‘Going Back To My Root’

24 02 2009

rapang01

Saya berasal dari Kampung Tundun, Daerah Semporna. Kehidupan saya semasa kecil amat sederhana sekali. Sewaktu kanak-kanak lain pergi bersekolah dengan menaiki kereta atau bas, kami ke sekolah dengan RAPANG.

Rapang adalah sejenis perahu yang mempunyai ‘penahan’ kiri dan kanan agar ia tidak berguling apabila mengharungi ombak besar. Kenderaan rapang ini jika saiznya besar maka ia dinamakan DAPANG. Perahu rapang ini tidak menggunakan enjin bot yang moden, ia dikuasakan dengan kudrat ‘kayuhan’ semulajadi manusia.

Kemudian, setelah zaman bertambah maju, perahu rapang semakin dilupakan dan ia digantikan dengan bot yang berenjin besar dan laju. Dengan bot yang moden ini, maka jarak perjalanan antara pulau-pulau di Semporna dapat disingkatkan. Mungkin bagi anda yang kurang biasa menaiki perahu kcil seperti rapang ini, anda akan mengalami kejadian ‘mabuk laut’ dan badan terasa ‘berombak-ombak’ walaupun kaki anda telah menginjak tanah. Namun, inilah hakikat kehidupan saya dan rakan-rakan di alam persekolahan yang saya kira amat manis dan tidak boleh dilupakan.

Pada hari ahad 1 Februari yang lepas, saya telah dijemput untuk melawat satu projek pertanian kawan saya di laut Lahad Datu. Projek yang dimaksudkan adalah penanaman rumpai laut (atau seaweed) yang diusahakan sendiri oleh beliau sejak 5 tahun dahulu. Kawan saya ini bernama Encik Rosli dan beliau mengusahakan projek agar-agar (kami sebut seaweed ini agar-agar) dengan modal sendiri tanpa bantuan dari mana-mana agensi kewangan atau agensi kerajaan. Sikap dan sifat ingin berjaya terlalu menebal dalam diri beliau sehingga berhasil menjana keuntungan dan menyara kehidupan keluarganya. Sebenarnya inilah yang dinamakan ‘kebergantungan kepada diri sendiri’ dan saya secara peribadi sangat kagum terhadap usaha kawan saya ini.

Sesampai sahaja di gigi air (di POIC Lahad Datu), saya melihat lebih 6 buah perahu kecil disediakan untuk rombongan kami. Perahu-perahu ini sangat kecil dan hanya 2 penumpang sahaja yang boleh menaikinya.  Di saat inilah hati saya tiba-tiba berasa terharu dan mengimbau kembali zaman persekolahan saya di mana perahu-perahu sebeginilah yang menjadi ‘mainan’ dan kenderaan saya dahulu. Jadi saya terus menaiki perahu kecil ini untuk ke pelantar penjemuran seaweed beliau yang berada di tengah-tengah lautan. Sempat saya memerhatikan rakan-rakan saya yang mungkin pertama kali naik ke perahu sebegini, kelihatannya mereka sangat kekok lebih-lebih lagi seorang rakan dari Kuala Lumpur. Saya tersenyum pada ‘orang KL ini’ dan petang itu juga beliau mengakui pengalaman menaiki perahu kecil adalah ‘sangat mengujakan’ dan yang paling seronok untuk tahun 2009 ini.

Sesampai sahaja di pelantar, Encik Rosli terus memberikan penerangan tentang projek penanaman agar-agar dan ternakan ikan dalam sangkar. Kemudian kami dijamu dengan makanan laut yang pelbagai dan segar. Sebenarnya apabila anda menikmati hidangan tengahari di tengah-tengah laut dan dihidangkan dengan udang, ketam dan ikan kerapu yang segar – maka inilah nikmat yang paling berharga sekali. Tidak ada yang lebih sedap tatkala anda menjamah makanan panas sambil disapu oleh angin-bayu dari laut. Perkataan yang tepat untuk menggambarkan perasaan ini ialah ‘Kalau mertua limpas di belakang pun tidak nampak’! Ketika saya makan, saya sempat menyapa rakan saya dari KL itu – dan seperti yang diduga, beliau tidak mempersia-siakan pengalaman makan ‘seafood’ segar di tengah laut seperti ini. Beliau begitu ‘tekun’ dan ‘teliti’ dalam pemilihan makanannya. Setiap lauk di cuba dan dinikmati sebelum bertukar kepada lauk yang lain. Beliau sangat berpuas hati. Kesemua ‘seafood’ yang dihidangkan kepada kami adalah berasal dari ‘kelong’ ternakan Encik Rosli.

Encik Rosli sempat menunjukkan ‘projek’ masa hadapannya kepada saya. Beliau akan cuba membina satu ‘resort’ atas air (floating chalets) di kawasannya berkonsepkan ‘homestay’. Segala draf cadangan dan ‘blueprint’ pembangunannya juga di ‘taklimatkan’ kepada kami. Sesungguhnya saya berasa amat gembira dan menyokong tindakan beliau dimana rata-rata pengusaha ‘hotel dan resort’ yang ada di Negeri Sabah ini, jarang sekali orang melayu tempatan yang mengusahakannya.

Encik Rosli ini sebenarnya pernah bertanyakan kepada saya pada tujuh tahun yang lalu mengenai peluang perniagaan atau peluang pekerjaan. Pada waktu itu, beliau belum lagi mempunyai pekerjaan tetap. Sebenarnya beliau mahu ‘masuk’ bekerja di kerajaan, tetapi saya membantah dan menyatakan yang peluang untuk menjadi kakitangan awam adalah terhad dan terlalu ramai orang yang menginginkannya. Saya menyarankan agar beliau bekerja sendiri atau terjun ke bidang bisnes. Dan alhamdulillah, kata-kata saya dijadikan perangsang dan kini beliau merupakan seorang pengusaha contoh dalam industri ‘seaweed’ di Lahad Datu.

Sedang saya termenung dan mengimbau zaman kanak-kanak saya di pelantar ‘seaweed’ tersebut, tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Saya tersentak dari lamunan dan mencari tempat untuk berteduh. Setengah jam kemudian kami pulang ke tepi pantai bersama ‘proposal’ yang disediakan oleh Encik Rosli untuk dikemukakan kepada pihak yang sepatutnya memberikan dana dan memajukan industri pelancongan di negara ini. Saya sangat-sangat berharap agar cita-cita dan proposal ini tercapai.

Betul kata rakan saya dari KL – “Sebenarnya banyak lagi ‘adventure’ yang boleh dilaksanakan di Silam untuk menarik pelancong. Tidak perlu untuk menyertai ‘Amazing Race’ atau ‘Fear Factor’ kerana semua faktor klasik dalam pelancongan ‘agro-tourism’ berada di Silam”. WELCOME TO THE LOST WORLD OF SABAH!

rapang02


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: