemudian 98/99 dan sekarang 2008/2009. Macam ada satu perancangan ekonomi peringkat tertinggi dunia dan sebagaimana kejadian dahulu – ia bermula dengan krisis harga minyak mentah. Tapi ini cuma telahan saya sahaja, mungkin ahli bijak pandai kewangan / pelaburan Malaysia lebih arif lagi tentang perkara ini.

4. Bagi saya, saya lebih suka berbicara tentang masalah ekonomi ini secara ‘bahasa kampung’. Saya tidak pandai menganalisa data atau pergerakan saham dunia, bahkan kebanyakkan rakyat saya di Silam, Sabah juga tidak langsung memahami apa itu ‘Indeks Komposit’ pun. Jadi saya lebih selesa bercerita tentang kesan langsung terhadap masyarakat saya. Lihat sahajalah, kalau dahulu 1 tan kelapa sawit berharga lebih RM800 ringgit tetapi sekarang – 1 tan cuma berharga RM250 sahaja. Begitu juga kalau dahulu dengan RM5 seseorang itu dapat minum pagi dengan puas, tetapi sekarang sudah jadi RM8 ringgit. Harga sekampit simen sekarang tidak sama macam harga 2 tahun lepas dan banyak lagi perkara yang saya perhatikan. Kalau dibuat satu senarai, ia tersangatlah panjang dan anda juga akan bosan membacanya.

5. Inilah yang dikatakan ‘kesan langsung’ terhadap penyakit ‘ekonomi meleset’. Jika Malaysia sekali lagi dapat meloloskan diri dari masalah ini, bermakna penguasaan politik ‘ekonomi dunia’ kita sudah bertambah matang. Maka kita akan lebih bersedia lagi menghadapi bencana ini pada tahun 2018/2019 pula. Atau mungkin sahaja pada waktu itu kita pula yang akan menentukan tarikhnya! Siapalah tahu, dikalangan rakyat Malaysia yang bijak-pandai sekarang ini, mungkin ada seorang-dua yang bakal menggegarkan dunia ekonomi pada suatu hari nanti?

6. Jadi disinilah unik dan cantiknya Perayaan Tahun Baru Cina. Sebenarnya untuk mengucap selamat – perkataan yang betul adalah ‘Xin Nian Kuai Le’ yang bermaksud ‘Selamat Tahun Baru’ tetapi kita lebih selesa dengan ucapan ‘Gong Xi Fa Chai’ yang ‘mendoakan’ – ‘Semoga Beruntung’. Itu sebab kalau kita jumpa orang cina, kita ucapkan Gong Xi Fa Chai atau Kong Hee Fat Choi untuk mendoakan nasibnya akan lebih bertambah baik dan beruntung berbanding tahun lepas.

7. Dan pada ‘hari raya ke-tujuh’ Tahun Baru Cina, mereka sekali lagi akan berkumpul untuk majlis ‘makan besar Lao-Shang’ (atau disebut laosang) atau ‘kenduri tujuh’ dalam bahasa adat melayu.

8. Saya menghadiri Majlis Lao-Shang anjuran Parti Komponen Barisan Nasional (yang mewakili masyarakat Cina Silam) pada Ahad lepas di sebuah restoran di Lahad Datu. Saya berasa amat bertuah kerana dapat sama-sama untuk ‘LAO’ satu hidangan istimewa sempena Tahun Kerbau ini. Lao bermaksud ‘menggaul dan mengangkat tinggi-tinggi’ makanan tersebut. Lebih lama menggaul dan lebih tinggi mengangkatnya (dengan chop-stick) maka lebih baik untuk ekonomi tahun ini.

9. Dalam falsafah Majlis Lao-shang, pergerakan ekonomi tahun baru mesti dilonjakkan dengan apa sahaja cara untuk mengekalkan kestabilan dan memurahkan rezeki. Falsafah ini diterjemahkan dalam bentuk hidangan makanan pelbagai campuran lada, halia, keropok, minyak bijan, isi ikan, serbuk asam-masin dan lain-lain bahan yang ditempatkan dalam satu bekas besar. Kemudian seluruh keluarga akan berkumpul dihadapan makanan tadi bersama chopstick ditangan masing-masing. Setelah menghabiskan satu ucapan atau membaca doa – maka semua yang berkumpul akan menggaul makanan ini dan mengangkatnya tinggi-tinggi, berdoa dan berharap agar ekonomi pada tahun ini akan lebih rancak berbanding tahun lalu. Disepanjang aktiviti ini kita akan dengar perkataan ‘Lao!, lao… lao!’ disebutkan.

10. Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua masyarakat cina di Silam kerana sudi menjemput saya untuk mengalami sendiri kebudayaan unik ini dalam sambutan Tahun Baru Cina. Sesungguhnya ‘Lao-Shang’ mengajar kita semua erti bekerja keras, menikmati hasil, menghargai rezeki dan bersyukur terhadap semua kurniaan tuhan kepada kita semua. Jadi semua.. lao! lao! lao!… ayuh makan!





Tahniah Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir!

6 02 2009

yb-dato-zambrySaya mengucapkan setinggi-tinggi TAHNIAH dan SYABAS kepada Datuk Dr. Zamry Abdul Kadir diatas perlantikan ke jawatan Menteri Besar Perak yang baru dan bakal mengangkat sumpah pada petang hari ini (dijadualkan pada jam 3.30ptg). Semoga dengan perlantikan ini, akan memberikan keyakinan dan semangat yang kuat kepada Barisan Nasional Perak untuk memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

Beliau merupakan seorang penulis yang aktif dan penggiat/pembangun ICT (Information, Communication and Technology) di Negeri Perak. Beliau juga seorang ADUN yang berpengalaman (ADUN Pangkor – sudah 2 penggal) dan memiliki ikhtisas yang sangat baik. Saya secara peribadi sangat bersetuju dan menyokong perlantikan beliau dan adalah diharapkan agar Negeri Perak akan bertambah maju lagi selepas ini.

Selamat Berkhidmat!