Perjuangan UMNO Sepanjang Zaman

16 10 2009

Perjuangan UMNO Sepanjang Zaman

 

MENYUSUR kembali perjuangan bangsa Melayu yang mahu membebaskan negara daripada terus dibelenggu penjajah khususnya selepas Perang Dunia Kedua berakhir dan Jepun menyerah kalah. Jeneral Seishiro Itagaki yang mengetuai Angkatan Tentera Jepun menyerah kalah kepada Panglima Angkatan Tentera Bersekutu, Lord Mountbatten di Singapura.

Namun demikian, Parti Komunis Malaya telah mengambil kesempatan menguasai Tanah Melayu melalui cabang tenteranya Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) yang juga dikenali sebagai Bintang Tiga. Keganasan dan hukuman sesuka hati dikenakan oleh Bintang Tiga terhadap sesiapa yang dianggap bekerjasama dengan Jepun. Pelbagai cukai dikenakan ke atas penduduk kampung dengan nilai yang tinggi.

Berikut adalah rentetan hingga membawa kepada Kongres Melayu dan tertubuhnya UMNO:

September 1945
Pentadbiran Tentera British ditubuhkan berperanan sebagai pentadbiran peralihan.

11 Oktober 1945
Wakil Khas British, Sir Harold Mac Michael tiba di Port Swettenham, Selangor untuk bertemu dengan Raja-raja Melayu bagi merundingkan dasar baru Kerajaan Inggeris berkenaan penubuhan ‘Malayan Union’ yang dirancang sewaktu Malaya dijajah Jepun.

20 Oktober – 21 Disember 1945
Sir Harold Mac Michael memulakan tugasnya dengan menggesa, mengugut dan mengaburi mata Raja-raja Melayu supaya menandatangani surat perjanjian yang mempersetujui penubuhan ‘Malayan Union’. Surat persetujuan perjanjian tersebut telah ditandatangani dengan dimulai oleh:

1. Sultan Johor – DYAM Tengku Mahkota Ismail pada 20 Oktober 1945
2. Sultan Pahang – DYMM Sultan Abu Bakar pada 2 November 1945
3. Yang Di Pertua Negeri Sembilan – DYMM Tengku Abdul Rahman pada 14 November 1945
4. Sultan Perak – DYMM Sultan Abdul Aziz pada 22 November 1945
5. Sultan Selangor – DYMM Sultan Hishamuddin pada 24 November 1945
6. Sultan Kedah – DYMM Sultan Badlishah pada 2 Disember 1945
7. Raja Perlis – DYMM Tuanku Syed Putra pada 12 Disember 1945
8. Sultan Kelantan – DYMM Sultan Ibrahim pada 17 Disember 1945
9. Sultan Terengganu – DYMM Sultan Ismail pada 21 Disember 1945

6 Januari 1946
Sir Harold Mac Michael pulang ke London dengan membawa surat perjanjian yg telah ditandatangani oleh Raja-raja Melayu melalui tipu muslihat tanpa memberi peluang kepada baginda berunding dengan penasihat masing-masing.

22 Januari 1946
Kertas Putih dibentangkan di Parlimen London oleh Setiausaha Tanah Jajahan Takluk British. Dasar-dasar dan rancangan ‘Malayan Union’ ialah:

1. Kuasa penuh diberi kepada King Inggeris supaya boleh membuat undang-undang yang sama di dalam semua Negeri-negeri Melayu.
2. Pentadbiran terletak di tangan Gabenor Inggeris.
3. Majlis Penasihat Pusat Agama yang terdiri dari Raja-raja Melayu dipengerusikan oleh Gabenor yang bukan beragama Islam.
4. Taraf kerakyatan boleh diperoleh tanpa perbezaan bangsa dan agama secara:
• Lahir di negeri Malayan Union dan Singapura.
• Telah tinggal selama 10-15 tahun di Malayan Union.
• Rakyat British juga boleh menjadi rakyat Malayan Union tanpa kehilangan taraf kerakyatan British.
5. Mereka yang bukan rakyat Malayan Union tidak boleh menjawat jawatan di dalam pejabat Kerajaan atau menjadi ahli Majlis Mesyuarat Pusat atau Majlis Mesyuarat Negeri.
6. Peraturan akan dibuat bagi memindahkan dengan sedikit kecualian, harta-harta kepunyaan Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka) kepada Malayan Union.

23 Januari 1946
Di atas sokongan dan cadangan Syed Alwi Al-Hadi dan Hj. Anuar Malik dari Kesatuan Melayu Johor, Dato’ Onn telah menghantar sepucuk surat kepada Utusan Melayu. Dalam suratnya, beliau mencadangkan satu kongres diadakan untuk membincangkan soal ‘Malayan Union’. Satu pertubuhan yang dinamakan United Malays Organisation (UMO) patut ditubuhkan sebagai pendesak. Surat Dato’ Onn itu merupakan rayuan pertama daripada seorang tokoh negara Melayu yang inginkan masalah ‘Malayan Union’ dibincangkan secara bersama sedangkan persatuan Melayu yang lain lebih membangkitkan penentangan mereka secara berasingan. Surat Dato’ Onn telah mengatasi tembok sifat kenegerian orang Melayu pada masa itu.

Antara bantahan yang dibuat oleh orang Melayu ialah di Kota Bharu, Kelantan pada 1 Februari 1946; di Kedah pada 4 Februari 1946; di Batu Pahat pada 10 Februari 1946 dan di Tapah, Perak.

Januari – Februari 1946
Di Kuala Lumpur, Tuan Zainal Abidin bin Ahmad atau lebih dikenali dengan Za’ba, Yang Di Pertua Persatuan Melayu Selangor telah mula berhubung dengan Datuk Panglima Bukit Gantang di Perak, Dato’ Onn bin Jaafar yang merupakan Yang Di Pertua Persatuan Melayu Semenanjung Johor dan lain-lain pemimpin supaya mengadakan kongres yang menjemput wakil orang-orang Melayu di seluruh Semenanjung. Tujuannya untuk menubuhkan sebuah pertubuhan Melayu yang besar bagi menentang rancangan ‘Malayan Union’.

4 Februari 1946
Satu perarakan menentang penubuhan Malayan Union telah diadakan di Padang Court anjuran Kesatuan Pemuda Melayu Kedah. Perarakan ini anjuran Kesatuan Pemuda Melayu Kedah dengan dihadiri oleh kira-kira 5,000 orang yang terdiri daripada Kesatuan Melayu Kedah, SEBERKAS, Kesatuan Ulama Kedah dan Persatuan Pemuda Melayu Kedah sebagai tanda penentangan orang-orang Melayu Kedah. Pada mulanya perhimpunan ini diadakan bagi tujuan menyambut kedatangan Mr. M.C. Howard, Ketua Hal Ehwal Awam Malaya tetapi dibatalkan dan hanya diwakili oleh seorang pegawai tentera British iaitu Leftenan Kolonel J.W. Sumerbill.
Dalam perhimpunan ini Tuan Haji Hussain Che Dol, Yang Dipertua Kesatuan Melayu Kedah dan En. Senu Abd Rahman, Setiausaha Agung SEBERKAS telah menghuraikan rancangan Malayan Union dan kandungan Kertas Putih.

15 Februari 1946
Raja-raja Melayu mula menyatakan bantahan masing-masing berikutan sentimen rakyat yang mula memuncak. Antaranya titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim.

Beta telah dikerasi dan dikejutkan dan beta tidak menurunkan tandatangan dengan penuh kemahuan akan tetapi setelah memikirkan semula perkara itu beta berpendapat bahawa beta telah menandatangani perjanjian itu dengan tidak terlebih dahulu menyiasat dengan sehalus-halusnya seperti yang sepatutnya diperbuat dan malangnya beta tidak sedar akan kesan-kesan yang mengenai lebih jauh. Oleh yang demikian, beta suka menyatakan iaitu di dalam hal yang demikian beta tidak sanggup lagi bertanggungjawab kepada persetujuan yang beta berikan mula-mula dulu.

23 dan 24 Februari 1946
Atas tuntutan rakyat Melayu Kelantan, maka Sultan Kelantan, Sultan Ibrahim, memberi penjelasan berhubung dengan tuntutan Mac Michael yang baginda tandatangani dan disiarkan di akhbar Utusan Melayu. Baginda telah diperdaya bahawa perjanjian itu merupakan tambahan kepada surat persetiaan tahun 1910 yang memberi kuasa kepada Baginda King membuat undang-undang bagi Kerajaan Kelantan. Kononnya Baginda King memikirkan dan mengambil berat keadaan negeri-negeri Melayu pada masa depan.

28 Februari 1946
Mesyuarat diadakan oleh Tun Za’ba dan dibantu oleh Dato’ Hamzah Abdullah, Menteri Besar Selangor bagi membincangkan penganjuran Kongres Pertama.

1 – 4 Mac 1946
Kongres Melayu yang pertama diwakili 107 orang wakil dari 41 buah pertubuhan dan 56 orang pemerhati bertempat di bangunan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Pertubuhan-pertubuhan Kongres Melayu Pertama Kuala Lumpur
JOHOR
1. Pergerakan Melayu Semenanjung Johor, Johor Bahru
2. Persatuan Melayu Segamat
3. Persatuan Melayu Keluang
4. Kesatuan Melayu Johor, Muar

KEDAH
5. Kesatuan Melayu Kedah
6. SABERKAS

KELANTAN
7. Persekutuan Persetiaan Melayu
8. Persatuan Melayu Kelantan

MELAKA
9. Pergerakan Melayu Semenanjung Melaka
10. Kesatuan Melayu Melaka

NEGERI SEMBILAN
11. Persatuan Melayu Negeri Sembilan

PAHANG
12. Persatuan Melayu Pahang
13. Wataniah
14. Persekutuan Guru-Guru Melayu Pahang

PULAU PINANG
15. Persekutuan Melayu Seberang Prai
16. Kesatuan Melayu Pulau Pinang
17. Persatuan Melayu Pulau Pinang

PERAK
18. Perikatan Melayu Perak
19. Persatuan Melayu Perak
20. Persetiaan Muslim Telok Anson
21. Persatuan Melayu Chenderiang
22. Persatuan Muhibbah Malim Nawar

PERLIS
23. Persatuan Melayu Perlis

SELANGOR
24. Pergerakan Kebangsaan Melayu Selangor
25. Ikatan Setia Kampung Baharu
26. Penang Peranakan Club
27. Dewan Perniagaan Melayu Malaya
28. Persatuan Penghulu-Penghulu Selangor
29. Persekutuan Guru-Guru Melayu Selangor
30. Darul-Ihsan Club Jeram
31. Persatuan Kaum Ibu Selangor
32. Persekutuan Bawean Selangor
33. Persatuan Melayu Ulu Selangor
34. Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam
35. Kaum Darat (Orang Asli) Selangor
36. Persatuan Melayu Jawatan Sekolah Rendah

SINGAPURA
37. Kesatuan Melayu Singapura

TERENGGANU

38. Persatuan Melayu Terengganu

TANAH MELAYU
39. Parti Kebangsaan Melayu Malaya
40. Pembantu Indonesia Merdeka Sa-Malaya
41. (Tidak diketahui namanya)

Perasmian Kongres tersebut dilaksanakan oleh Sultan Selangor, Sultan Hishammuddin Alam Shah.

Tuan Za’ba yang merupakan seorang pakar bahasa dan nasionalisme Melayu telah mencadangkan supaya nama pertubuhan yang dicadangkan oleh Dato’ Onn “United Malays Organisation” atau UNO ditambah dengan perkataan “National” menjadikan ia dalam Bahasa Melayu sebagai “Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu” atau “United Malays National Organisation” atau ringkasnya UMNO. Cadangan tersebut telah diterima sebulat suara.

Dato’ Onn telah dipilih sebagai pengerusi persidangan Kongres dengan sebulat suara. Di dalam ucapannya, beliau menyeru agar perwakilan bersatu.

Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha. Tunjukkanlah bahawa kita sebenar-benarnya keturunan datuk nenek kita yang menghadap bahaya dengan bersatu hati. Dengan bersatu hati itu sahaja akan dapat kita mengadap masa yang akan datang dengan harapan akan jaya cita-cita kita itu.

Ucapan tersebut telah membakar semangat ahli-ahli Kongres dan bangsa Melayu seluruhnya. Telah muncul seorang pemimpin agung Melayu yang dinanti-nantikan bagi membela umat Melayu sewaktu kedudukan mereka diancam.

4 Mac 1946
Pada hari terakhir, satu perhimpunan orang-orang Melayu telah diadakan di Dewan Bandaran, Kuala Lumpur dan keputusan kongres diisytiharkan.

Kawat keputusan Kongres Melayu Pertama

1. Bahawa surat-surat perjanjian yang telah ditandatangani oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan-sultan Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang bermakna memberi kuasa penuh kepada Duli Yang Maha Mulia lagi Maha Besar King Great British dan akan menjalankan kuasa yang penuh itu. Kerajaan Baginda King mencadangkan hendak menjalankan kuasa yang penuh itu di dalam lingkungan Negeri Melayu yang tersebut dan menghapuskan kuasa-kuasa Sultan-sultan itu di dalam negeri mereka masing-masing daripada suatu keadaan Raja-raja yang merdeka sebagai yang telah terdiri tidak diperbuat mengikut undang-undang tubuh adat lembaga kebiasaan Melayu yang sah dan batal dan tidak wajib ditaat oleh Yang Maha Mulia Sultan-sultan dan rakyat-rakyat mereka.
2. Bahawa yang sebagaimana surat-surat perjanjian telah diperbuat dengan tiada diketahui dan berlawanan dengan kemahuan-kemahuan rakyat-rakyat Duli Yang Maha Mulia Sultan-sultan dan sebagaimana cadangan kerajaan Baginda King hendak menjalankan kuasa penuh di dalam negeri-negeri Melayu tiada diredhai oleh rakyat-rakyat Duli Yang Maha Mulia Sultan-sultan. Bahawa Persidangan Agung ini menyatakan bahawa perbuatan itu berlawanan dengan kaedah-kaedah Demokrasi dan iaitu tidak boleh diterima sama sekali.
3. Bahawa cadangan Kerajaan Baginda King hendak menjalankan kuasa penuh di dalam negeri-negeri Melayu yang tersebut dan menidakkan kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan-sultan bermakna dirampas sama sekali negeri-negeri Melayu di dalam Semenanjung Tanah Melayu iaitu berlawanan dengan semangat dan kehendak Atlantic Charter.
4. Bahawa cadangan Kerajaan Baginda King seperti yang dicadangkan di dalam Kertas Putih yang dikeluarkan di dalam bulan Januari 1946 yang antara beberapa perkara mencadangkan:
• Menjadikan suatu tubuh dinamakan Malayan Union bagi menggantikan Negeri-negeri Melayu yang beraja, mereka terkeluar daripada tubuh itu Pulau Pinang dan Melaka pula.
• Menjadikan suatu hak kerakyatan dengan hak-hak yang sama dengan tidak tilek pandang kepada Bangsa atau Agama akan menghapuskan sama sekali daripada hidupnya:
i Negeri Islam Melayu yang merdeka iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang pendiriannya seperti itu telah diakui oleh Kerajaan Baginda khasnya dan oleh sedunia amnya.
ii Bangsa Melayu mempunyai Negeri dan Raja.
iii Segala Treaty-treaty yang ada di antara Kerajaan Baginda King dan Duli Yang Maha Mulia Sultan-sultan dan dengan perbuatan yang memecahkan kehormatan treaty-treaty yang baginya bangsa-bangsa yang bersekutu telah berjuang di dalam sesuatu peperangan yang terlebih dahsyat di dalam tawarikh dan iaitu mengambil daripada orang Melayu hak-hak mereka itu yang semulajadi itu dinyatakan menjadi suatu timpaan yang amat dahsyat kepada mereka-mereka pula yang selama-lamanya taat setia kepada Baginda King.
5. Bahawa Persidangan ini menjemput Kerajaan Baginda King kepada suatu peperiksaan yang penuh di atas keadaan yang ada pada masa ini di dalam Semenanjung Tanah Melayu dan keadaan-keadaan itu jika diketahui oleh Kerajaan Baginda King tentu akan menangguhkan cadangan yang tersebut itu.
6. Bahawa disebabkan oleh perkara-perkara yang tersebut itu Persidangan Agung ini meminta kepada Kerajaan Baginda King menarik kembali cadangan itu dengan serta-merta dan kembalikan pendirian negeri-negeri Melayu dengan tidak ada sebarang perubahan daripada keadaan yang telah lalu.

Mac 1946
Surat-surat bertahan Raja-raja Melayu telah dibaca oleh L.D. Gammans, Ahli Parlimen British di dalam perbahasan berkenaan dengan Malayan Union di Dewan Orang Ramai (House of Commons) British. Beliau telah memberi amaran kepada Dewan bahawa perkara ini boleh menjadi pertumpahan darah dan huru-hara jika tidak diatasi. Sir John pula mengingatkan bahawa Sultan-sultan ini telah diugut.

30 – 31 Mac 1946
Dato’ Onn memanggil satu kongres tergempar di pejabat akhbar Majlis bagi membincangkan tindakbalas terhadap kerajaan British. Hasil dari perbincangan kongres tersebut, persidangan mencapai keputusan berikut:

1. Meminta semua orang Melayu di seluruh Tanah Melayu berkabung dengan melilit kain putih di songkok pada 1 hingga 7 April 1946 tanda dukacita atas kedatangan ‘Malayan Union’.
2. Memohon DYMM Sultan-sultan Melayu supaya tidak hadir dan tidak campur di dalam istiadat menyambut Gabenor ‘Malayan Union’.
3. Ahli-ahli kongres yang telah ditawarkan menjadi ahli Majlis Penasihat Gabenor akan menarik diri dari lantikan itu.
4. Meminta orang-orang Melayu supaya tidak menerima perlantikan mana-mana Majlis, Lembaga atau Jawatankuasa. Sekiranya tidak mematuhi arahan ini mereka akan dipulau.
5. Persidangan juga telah mengambil keputusan mengutus kawat kepada Kapten Gammas dan Lt. Col. Rees Williams meminta mereka datang ke Tanah Melayu untuk berunding dengan orang-orang Melayu berkenaan Malayan Union.

1 April 1946
Dato’ Onn bersama-sama Dato’ Haji Wahab bin Toh Muda dan Dato’ Nik Ahmad Kamil menemui Raja-raja Melayu di Station Hotel, Kuala Lumpur bagi merayu kepada mereka agar tidak menghadiri majlis perlantikan Gabenor ‘Malayan Union’. Beribu-ribu orang Melayu memakai songkok berlilit kain putih tanda berkabung berkumpul berasak-asak di hadapan Station Hotel melaungkan “Daulat Tuanku” dan “Hidup Melayu”. Dato’ Onn menegaskan kepada Raja-raja Melayu bahawa kerjasama mereka adalah perlu untuk mengelakkan rakyat Melayu dari menderhaka. Dengan bantuan Sultan Ibrahim dan desakan orang-orang Melayu yang berada di situ, Dato’ Onn berjaya memujuk Raja-raja Melayu agar memulau istiadat pertabalan itu.

Raja-raja Melayu amat terharu dengan keadaan ini, lalu berangkat turun menemui rakyat yang berkumpul di luar. Dengan airmata yang berlinang, salah seorang daripada mereka telah bertitah, “sabarlah, sabarlah. Kita di pihak yang benar, Tuhan akan menyertai pihak yang benar”.

Di dalam suasana hiba itu, terdengar suara salah seorang, “Kami telah membawa Raja-raja turun dari atas ke bawah. Kami tidak sampai hati hendak menurunkan baginda terus-menerus. Kami hanya hendak menyatakan bahawa kami sekalian adalah berdiri menyokong baginda-baginda”.
Raja-raja Melayu akhirnya akur dengan permintaan rakyat dan memulaukan upacara tersebut. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa Raja-raja dan orang Melayu sememangnya tidak dapat dipisahkan.

1 April 1946
Kerajaan ‘Malayan Union’ dirasmikan dan Sir Edward Gent mengangkat sumpah sebagai Gabenor. Tiada seorang pun Raja, orang besar atau orang kenamaan Melayu hadir dalam majlis tersebut.

15 April 1946
Sultan Perak, Selangor, Pahang, Kedah, Negeri Sembilan dan Perlis mengadakan pertemuan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dan mereka bersetuju dengan sebulat suara membantah penubuhan ‘Malayan Union’. Bantahan ini disampaikan kepada Kerajaan British di England.

11 dan 12 Mei 1946
Kongres Melayu ketiga diadakan di Istana Besar, Johor Bharu dan dirasmikan oleh YAM Tengku Mahkota Pemangku Sultan Johor (Sultan Ismail). Dalam kongres ini beliau telah bertitah:

…Dengan hati yang sangat ria, saya melihat kedatangan tuan-tuan yang begini ramai dari semua negeri di Semenanjung Tanah Melayu ini kerana hendak sama-sama muafakat menjalankan pekerjaan kongres dan hari ini nampaklah kepada saya dan kepada tuan-tuan sekalian juga yang kita bangsa Melayu yang sedia dan hendak bersatu dengan tujuan menguatkan pendirian bangsa kita dan memelihara tanah air kita. Kedatangan tuan-tuan kemari ada memberi sukacita yang amat besar kepada saya dan saya menerima tuan-tuan sekalian dengan hati yang tulus ikhlas. Saya harap kerja-kerja yang hendak tuan jalankan di sini dalam dua hari akan jaya dengan cukup sempurna juga saya ucapkan selamat kepada tuan-tuan semua dan saya serukan persidangan mesyuarat ini dibuka dan dimulakan….

Kongres ini dihadiri seramai 58 orang wakil dan 30 orang pemerhati. Di sinilah piagam UMNO diluluskan dan lahirlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR). Dato’ Onn bin Jaafar dipilih sebagai Yang Di Pertua sebulat suara. Dalam ucapan rasmi selepas penubuhannya, beliau menyatakan:

Janganlah kiranya hendak mengejar pangkat sahaja dengan membelakangkan bangsanya kerana dengan malangnya saya bercakap iaitu Tanah Melayu ini ada orang yang rupa Melayu, berkulit Melayu dan segalanya Melayu tetapi dukacita disebutkan ‘hatinya bukan Melayu’.

Alangkah malang ada orang Melayu yang tidak mengikut kerana kononnya segan kepada orang asing tetapi tidak segan kepada bangsanya sendiri. Saya tahu ada berbunyi pihak yang tidak menyebelah pada Melayu hendak memberitahu kepada dunia bahawa bantahan-bantahan daripada kita itu bukan bantahan rakyat tetapi raja.

Kita nafikan itu kepada dunia yang menuntut hak bukan raja, melainkan rakyat. Ada dua tempat orang Melayu hendak bertenggek, satu kepada jiran, satu kepada musuh Melayu. Jika belum ada perasaan kebangsaan dan tanah air dan semata-mata kerana dirinya sendiri diminta supaya orang itu berfikir panjang dan bertaubatlah. Masuk ke dalam persatuan-persatuan dan bersatulah.

Saya berharap dalam masa yang sedikit lagi jadi satu tujuan, kerana itu mustahak menunjukkan persatuan yang padu bukan sahaja persatuan antara raja dengan rakyat tetapi rakyat dengan raja. Selamat belayar Kongres dan selamat datang Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.

Dalam mesyuarat tersebut keputusan-keputusan berikut telah diambil iaitu:
1. Diputuskan bahawa Yang Di Pertua Pertama UMNO berhak memilih seorang Setiausaha Agung dengan gaji tidak lebih RM300 sebulan dan diberi kebenaran membelanjakan RM5,000 setahun untuk pentadbiran UMNO.
2. Meluluskan penubuhan lima pejabat iaitu Setiausaha Agung, Perkara Wang, Agama dan Pelajaran, Perkara Iktisad, Perkara Dakyah serta Perkara Membantah Malayan Union dengan Ibu Pejabat UMNO ditempatkan di Johor Bahru.
3. Semua wakil persatuan bersetuju supaya UMNO menghantar wakil ke England bersama dengan Sultan dan Raja Melayu. Mereka yang dipilih ialah:

i Dato’ Onn
ii Datuk Panglima Bukit Gantang Perak (Tuan Haji Abdul Wahab)
iii Tunku Abdul Rahman

Seorang lagi wakil iaitu Zainal Abidin Abas dipilih sebagai pengganti, jika salah seorang daripada mereka tidak dapat mengikuti rombongan terbabit.

4. Bersetuju supaya peruntukan RM100,000 daripada wang UMNO diberikan sebagai perbelanjaan wakil yang akan dihantar ke London.
5. Bersetuju untuk membentuk satu jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Perhubungan UMNO dan Raja-raja sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan Sultan dan Raja-raja Melayu.
6. Cogan kata Kebangsaan “Hidup Melayu” diilhamkan dan mula digunakan dalam surat-surat rasmi dan perjumpaan orang-orang Melayu.

Dalam kongres ini juga Piagam pertama yang menghuraikan tujuan penubuhan UMNO dan struktur pentadbirannya dibentuk iaitu:

1. Hendaklah ditubuhkan sebuah Pertubuhan Pusat yang dinamakan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (yang disebut kemudiannya Pertubuhan) dengan ibu pejabatnya di Johor Bahru dan persekutuan-persekutuan kamu masing-masing akan menjadi ahli-ahli pengasasnya.

2. i) Kuatkuasa yang diletakkan di sini dalam Pertubuhan itu adalah seperti berikut :
a) Bagi meninggikan dengan segala cara yang menurut undang-undang tujuan-tujuan yang sama dari ahli-ahlinya dan bagi menjalankan sebarang perbuatan di dalam apa juga perkara yang akan diamanahkan kepadanya oleh sebuah atau lebih ahli.
b) Bagi mewakili ahli-ahlinya atau sebuah dari ahli-ahlinya di dalam memajukan tujuan-tujuan yang seumpama itu dan lain-lain perkara atau perkara-perkara.
c) Bagi menyelesaikan sebarang perselisihan yang berbangkit di antara ahli-ahlinya

ii) Tiadalah sebarang yang terkandung di dalam fasal ini akan memberi kuasa kepada Pertubuhan menjalankan sesuatu perbuatan di dalam sebarang perkara yang menjadi hak sendiri kepada sebarang ahli yang tertentu atau ahli-ahli melainkan apabila disyaratkan dengan tertentu di sini.

3. Sebarang Persekutuan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu yang mempunyai ahli-ahlinya lebih seribu orang bilangannya dan yang mempunyai tujuan-tujuannya termasuk memajukan dan membaiki keadaan orang-orang Melayu dari atau di dalam Semenanjung Tanah Melayu bolehlah dengan membuat permintaan, diterima menjadi ahli Pertubuhan.

4. Pertubuhan akan terdiri daripada :
a) Majlis Mesyuarat Agung
b) Jawatankuasa Kerja
c) Setiausaha Agung

5. Majlis Mesyuarat Agung hendaklah mengandungi tidak lebih daripada dua orang wakil daripada sebuah ahli dan hendaklah bersidang sekurang-kurangnya sekali di dalam setahun,persidangan yang pertama seumpama itu hendaklah diadakan pada atau sebelum 12 Mei 1946.

6. Majlis Mesyuarat Agung hendaklah mempunyai kuasa menubuhkan sebuah jabatan atau jabatan-jabatan yang difikirkan mustahak bagi mencapai tujuan-tujuan dan cita-cita Pertubuhan.

7. Yang Di Pertua Pertubuhan hendaklah dipilih dan diangkat dalam satu persidangan Majlis Mesyuarat Agung dan hendaklah memegang jawatannya sehingga diangkat Yang Dipertua baru.

8. Yang Dipertua hendaklah mempunyai kuasa melantik dan memecat pegawai-pegawai bagi jawatankuasa-jawatankuasa kecil yang mengelolakan berbagai-bagai jabatan Pertubuhan atau sebarang daripadanya dengan syarat bahawa Yang Dipertua hendaklah bertanggungjawab kepada Majlis Mesyuarat Agung atas segala perbuatan atau kecuaian seseorang di dalam menjalankan kuasa dan kewajipan-kewajipan. Sebarang yang dilakukan oleh Yang Dipertua didalam menjalankan kuasa itu hendaklah dengan syarat dipersetujukan oleh Majlis Mesyuarat Agung dengan segera.

9. Yang Dipertua, Setiausaha dan pegawai-pegawai dan pengerusi bagi sebarang Jawatankuasa Kecil sebagai yang tersebut dahulu adalah menjadi ahli jawatankuasa kerja.

10. Tiap-tiap sebuah ahli Pertubuhan terkena memberi bayaran kepada wang kumpulan dibawah kawalan Pertubuhan sebanyak yang akan ditetapkan oleh Majlis Mesyuarat Agung.

11. Setiausaha Agung hendaklah pekelilingkan peraturan-peraturan yang mengenai sebarang perkara atau perkara-perkara yang tiada disebutkan dengan khas disini.

12. Tidak ada sesuatu yang terkandung di sini boleh dipinda melainkan dengan sesuatu ketetapan yang diluluskan di dalam sesuatu persidangan Majlis Mesyuarat Agung.

Seramai 29 Ketua wakil yang hadir menandatangani pengasas UMNO dalam piagam tersebut:

1. Dato’ Onn Jaafar – Pergerakan Melayu Semenanjung Johor
2. Kapten Ahmad Mohammad Don – Persekutuan Melayu Kluang
3. Mohammad Rejab Darus – Kesatuan Melayu Kedah
4. Senu Abdul Rahman – Saberkas
5. Abdul Wahab Tok Muda Abdul Aziz – Persatuan Melayu Kelantan
6. Ahmad Jamal – Pergerakan Melayu Semenanjung Melaka
7. Tunku Hussain Tunku Yahya – Persekutuan Melayu Negeri Sembilan
8. Mohammad Nor Sulaiman – Persatuan Melayu Pahang
9. Ahmad Malek – Persatuan Melayu Seberang Prai
10. Ibrahim Mahmood – Kesatuan Melayu Pulau Pinang
11. Abdul Wahab Tok Muda Abdul Aziz – Perikatan Melayu Perak
12. Mohammad Tahir Setia Raja – Persatuan Melayu Perak
13. Baharum Mohammad Mohidin – Persetiaan Muslim Teluk Anson
14. Raja Lop Shaharuddin Raja Mohammad – Persatuan Melayu Cendering
15. Ahmad Abdullah – Persekutuan Muhibbah Malim Nawar
16. Salleh Osman – Persatuan Melayu Perlis
17. Mohammad Eunos Abdul Hamid – Persatuan Melayu Selangor
18. Hamzah Abdullah – Pergerakan Kebangsaan Melayu Selangor
19. Zainal Abidin Osman – Ikatan Setia Kampung Baru
20. Baginda Buyong Baginda Kassim – Persatuan Pinang Peranakan dalam negeri Selangor
21. Ali Arshad – Dewan Perniagaan Melayu Malaya negeri Selangor
22. Raja Abdul Rahman Raja Yusof – Persatuan Penghulu-penghulu Selangor
23. Omar Abu Hassan – Darul Ihsan Club Jeram
24. Fatimah Musa – Persatuan Kaum Ibu Selangor
25. Ahmad Mahdon Hassan – Persekutuan Bawean Selangor
26. Nordin Nawi – Persatuan Melayu Ulu Selangor
27. Lop Salleh Long – Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam
28. Dr. Burhanuddin Mohammad Noor – Parti Kebangsaan Melayu Semalaya
29. Abdul Rahim Ibrahim – Kesatuan Melayu Singapura


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: