Tutup Lampu!

28 03 2009

earth-hour

Saya pulang sebenar ke Lahad Datu semalam. Pagi ini, sewaktu saya keluar untuk ke pejabat, saya melihat hampir disetiap sudut Bandar Lahad Datu terpampang iklan ’60 Earth Hour’ yang meminta kita memadamkan lampu dan menghentikan penggunaan tenaga elektrik pada malam ini dari jam 8.30 malam hingga 9.30 malam.

Kadang-kadang, bila kita berfikir sejenak, kita akan mempersoalkan mengapa perlu kita berbuat demikian? Perlukah kita mengikuti kempen 60 minit bergelap sedunia ini? Apa yang akan jadi pada 1 jam bergelap itu? Akan berlakukah kejadian rompakan, jenayah dan kemalangan jalanraya pada waktu itu? Mungkinkah industri besar dan kilang-kilang akan mengalami kerugian? Atau pelbagai lagi persoalan merapu yang hadir di fikiran kita.

Kita tahu haiwan ternakan seperti lembu, kerbau, dan kambing memerlukan rumput untuk hidup. Tumbuh-tumbuhan pula memerlukan karbon dioksida yang dilepaskan dari haiwan-haiwan tersebut. Seperti juga dalam hal ‘food-chain’. Ikan yang lebih besar memerlukan ikan kecil sebagai makanan.

Tumbuhan menumpang seperti pokok ‘duit-duit’ tidak boleh hidup tanpa pokok yang besar. Perkara ini dinamakan ‘Symbiosis’. Ikan buran (ikan ‘nemo’) tidak boleh hidup tanpa karang laut. Dan jika kita ‘keluar’ jauh sedikit, kita menyaksikan yang planet bumi dan bulan saling perlu-memerlukan antara satu sama lain. Tumbuhan ‘kulat’ seperti cendawan juga dapat hidup di kayu-kayu yang telah mati. Jika tiada ranting atau dahan yang jatuh, reput dan mati – maka kita tidak akan kenal dengan cendawan.

Itulah uniknya segala kehidupan yang ada di muka bumi ciptaan tuhan ini. Maka setelah kita menyenaraikan semua kebergantungan hidup sesama haiwan dan tumbuhan seperti di atas…. maka terfikir pula kita…

‘Mampukah planet bumi dan ekosistemnya ‘hidup’ dan bertahan tanpa kehadiran MANUSIA? dan APAKAH SEBENARNYA TUJUAN MANUSIA diciptakan dan di’datangkan’ ke planet bumi ini?’

Sebagai seorang ISLAM, kita dituntut untuk menjadi ‘khalifah’ di muka bumi ini. Atau dalam bahasa modennya ‘pengurus’ kepada planet kita. Sesungguhnya tugas kita ialah melindungi semua spesis di planet ini daripada PUPUS dan menggunakan segala sumber dengan bijak.

Bayangkan jika suatu hari apabila kita bangun dari tidur, semuanya yang telah kita ketahui seperti petrol, diesel, air bersih, tumbuh-tumbuhan dan haiwan… semuanya telah TIADA!

Jadi, padamkanlah lampu anda selama 60 minit untuk menyokong kempen ini. Jika ISLAM mengajar kita berpuasa selama 30 hari dalam setahun semata-mata untuk ‘reboot’ sistem tubuh badan kita, maka saya kira sangat adil jika kita ‘puasakan’ penggunaan elektrik selama SATU JAM pada malam ini untuk planet kita – planet BUMI.

Hilangkanlah segala prasangka dan tanggapan negatif tentang perkara-perkara yang bakal berlaku. Berikanlah komitmen anda untuk bumi yang semakin panas ini. Kalau boleh, janganlah hidupkan sebarang tenaga termasuk LILIN pada malam ini. Gunakanlah kegelapan selama satu jam itu untuk muhasabah diri anda sendiri. Bertafakur atau bermeditasilah.

Satu perkara yang patut kita fikirkan ialah – jika suatu hari nanti planet BUMI ini tidak lagi sesuai untuk kehidupan manusia… planet mana yang kita perlu pindah?

Sumbanglah kudrat dan bertanggungjawablah anda selama hidup di muka bumi ini selagi tidak dijemput ke planet akhirat. Wallahualam.





SATU Dari TUJUH Keajaiban Dunia Ada Di Malaysia?

13 03 2009

1. Apabila kita menyebut tentang ‘7 Keajaiban Dunia’ pasti fikiran kita terarah kepada Piramid di Giza, Taj Mahal di India, Tembok Besar China atau Eiffel Tower di Paris.

2. Taj Mahal di India sebagai contoh, memberikan kemakmuran ekonomi kepada penduduk kawasan Agra, India. Setiap hari ribuan pengunjung luar negeri datang ke Agra semata-mata ingin menyaksikan monumen ini secara ‘live’ dan dekat. Apabila Agra menerima jumlah kunjungan sebegini ramai, pastinya ‘duit’ yang mereka bawa juga adalah banyak. Seorang pengunjung dari Italy mustahil sekali akan berbelanja dengan matawang EURO di Agra – pastinya beliau akan menukarkan Euro kepada Rupee dan kemudiannya berbelanja untuk hotel, makanan, khidmat pelancong, membeli-belah dan sebagainya.

3. Jika dalam satu hari Agra menerima kunjungan lima ribu pelancong dan setiap seorang membelanjakan 300 rupee sehari, maka ‘duit-duit’ akan berkeliaran (atau CAIR (liquid) dalam bahasa kewangan) sebanyak 45 juta Rupee (atau lebih-kurang RM 3.3 juta) sebulan di Agra sahaja – dan RM 3.3 juta ini dibahagi-bahagikan kepada seluruh penduduk Agra setiap bulan! Tidakkah ini yang dipanggil ‘wang percuma’?

4. Bayangkan jika Agra mempunyai penduduk 100 ribu orang, maka setiap orang secara purata akan menerima limpahan (surplus) sebanyak RM33.00 seorang sebulan. Tetapi, perkara ini tidaklah berlaku sedemikian kerana bukan setiap orang dalam 100 ribu penduduk di Agra itu menjadi pengusaha hotel, resort, operator pelancongan, pemilik restoran, penjual air atau makanan di kaki lima. Dengan itu, maka ‘masyarakat pelancongan’ di Agra hanyalah mewakili 2 peratus daripada keseluruhan 100 ribu penduduk tadi. Jadi pengusaha-pengusaha ini sebenarnya menerima ‘kemasukkan’ minima RM1,650.00 sebulan.

5. Apa kata jika anda adalah salah seorang dari ‘pengusaha pelancongan’ di Agra, India dan menerima ‘wang percuma’ sebanyak RM1,650.00 sebulan? tidakkah ini satu ‘magic’? Itupun pada kiraan 300 rupee sehari dan angka ini sebenarnya tidak logik kerana takkanlah seorang pelancong cuma membelanjakan RM23.40 sahaja sehari? Nak bayar sewa hotel pun tidak lepas. Dan orang yang datang ke Agra sebenarnya melebihi lima ribu orang sehari!

6. Jadi, jelas menunjukkan yang analisa saya tadi itu tidak tepat. Tetapi sekurang-kurangnya memberikan gambaran SEBENAR tentang apa yang berlaku di Agra, India hanya kerana mempunyai salah satu diantara tujuh keajaiban dunia – iaitu Taj Mahal. Menariknya, mereka bukan hanya melawat Taj Mahal, tetapi juga mengunjungi ‘Agra Fort’ yang berada tidak jauh dari situ.

7. Jadi bagaimana? nampakkah anda tentang betapa ‘mewah dan selesanya’ sesuatu tempat jika terdapat perkara ‘7 Keajaiban Dunia’? Dan adakah anda faham tentang ‘jual-beli’ wang asing apabila seorang pelancong memasuki daerah anda? Sama seperti anda – saya juga tidak akan pergi melancong ke tempat-tempat menarik di dunia jika saya tidak membawa duit yang cukup. Dan sama seperti anda juga, jika saya hidup mewah dan sihat – sudah pasti saya akan mengunjungi SETIAP tujuh keajaiban dunia tersebut!

8. Apa kaitan Taj Mahal dengan kawasan Silam yang saya wakili di Parlimen? Apa pula ‘barangnya’ yang saya katakan – kini wujud SATU dari TUJUH keajaiban dunia di Malaysia? Dan apa pula faedahnya secara langsung kepada Sabah?

9. Saya bukanlah Menteri Pelancongan atau Menteri Kewangan Malaysia. Saya cuma seorang lelaki yang secara kebetulan dilahirkan di Semporna, Sabah dan kini seorang Ahli Parlimen yang mewakili P188 Silam, Sabah. Negeri Sabah seperti yang anda ketahui merupakan salah satu ahli ‘persekutuan’ Malaysia. Ini bermakna jika Gunung Kinabalu itu berada di Sabah – maka secara langsung nama Malaysia akan turut terkenal. Demikian juga apabila diwujudkan pertandingan lumba basikal ‘Le Tour De Langkawi’, walaupun ia tidak ada kena-mengena dengan Sabah, namun orang luar tetap melabelkan acara ini di Malaysia. Kesimpulannya, bagi mata orang luar, Gua Mulu itu di Malaysia, Gunung Kinabalu di Malaysia, LIMA Langkawi di Malaysia dan KLCC juga di Malaysia. Sama persepsi bila di sebut ‘Taj Mahal’ – maka anda akan melabelkan India.

10. Saya faham, mungkin anda berkata dalam hati – saya masih lagi belum menyampaikan ‘barang’ ajaib dunia di Malaysia itu. Tetapi, izinkan saya bercerita sikit lagi tentang betapa untungnya sesuatu acara dunia itu jika ia diadakan di Malaysia. Sebagai Ahli Parlimen, saya MESTI berbicara tentang masalah NASIONAL – bukannya masalah setempat kerana saya bukan Ahli Dewan Undangan Negeri.

11. Adakah anda perasan bahawa wujud satu badan yang menganugerahkan gelaran ‘7 Wonders Of The World’? dan tahukah anda bahawa ketujuh-tujuh keajaiban dunia ini akan diadili semula hampir setiap tahun? Ok. Mungkin saya sudah keterlaluan. Mari kita terus kepada pokok persoalan utama artikel ini. Dimanakah ‘benda’ ajaib dunia itu di Malaysia?

12. Selamat datang ke Pulau Sipadan, Malaysia. Satu-satunya pulau ‘oceanic’ di Malaysia. Pulau yang berbentuk ‘cendawan’ ini ‘berdiri’ teguh pada ketinggian 600 meter daripada lantai lautnya. Ianya terbentuk dari mendapan fosil, batu karang, pepasir, lumpur dan pelbagai tinggalan hidupan laut di ATAS sebuah kon gunung berapi dasar laut beribu-ribu tahun dahulu. Semua mendakan ini berpusar-pusar akibat tolakan arus laut sehingga membentuk ‘tiang seri’ lantas memberikan bentuk ‘cendawan’ kepada pulau ini.

13. Pulau Sipadan terkenal kerana ‘dispute’ (atau masalah kedaulatan) antara Malaysia dan Indonesia satu ketika dahulu. Kini ia dikenali seluruh dunia kerana keindahan dasar laut, kecantikan batu karang (atau karangan laut) dan pelbagai spesis hidupan laut yang bernaung dibawah ‘payung cendawan’ Pulau Sipadan ini. Di bawah Pulau Sipadan juga wujud sebuah gua dasar laut yang menjadi kubur kepada pelbagai spesis penyu di dunia. Sama seperti gajah, penyu juga hanya akan mati di tempat yang tersembunyi dan terlindung dari pandangan manusia. Selain itu tiada satupun ‘man-made structure’ wujud di Sipadan. Ini memaksa pelancong memilih pulau bersebelahannya iaitu Pulau Mabul atau di Bandar Semporna, Sabah untuk menginap.

14. Hidupan laut seperti jerung (lebih-lebih lagi spesis ‘Hammerhead’), ‘barracuda’, penyu, ‘sea-fan’ dan lintah laut hidup subur di perairan Sipadan. Perkara yang perlu ‘diburu’ oleh setiap penyelam apabila berada di laut Sipadan adalah ‘Frog Fish’ yang pelbagai warna. Frog Fish atau ikan katak adalah amat jarang didapati dilain-lain tempat dan jika anda kurang memberikan perhatian – maka anda tidak akan nampak walau seekor pun ikan ini, walaupun ia sebenarnya berada benar-benar disebelah telinga anda.

15. Pulau Sipadan juga dianugerahkan dengan pasir yang memutih pada pantai yang landai. Tetapi kecetekan airnya yang hijau-kebiru-biruan itu mungkin akan menyebabkan kematian jika anda terleka semasa ‘snorkling’ dan telah melepasi had. Di sana menunggu jurang ‘drop-off’ setinggi 600 meter terus ke dasar laut! Dari pandangan satelit, jurang ini kelihatan hitam dan menyeramkan. Namun inilah sebenarnya yang dicari-cari oleh penyelam dunia kerana ‘syurga dasar laut’ menunggu di bawahnya. Bukanlah suatu yang ganjil (atau pelik) jika saya katakan ikan yang beriluminasi (mempunyai cahaya badan sendiri) seperti kelip-kelip – spesisnya melebihi hitungan jari-jari anda di sini.

16. Ada rakan bertanyakan kepada saya – apa cantiknya Sipadan kerana tidak ada apa-apa pun di atasnya? dan soalan itu hanya terjawab jika dia ‘melawat kompleks muzium’ hidupan laut dibawahnya. Salahkah jika saya melabelkan ‘kompleks’ jika wujud dinding-dinding (underwater walls), gua, taman batu karang, padang ragut dan jurang yang dihiasi dengan ‘lampu-lampu’ semulajadi alam di dasar Pulau Sipadan?

17. Keajaiban Pulau Sipadan bukanlah sekadar yang saya sebutkan tadi. Lebih ajaib lagi kerana KINI ia terpilih dalam PENGUNDIAN SEMULA TUJUH KEAJAIBAN DUNIA atau lebih dikenali dengan ‘The New Seven Wonders Of The World’. Maka menjadi tanggungjawab saya selaku Ahli Parlimen Malaysia untuk mempromosi pengundian ini yang sedang rancak dilaksanakan di laman web rasmi ‘New 7 Wonders’ iaitu http://www.n7w.com

18. Kempen ‘Vote Sipadan For New Seven Wonders’ telah berlansung sejak awal Januari sehingga 7 Julai 2009. Objektif kempen ini adalah untuk memilih 77 (tujuh puluh tujuh) destinasi ajaib dunia dan Pulau Sipadan adalah satu-satunya calon yang mewakili Malaysia. Kesemua calon diletakkan dalam 7 kumpulan yang berbeza dimana Pulau Sipadan terletak dalam ‘Group B – Islands’. Pada bulan Februari lepas Pulau Sipadan menduduki tempat ke 17 dan kini ia berada pada kedudukan ke-14 dalam kategori pulau. Misi Pulau Sipadan ialah SEKURANG-KURANGNYA menduduki tempat ke-11 supaya layak berada dalam ‘kelompok 77’.

19. Jika pada 7 Julai kelak Pulau Sipadan berada dalam kelompok 77 ini – maka ia layak dalam saringan akhir dan jika menang – negara kita Malaysia akan dikenali sebagai salah satu negara ‘7 Keajaiban Dunia’.

20. Untuk menyebabkan semua ini berlaku – anda perlu memainkan peranan sebagai warganegara Malaysia untuk MENGUNDI Pulau Sipadan didalam kempen ini. Ada 2 cara untuk anda membantu negara anda; PERTAMA – pada skala besar atau, KEDUA – pada skala peribadi.

21. Untuk skala peribadi – anda cuma perlu masuk ke laman web rasmi ‘The New Seven Wonders’ di alamat http://www.n7w.com. Di sana anda klik ‘The New 7 Wonder Of Nature’ dan masuk ke ‘Live Ranking’. Pilih ‘Group B – Island’ dan klik Sipadan Island, Malaysia, Asia.

22. Untuk skala besar pula – jika anda seorang pentadbir laman web atau laman blog, anda boleh mendapatkan ‘widget VOTE SIPADAN’ untuk diterbitkan pada laman web atau blog anda. Jika anda seorang pengacara televisyen atau penyampai radio – cuba dapatkan kebenaran dari pengawal siaran untuk mewartakan ‘Undi Untuk Sipadan’ di dalam rancangan anda. Jika anda editor pada majalah atau bahan percetakan – cuba ciptakan artikel Pulau Sipadan dan minta pembaca untuk mengundi Pulau Sipadan. Selebihnya jika anda seorang yang berpengaruh… inilah masanya untuk anda tunaikan semangat patriotik kepada negara anda!

23. Untuk kempen ini, cuba ketepikan segala pandangan negatif anda sebentar. Fikirkan impak terus ekonomi (atau kewangan) kepada negara jika Pulau Sipadan, Malaysia terpilih dalam ‘The New 7 Wonders’ ini. Bayangkan limpahan kedatangan pelancong ke Malaysia secara mendadak dan jumlah nilai tukaran wang asing yang bakal membawa kemakmuran kepada Malaysia dalam jangkamasa panjang.

24. Kepada rakyat Sabah, bayangkan infrastruktur awam yang bakal dibangunkan kelak demi memudahkan kedatangan pelancong-pelancong ini. Bayangkan jalanraya yang perlu dipertingkatkan, jalur-lebar internet yang perlu ditambah, blok-blok bangunan baru yang perlu dibangunkan, hotel dan resort baru yang memang sengaja dibangunkan, janakuasa elektrik yang perlu digandakan, operator pelancongan yang perlu ‘ditumbuhkan’, servis pengangkutan air yang perlu diciptakan dan yang paling PENTING sekali ribuan peluang pekerjaan baru yang perlu diwujudkan!

25. Senario ini kelak akan berlaku seperti di Agra, India dimana Agra Fort dikunjungi kerana berada bersebelahan dengan Taj Mahal, maka ‘The Lost World Of Sabah’ seperti Kompleks Gua Madai, Maliau Basin, Air Terjun Madai dan Lembah Danum bakal dikunjungi hanya kerana berada bersebelahan dengan Pulau Sipadan – ‘One Of The World’s Seven Wonders’! Bukankah ini hadiah ekonomi yang terbaik untuk generasi kita yang akan datang? Saya sudah mengundi, anda bila lagi?

undi-sipadan

KLIK SINI untuk mengundi Pulau Sipadan, Malaysia – http://www.new7wonders.com/nature/en/nominees/asia/c/SipadanIsland/





Dinding

13 03 2009

berlin

1. Dinding merupakan pemisah untuk sesuatu ruang. Wujudnya dinding pada satu kawasan yang luas akan menjadikannya sempit dan terciptalah blok. Tetapi dinding perlu di wujudkan untuk mencipta ‘privacy’. Jika sederet barisan rumah teres tidak berdinding, maka ia lebih baik di sebut rumah panjang.

2. Dalam fikiran manusia juga wujudnya dinding. Dan kepercayaan betapa pentingnya dinding dalam minda orang melayu telah dipupuk sejak zaman dahulu lagi. Itu sebab kita biasa dengar jika ada orang berani meredah hutan atau belukar pada waktu malam, maka orang itu pasti ada ‘pendinding’.

3. Seperti kecilnya ruang setelah ia didindingkan, maka begitulah sempitnya pemikiran kita dalam menilaikan sesuatu. Sebagai contoh, seorang melayu yang baru ingin mencuba berniaga akan mencipta ‘dinding-persepsi’ yang negatif sebelum dia terjun ke bidang perniagaan.

4. Dinding yang biasa wujud pada pertama kali ini diterjemah dalam soalan “Bagaimana aku hendak mendapatkan MODAL untuk berniaga?”. Kemudian dia menciptakan dinding-dinding lain seperti “Siapa yang akan membeli barang-barang aku?”, “Bagaimana aku hendak berniaga di kawasan ini sedangkan ada orang lain yang telah memulakannya?”, “Kalau RUGI macamana?” dan yang paling ‘best’ adalah “Kau ada kenal siapa-siapa USTAZ atau BOMOH untuk buat PENDINDING atau PELARIS jualanku ini?”.

5. Tanpa beliau sedari, kesemua dinding-dinding ini telah mengelilinginya dan akhirnya terbentuklah satu BILIK sehinggakan dia keseorangan didalam bilik itu. Kalaulah peniaga ini seekor katak yang telah disumpah, maka kita akan sebut tragedi ini sebagai ‘Umpama katak di bawah tempurung’.

6. Tidak seperti hikayat ‘Putera Raja yang telah di sumpah menjadi katak’, kalaupun ada seorang Tuan Puteri yang tiba-tiba singgah, dan kalaupun puteri ini mencium katak tadi – tiada apa yang akan berlaku. Tetapi di Malaysia ini, kebanyakkan peniaga tetap menunggu ‘kesaktian’ puteri ini yang di panggil sebagai ‘subsidi’ atau ‘bantuan modal’ dari kerajaan. Seperti biasa, ‘tongkat sakti’ ini menjelma dalam bentuk ‘bantuan modal pusingan’ dan ‘skim galakan perniagaan’ yang diterajui oleh MARA, SME Bank, TEKUN, PNB dan lain-lain badan berkanun. Hanya setelah itu, barulah dinding yang diciptakan sejak awal tadi runtuh satu – per – satu.

7. Perasaan ‘takut’ merupakan dinding yang paling tebal sekali. Takut rugi bila berniaga, takut berjumpa orang, takut keluar duit untuk mempromosi, takut gagal, takut kena tipu, takut mencuba, takut membeli barang di internet, takut bercakap di khalayak ramai dan seribu satu macam lagi sifat takut mendindingi orang kita. Yang menghairankan, jika mereka yang berniaga mempunyai dinding takut ini, mengapa pada peringkat awal mereka berani berniaga?

8. Adakah berani mereka merupakan berani menipu orang, berani tipu timbangan, berani memperbodohkan pelanggan, berani bercakap kosong dan berani di gelanggang sendiri sahaja?

9. Sifat dinding pada bangsa rumpun melayu perlu di runtuhkan. Jika berniaga, cubalah berjaya sehingga membuka cawangan di Semenanjung, Sarawak & Sabah. Jangan meletakkan dinding empayar anda di sempadan daerah anda sahaja. Kata orang putih “The world is your playground”.

10. Sifat ‘low self-esteem’ dan ‘inferiority complex’ perlu dikikis terus untuk berjaya. Dinding atau batas pergaulan perlu diperluas agar mewujudkan komunikasi dengan lain-lain bangsa. Dengan itu akan bertambahlah peluang dan kenalan. Barulah boleh menjadi ‘global player’.

11. Jika Jerman boleh meruntuhkan tembok Berlin yang selama ini menjadi dinding pemisah antara dua negara, mengapa tidak anda jadikan ia contoh untuk meruntuhkan dinding pemikiran anda yang sentiasa ‘takut’ kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya?

12. Disinilah slogan ‘Malaysia Boleh’ patut anda gunakan. Jika orang lain, bangsa lain, masyarakat lain boleh melakukan, berani melakukan dan mampu melakukan, maka mengapa tidak anda? Atau adakah mereka berdarah biru berbanding anda yang berdarah merah?

13. Saya menerbitkan artikel ini atas rasa tanggungjawab kerana memandangkan nasib masyarakat peniaga melayu dan orang melayu secara amnya yang masih banyak mencipta dinding penghalang untuk mereka berjaya dalam apa jua bidang. Ada yang mengatakan dia tidak diberikan peluang atau pentadbir mengamalkan ‘double-standard’. Tetapi bila dikaji semula jelas menunjukkan yang mereka ini sebenarnya mempunyai ‘pendinding’ yang tebal. Kita bukan tidak boleh berdaya-saing, cuma perlu kikis sikap negatif dan pemikiran pasif yang selama ini menyelubungi kita.

14. Saya sangat berharap jika suatu hari nanti ada di kalangan masyarakat peniaga Melayu terutama dari Silam akan berjaya di peringkat antarabangsa. Adakah perkara ini mustahil? Tidak. Cuba lihat bagaimana orang Jepun mengeksport budaya mereka seperti ‘sushi’ sehingga menjadi makanan antarabangsa. Begitu juga orang Italy dengan ‘pizza’nya. Masalahnya kita selalu rasa popular dengan perkataan ‘import’ sedangkan peluang menerobos perdagangan antarabangsa MESTI berani ‘mengeksport’.

15. Saya kira sudah tiba masanya rakyat Malaysia berfikir sedalam-dalamnya dan MENGEKSPORT budaya atau makanan kita ke peringkat antarabangsa. Sesungguhnya dinding yang anda fikirkan hanya bermain di fikiran sendiri dan percayalah – ianya cuma imiginasi anda sahaja.