Mencari ‘Samudera Biru’

24 02 2009

bos-011. Saya selalu menggunakan kapal terbang sebagai kenderaan untuk berulang-alik dari KL ke Sabah dan biasanya saya menaiki pesawat Air-Asia.

2. Air-Asia sebagai sebuah jenama, telah berjaya meyakinkan rakyat Malaysia dan Asia Tenggara untuk ‘terbang’ dengan kos yang murah. Walaupun pada peringkat awal semasa ia beroperasi dahulu, ramai menggelarkannya ‘bas’ kerana tidak menyediakan khidmat premium berbanding syarikat penerbangan lain, namun tanggapan (dan kritik) ini berubah sehingga Air-Asia menjadi ‘ancaman’ kepada pesaingnya. Sekarang, idea ini dipergunakan oleh Singapura dan lahirlah ‘TigerAir’.

3. Saya tidak ada kepentingan dalam Air-Asia, tetapi apa yang ingin saya sampaikan adalah mengenai ‘jenama’ itu sendiri- spesifik kepada Air-Asia, Digi, telefon bimbit LG dan Apple iPhone.

4. Empat jenama yang saya sebutkan tadi telah mengubah dunia kita dengan drastik sekali. Apa yang menarik adalah ‘jenama-jenama’ ini hadir di saat ‘pasaran’ sudahpun mengetahui apa itu bisnes telefon, teknologi telefon atau kapal terbang. Tetapi jenama-jenama ini bukan sekadar bersaing di pasaran- mereka pula yg menguasai dan menyebabkan jenama lain ‘tidak releven’ pada pengguna.

5. Sebagai contoh- talian Digi. Satu masa dahulu ‘line Digi’ dilabel sebagai ‘talian budak sekolah’ kerana terlalu murah. Malah terlalu sedikit golongan dewasa menggunakannya. Sekarang.. apa sudah jadi?

6. Telefon LG pada 2004 bukanlah pesaing kepada Panasonic, Siemens dan Motorola. Lebih lucu lagi ada yang mengolok-olok telefon LG sebagai ‘jenama kipas dan peti ais’ jika ada rakan-rakan menggunakannya. Siapa sangka LG berada dalam jenama ‘top-5’ telefon bimbit dunia sekarang?

7. Akhir sekali ‘iPhone’. Telefon ini lahir pada zaman manusia telah mengenali Nokia N95, telefon ‘touchscreen’ dan WiFi. Yang mengejutkan ialah- Apple iPhone menjadi telefon idaman sesiapa sahaja di seluruh dunia sekarang!

8. Tidakkah anda berasa pelik, ganjil atau terkejut tentang apa yang saya ceritakan ini? Tidakkah anda terfikir bagaimana ‘jenama-jenama’ ini membunuh atau mengetepikan pesaing-pesaing mereka? Apa rahsia atau formula mereka? dan bagaimana mereka melakukannya?

9. Menurut Professor W. Chan Kim dan Renee Maubourgne – strategi ‘ganjil’ dan ‘dinamik’ ini dinamakan THE BLUE OCEAN STRATEGY. Ia merupakan satu strategi pemasaran bagi idea atau produk yang ‘masuk’ ke dalam pasaran yang tepu dan ramai pengguna. Strategi ini memberikan pandangan dan kajian terhadap syarikat-syarikat berdaya maju yang wujud di tengah-tengah ‘RED OCEAN’ dan seterusnya mencipta peluang baru dan belayar ke kawasan ‘BLUE OCEAN’.

10. Dalam falsafah Blue Ocean ini, jika anda ingin berjaya – maka anda perlu berfikir dari luar kotak (out of the box) dan mencipta ‘sesuatu’ agar produk anda diterima walaupun diperlekehkan pada peringkat awal. Tetapi sebenarnya ini adalah satu kaedah yang unik, kreatif dan praktikal untuk anda kekal didalam pasaran semasa.

11. Menurut buku ini, sebagai contoh – konsol permainan Nintendo Wii. Walaupun sekarang ramai remaja memilih PlayStation dan XBox, syarikat Nintendo telah berjaya menghasilkan satu konsol permainan yang ‘lain dari yang lain’. Setiap ‘game’ dalam Wii dikawal oleh ‘WiiMote‘ yang berinteraksi terus dengan konsol. Jadi jika anda memainkan ‘tennis’ dengan WiiMote, anda terpaksa menghayunkan WiiMote ini umpama raket tenis. Seterusnya pergerakkan ‘menghayun’ yang anda lakukan itu akan mengaktifkan ‘kawalan raket’ dan bola tenis akan berjaya disambut. Memang pelik dan ganjil sekali, tetapi inilah hakikatnya dimana anda terpaksa ‘bersukan’ secara ‘real’ dan mengeluarkan keringat. Seperkara yang menarik pada WiiMote – ia tidak menggunakan kabel tetapi berkomunikasi dengan teknologi wireless. Ini menyebabkan pergerakkan tangan anda terasa lancar tanpa gangguan.

12. Konsol permainan Nintendo Wii telah mengubah persepsi ‘permainan video’ yang dikhususkan kepada kanak-kanak dan remaja. Melalui idea ini, Nintendo telah berjaya menembus pasaran ‘blue oceannya’ sendiri dimana kebanyakkan orang dewasa dan golongan veteran menggunakan Nintendo Wii untuk ‘bersukan’ dari rumah. Kini Nintendo Wii merupakan salah satu alat riadhah (senaman) yang terkenal di Amerika, Jepun dan Eropah.

13. Sewaktu pelancaran Nintendo Wii – kebanyakkan syarikat konsol permainan seperti SEGA, Sony dan Microsoft memberikan komen negatif terhadap produk ini kerana ianya murah, grafik yang kurang cantik dan ‘game’ yang kurang. Tetapi mereka terlepas pandang mengenai teknologi yang digunakan dan pasaran ‘dewasa’ yang masih ‘kosong’ di pasaran.

14. Persaingan antara Sega, Sony dan Microsoft di pasaran konsol permainan video bergelumang di ‘lautan merah‘ yang dikenali sebagai ‘RED OCEAN’. Dalam Red Ocean, masing-masing akan cuba mengalahkan pesaing dan menawarkan pelbagai insentif kepada pembeli. Akhirnya pihak yang mendominasi pasaran bakal jatuh dengan segala helah, tipu-muslihat dan ‘agenda kutuk-mengutuk’ sesama mereka. Ini menyebabkan persengketaan akan berlaku dan seterusnya perbalahan ini ‘akan menerbitkan darah merah’ yang tidak dapat dielakkan lagi. ‘Darah merah’ ini adalah tamsilan untuk ‘Red Ocean’ atau ‘lautan merah’ yang digelumangi darah dan kehancuran.

15. Tiba-tiba sebuah ‘kapal’ belayar keluar dari ‘lautan merah’ ini dan menghala ke ‘lautan biru’ yang masih belum terusik dan tenang. ‘Kapal’ ini adalah NINTENDO WII yang disebutkan tadi dan ia menguasai ‘laut biru’ yang baru ini. Akhirnya, suatu hari nanti hanya Nintendo Wii sahaja yang akan maju dan menamatkan segala persengketaan.

16. Strategi Samudera Biru ini banyak digunakan oleh syarikat-syarikat antarabangsa. Di Malaysia, syarikat DiGi dan Air-Asia adalah salah satu yang mengimplementasikan strategi ini. Anda lihat sahajalah siapa Air-Asia sekarang dan anda akan faham strategi ini.

17. Saya berpendapat yang buku ini sangat perlu dibaca oleh sesiapa sahaja yang ingin maju dalam apa jua bidang yang diceburi, terutamanya bidang perniagaan. Saya lihat rata-rata pengusaha melayu sangat ketinggalan dalam bidang penjenamaan dan pembungkusan produk-produk mereka. Selain itu, mereka juga ketinggalan untuk ‘meletakkan’ produk di supermarket atau pasaraya besar. Jesteru saya suka menyarankan jika ada pembaca diluar sana yang memiliki sebarang perusahaan atau produk untuk membeli dan memahami konsep ‘strategi samudera biru’ yang terkandung dalam buku ini.

18. Mungkin saya salah seorang yang bertuah untuk membaca dan memahami idea ‘blue ocean’ ini. Amat malang sekali kerana buku ini diterbitkan dalam Bahasa Inggeris yang saya kira tidak begitu disenangi oleh pembaca melayu. Namun pada tahun lepas, sewaktu saya berada di Jakarta, Indonesia – saya lihat buku ini telah diterjemahkan ke ‘Bahasa Indonesia’ dan dijual di pasaran. Sebenarnya inilah yang membezakan tentang ilmu masyarakat pertengahan Indonesia dan Malaysia. Mereka cepat untuk mengadaptasi dan menterjemah segala buku dalam bahasa mereka untuk bangsa mereka.

19. Ada juga orang bertanyakan kepada saya tentang strategi politik saya untuk mengharungi ‘lautan YB’ yang sentiasa berada dalam keadaan yang tidak stabil ini. Maklumlah, jika anda sering menghadapi peperiksaan, anda akan faham mengenai peritnya sewaktu menunggu keputusan. Begitu juga dalam bidang politik. Saya sentiasa risau bila menghadapi ‘peperiksaan’ yang dijalankan pada lima tahun sekali. Jadi, selalu saya nyatakan kepada mereka yang menyoal saya: “Saya tidak takut kepada sebarang perubahan kerana saya yakin boleh mengawal perubahan itu. Saya ada BLUE OCEAN STRATEGY saya sendiri”

20. Mungkin kenyataan saya ini dianggap ‘terlalu optimis’, namun saya akan buktikan yang saya akan berjaya mengharungi ‘lautan merah’ politik dan masa depan saya. Doakan saya berjaya belayar ke samudera biru…

bos-02


Tindakan

Information

2 responses

24 02 2009
silamgemilang

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Sudah tiba masanya….kita mengorak langkah dengan membina kekayaan kendiri tanpa bergantung kepada orang lain. Kita perlu yakin pada kendiri sendiri bahawa rezeki ada dimana-mana. Jangan kita selalu menjadi seorang yang suka meminta sedekah….selagi kita ada kekuatan…selagi itulah kita…harus berusaha untuk membina kehidupan kendiri….keluarga…jika kita ada kekuatan ilmu pengetahuan,ada perniagaan,ada kebun kelapa sawit,ada tanaman agar-agar,nelayan yang berjaya,pengusaha bas express,ilmu IT dan sebagainya…kita perlu teruskan usaha kita….tapi yang saya risau yang selalu mengharap dan tidak pernah puas walaupun mendapat projek, malahan semakin mengkhianati dan di depan suka cakap baik dibelakang kurang ajar.
Sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan pembangunan marilah kita bantu YB. Silam. Mungkin anda tidak percaya, YB. Silam terlalu sayang dengan rakyat. Setiap hari jumaat balik dari Kuala Lumpur dari Sidang Dewan Rakyat YB. Silam turun saja dari Airport Lahad Datu terus bertemu rakyat masuk ke kampung-kampung bertemu rakyat dan melihat sendiri masalah yang dihadapi rakyat samada masalah jalan rosak,masjid,golongan miskin dibantu,jambatan rosak,banjir dan banyak lagi. Saya pernah mengikuti program YB. Silam kebetulan kawan pelawa saya,YB.Silam memang kuat kerja sehinggakan saya sendiri sakit lutut untuk mengejar program YB. Silam.Bagi YB. Silam biasa saja…..walaupun masanya kebanyakan dikorbankan bersama rakyat samada di Kunak,Lahad Datu mahupun Tungku.Pernah sekali YB. Silam jam 6.00 pagi menghadiri majlis berjalan-jalan di pekan Kunak bersama rakyat bagi kempen kebersihan memungut sampah sehingga jam 10.00 pagi.10.30 bertolak ke Bandar Lahad Datu 2jam 30 minit menuju ke Kampung Kokos menghadiri program bersama masyarakat. Sebelah petang ada lagi program jemputan sehingga ke maghrib ada lagi program dekat kampung Sabah Baru.Selesai program itu,YB. Silam menghadiri program majlis kahwin ke Silabukan. Selepas itu YB. Silam ke Kunak semula memakan masa 7 jam pergi dan balik semula ke Lahad Datu. Tuan-tuan dan puan-puan saya betul-betul kagum dengan YB. Silam yang lebih mengutamakan rakyat. Kita sepatutnya berbangga dan kerajaan Barisan Nasional tidak rugi memilih YB. Kolonel Kehormat Tuan Haji Salleh Haji Kalbi sebagai Ahli Parlimen P188 Silam merangkap Duta Keamanan PBB, sebab YB. Silam masih muda,kuat kerja,ikhlas berkhidmat untuk rakyat,jujur dalam melontarkan pandangan dan lantang bersuara di Parlimen bagi membela nasib rakyat seperti YB. Silam mendesak agar jalan raya menghubungkan bandar lahad datu dengan kawasan PGA yang sesak yang lama sudah di derita rakyat kini sudah menjadi kenyataan apabila Pak Lah memberi Pakej Rangsangan 1 Billion dan baru-baru ini Ketua Menteri Sabah turun ke Parlimen Silam mengumumkan jalan raya akan dibina bagi mengatasi kesesakan jalan raya. Syabas kepada YB. Silam yang membawa masalah jalan ini ke peringkat Dewan Rakyat. Saya menyeru kepada rakan-rakan marilah kita eratkan perpaduan,menyokong kepimpinan YB. Silam supaya masalah dan pembangunan yang sejak akhir-akhir ini sudah mula membangun dan sinar pancaran matahari akan menerangi bumi Parlimen Silam selagi YB. Silam menjadi Ahli Parlimen Silam.Hidup YB. Silam.

26 02 2009
arung...

Semoga terus berjaya,, doa mengiri langkah YB. wasalam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: